Allianz Malaysia Memberi Kepercayaan Kepada 11street Untuk Menawarkan Perlindungan Yang Lebih Baik Kepada Rakyat Malaysia

  • Usaha sama memberi tumpuan dalam menjadikan insurans mudah diperoleh dan pada harga berpatutan.
  • Pengguna kini mempunyai pilihan untuk melanggan tiga produk insurans berbeza yang akan menyediakan perlindungan kepada individu, kediaman dan kereta.

Kuala Lumpur, 27 Julai 2018 – Allianz Malaysia mengorak langkah baharu menerusi jalinan kerjasama dengan salah satu pasaran atas talian terkemuka di Malaysia, 11street. Usaha sama ini bertujuan untuk menyediakan ketenangan minda kepada rakyat negara ini menerusi penawaran perlindungan yang memenuhi segenap keperluan pengguna menerusi produk-produk insurans yang kini boleh didapati menerusi platform beli-belah atas talian berkenaan.

Allianz bersama 11street kini menjadikan langganan insurans lebih mudah dan lancar dengan menawarkan tiga produk komprehensif yang memenuhi keperluan pelanggan. Produk-produk ini termasuk; Personal Accident Insurance yang memberi persediaan terhadap perkara-perkara yang tidak dijangka pada setiap masa; Roadside Assistance Program yang menyediakan perlindungan komprehensif kepada pemandu apabila kereta mereka rosak dan Smart Home Cover yang memberi ketenangan minda kepada pelanggan apabila mengetahui bahawa kediaman yang dimiliki dilindungi.

Ketua Inovasi dan Usahasama Digital, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Michael Fong berkata: “Ini merupakan langkah yang mengujakan dan proaktif bagi kami untuk bukan sahaja meningkatkan kesedaran umum berkenaan kepentingan perlindungan insurans tetapi ke arah menjadikan kaedah perlindungan penting ini lebih mudah diperoleh dan ditawarkan pada harga berpatutan bagi manfaat masyarakat umum. Dengan meneroka pendekatan baharu dalam menawarkan pelan insurans, kami berharap untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengambil langkah penting ke arah melindungi diri dan keluarga mereka, di samping mengurangkan jurang perlindungan dalam kalangan umum.”

Menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia, kadar penembusan insurans pada masa ini kekal sekitar 56% dengan hanya kira-kira 32% rakyat negara ini memiliki lebih daripada satu polisi.[1] Dengan sasaran Bank Negara Malaysia untuk mencapai kadar 75% penembusan insurans dan berpotensi melebihi 100% menjelang tahun 2020,[2] usaha sama antara Allianz dan 11street merupakan langkah penting dalam memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan & Usaha Sama 11street, Henry Ho berkata: “Ini pastinya satu pencapaian baharu bagi 11street. Kami merupakan sebuah platform holistik yang sentiasa menambah nilai dan memperkayakan kehidupan para pelanggan kami. Langganan perlindungan insurans merupakan satu kepentingan jangka panjang dan memandangkan golongan berusia 25 hingga 35 tahun merupakan kumpulan pelanggan terbesar 11street, kami bekerja rapat untuk menyediakan tiga produk yang secara khusus memenuhi keperluan pelanggan dewasa yang bekerja. Dengan semakin ramai bergantung kepada platform beli-belah atas talian untuk memenuhi keperluan kehidupan seharian mereka, kami merasakan usaha ini merupakan tambahan penting kepada kepelbagaian penawaran produk sedia ada di 11street.”

Kiri ke Kanan: Ketua Inovasi dan Usahasama Digital, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Michael Fong & Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan & Usahasama 11street, Henry Ho

Allianz dan 11street menawarkan tiga produk berbeza yang akan menyediakan perlindungan untuk kediaman, kereta dan paling penting, diri dan keluarga anda. Di bawah produk Allianz Personal Accident Insurance, pelanggan layak menerima ganti rugi berganda apabila berlaku kematian atau keilatan kekal serta kemudahan tanpa tunai bagi kemasukan dan keluar daripada hospital. Pelan ini juga merangkumi liputan bagi perbelanjaan perubatan dan kes ragut.

Sementara Allianz Roadside Assistance Program menawarkan akses bantuan kereta dan perkhidmatan penundaan kereta pada jarak tanpa had 24 jam termasuk baik pulih kecil di tepi jalan serta pilihan meluas bengkel kereta panel yang disahkan bagi memastikan lokasi paling mudah bagi memenuhi keperluan baik pulih kereta pelanggan. Sebagai tambahan, individu yang mendapat liputan di bawah program ini juga diberi manfaat kereta ganti secara percuma bagi tempoh 5 hari.

