BIMB Investment Melancarkan Dana Ekuiti Shariah Esg Global Dengan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI): Dana BIMB-Arabesque Global Shariah Sustainable Equity (“BGSEF”)

BIMB Investment Management Berhad (“BIMB Investment”), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, hari ini mengumumkan pelancaran Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah Sustainable Equity (“BGSEF”), dana feeder ekuiti shariah ESG global yang bertujuan untuk mencapai peningkatan modal dalam tempoh jangka sederhana sehingga jangka panjang bagi pelabur. Dana Sasaran Arabesque Q3.17 SICAV – Q3.17 Sustainable Global Equity bertujuan untuk menawarkan pelabur pendedahan global yang pelbagai sehingga 100 saham Shariah-ESG setiap masa. BGSEF telah memenuhi syarat sebagai dana pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. BIMB Investment menyokong inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dalam meletakkan Malaysia sebagai pasaran kewangan Islam dunia.

Dana ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi BIMB Investment Mohamed Ridza Mohamed Abdulla hari ini di dalam satu upacara maya. Hadir sama termasuk Georg Kell, Pengerusi Arabesque Group; Najmuddin Mohd Lutfi, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment dan Gabriel Karageorgiou, Partner, Arabesque Asset Management, United Kingdom.

Mengulas di pelancaran tersebut, Mohamed Ridza berkata, “COVID-19 telah memberi kita kesedaran bagaimana krisis kemampanan mampu mempengaruhi ekonomi, perniagaan dan masyarakat secara keseluruhan. Ini merupakan contoh apa yang mungkin berlaku jika kita terus ditimpa oleh kejutan kemampanan sebegini. Ia tidak semestinya berkaitan perubahan iklim. Krisis COVID-19 juga menunjukkan bahawa syarikat yang mempunyai kelayakan ESG yang tinggi telah menunjukkan prestasi yang lebih baik tahun ini. Pelabur berkemungkinan akan terus memberi perhatian kepada syarikat yang mempunyai kelayakan ESG terbaik, kerana bukti menunjukkan bahawa mereka mempunyai daya tahan ketika pandemik.”

Tambah beliau, hari ini, ramai pelabur telah menyedari bahawa memasukkan faktor ESG di pasaran modal adalah keputusan perniagaan yang baik dan menjurus kepada pasaran yang lebih mampan dan menghasilkan masyarakat yang lebih baik. Prestasi mampan korporat yang baik dikaitkan dengan tadbir urus korporat yang baik, akan membawa kepada peningkatan keputusan kewangan serta penghasilan pulangan kewangan yang lebih bagus.

“BGSEF menyepadukan pertimbangan ESG dalam proses pelaburannya dan menerapkan pemeriksaan aktif untuk patuh Shariah dan sejajar dengan prinsip Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (UNGC)  dalam proses pembinaan portfolio pelaburan. ESG dan pelaburan patuh shariah merupakan falsafah teras kami. Memandangkan situasi pandemik global kini, kami berpendapat bahawa COVID-19 akan meninggalkan kesan yang ketara kepada pasaran modal untuk tahun-tahun yang akan datang. Ia membuatkan pelaburan ESG semakin relevan untuk pelabur masa kini yang ingin memberi kesan positif kepada dunia secara keseluruhannya.”

BGSEF menggunakan Arabesque S-Ray®, alat unik yang menyediakan penyelesaian data yang merentasi pasaran modal global dalam menilai prestasi mampan syarikat di seluruh dunia. Teknologi proprietari yang dibangunkan oleh Arabesque S-Ray menggabungkan lebih 200 metrik ESG dengan isyarat berita daripada lebih 30,000 sumber merentasi170 negara secara sistematik. Dibangunkan oleh pelabur untuk pelabur, S-Ray® ialah alat unik untuk menilai syarikat berdasarkan Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (“GC Score”).

Bercakap mengenai pengukuran data ESG melalui teknologi, George Kell, Pengerusi Arabesque Group berkata bahawa teknologi telah lama menjadi pendorong utama di sebalik pergerakkan kemampanan dengan meningkatkan kecekapan sumber dan memudahkan pencarian model perniagaan baharu. Bagi pelabur, teknologi – yang selalunya berdasarkan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (“AI”) – telah menjadi asas pelaburan ESG, yang mewujudkan lebih ketelusan dan mengukur prestasi faktor bukan tradisional yang mempengaruhi prestasi kewangan dalam tempoh jangka panjang.

“Saya yakin bahawa masa depan telah bermula. Dengan penyelesaian pintar, kemampuan membaca dan pembelajaran mesin, kita akan berada di kedudukan yang lebih baik untuk membuat keputusan yang tepat. Dana ini berdasarkan pengetahuan terbaik dan terkini. Dana ini juga peka terhadap kesinambungan kemampanan, memastikan nilai-nilai yang semakin penting telah digabungkan sepenuhnya di dalam analisis. Dengan gabungan ini: AI, teknologi dan kemampanan, BIMB Investment telah menunjukkan jalan untuk masa hadapan, bahawa mereka adalah sebahagian daripada penyelesaian, dan saya mengharapkan anda semua sukses di masa akan datang,” kata George di dalam pembentangan videonya dari New York, Amerika Syarikat.

Dana ini ditawarkan dalam lima kelas mata wang: Kelas Ringgit Malaysia, Kelas Hedged Ringgit Malaysia, Kelas Dolar AS, Kelas Dolar Australia dan Kelas Dolar Singapura. Dana ini tersedia untuk langganan kepada pelabur dengan nilai pelaburan awal hanya RM500, HEDGED RM500, USD500, AUD500 atau SGD500.

“BGSEF memanfaatkan kemajuan terkini dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan petunjuk hadapan dalam melengkapkan pemilihan saham dan peningkatan prestasi. Dana ini membolehkan data alternatif seperti cuaca dan berita diambli kira di dalam proses pelaburan. BIMB Investment, bekerjasama dengan Arabesque, adalah yang pertama mengintegrasikan Shariah dan ESG dalam proses pelaburannya di Malaysia. Pendekatan pelaburan berdasarkan peraturan secara sistematik mengimbangi portfolio Dana