Produk ketiga yang ditawarkan adalah Allianz Smart Home Cover yang membenarkan pelanggan menikmati penjimatan terhadap premium dengan penyediaan pakej khusus mengikut kehendak dan keperluan mereka. Pelanggan mempunyai pilihan untuk merangka pelan dengan memilih liputan bagi perkakasan di luar dan dalam kediaman mereka sahaja mahupun melanjutkan rangkuman perlindungan kepada pembaikan rumah, kesemuanya pada harga yang berpatutan!

Untuk melanggan sebarang produk insurans ini, layari Allianz Insurance Official Store di 11street. Seorang ejen khusus akan menghubungi pelanggan dalam tempoh 3 hari untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi terbitan polisi perlindungan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.11street.my.

[1] Menurut The Edge Markets ‘LIAM seeks govt support on insurance penetration’ pada 01 Julai 2018

[2] Menurut News Straits Times ‘BNM targets national insurance penetration rate to breach 75 pct by 2020’ pada 30 Oktober 2017

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Alliance Bank Tawar Pilihan Pembiayaan PKS Digital Patuh Shariah Untuk PKS Mikro Dan Kecil

Kuala Lumpur, 2 Ogos 2022 – Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) telah memperkenalkan pilihan pembiayaan patuh Shariah yang baharu untuk membantu perniagaan mikro dan kecil, terutamanya yang beroperasi dalam industri halal atau yang memilih sumber dana yang dibenarkan oleh Islam.

Pilihan pembiayaan digital yang cepat dan mudah dimohon yang berasaskan konsep murabahah komoditi (tawarruq) ini membolehkan perniagaan mikro dan kecil mendapat pembiayaan sehingga RM500,000 secara mudah dengan kaedah digital sepenuhnya. Pembiayaan ini disediakan kepada perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya selama tiga tahun dengan perolehan tahunan minimum sebanyak RM500,000.

“Kami kini berkembang untuk menawarkan produk-produk patuh Shariah sepenuhnya sebagai pilihan tambahan untuk para pemilik perniagaan bagi memenuhi keperluan kewangan mereka selain daripada pinjaman PKS digital konvensional. Menerusi proses permohonan digital yang mudah dan pantas, pemilik perniagaan boleh memohon dan menjejak status permohonan pada bila-bila masa di mana-mana sahaja. Sasaran kami pada tahun ini adalah untuk menyediakan pembiayaan PKS digital sebanyak RM200 juta bagi membantu para pemilik perniagaan berkembang melalui penyelesaian PKS Digital kami,” kata Encik Kevin Shum, Naib Presiden Kanan dan Ketua PKS Digital Alliance Bank.

Sebagai tambahan kepada bantuan kewangan, Alliance Bank menyokong pemilik perniagaan menerusi pelbagai pilihan penyelesaian digital bagi membantu mereka menguruskan dan mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih cekap selain memasuki pasaran baharu. Portal Penyelesaian BizSmart® yang disediakan oleh Bank menyediakan lebih 200 produk dan perkhidmatan oleh rakan niaga untuk membantu perniagaan mencapai kepada lebih ramai pelanggan, mendigitalkan dan melaksanakan amalan mampan pada kadar yang lebih rendah dengan memanfaatkan rangkaian PKS Bank yang kukuh. Bank juga akan melancarkan produk-produk baharu khusus untuk memenuhi keperluan perniagaan mikro dan kecil dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

“Sebagai Bank yang sudah sekian lama menyokong perniagaan di Malaysia, kami faham bahawa perniagaan mikro dan kecil, terutamanya perniagaan yang baharu, mungkin berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan saluran kredit perniagaan disebabkan mereka masih belum dapat membina sejarah kredit yang baik. Oleh yang demikian, kami turut menawarkan saluran kemudahan mikro bagi membantu mereka memenuhi keperluan aliran tunai jangka pendek dan pada masa yang sama membantu mereka membina sejarah kredit. Dengan profil kredit perniagaan yang sihat, kami seterusnya akan dapat menyediakan saluran kredit yang lebih besar untuk keperluan mengembangkan perniagaan mereka pada masa hadapan,” tambah En. Shum.

Pilihan pembiayaan patuh Shariah PKS Digital Alliance Bank membolehkan pemilik perniagaan meningkatkan modal kerja mereka dengan kadar keuntungan siling yang telah ditetapkan untuk semua struktur pembiayaan. Ia menawarkan tempoh sehingga tujuh tahun dengan kadar berubah daripada serendah kadar pembiayaan asas + 3.50% setahun (kadar pembiayaan asas semasa kini pada 5.92% setahun).

Untuk maklumat lanjut tentang penyelesaian PKS Digital Alliance Bank, sila layari https://www.alliancebank.com.my/digitalsme.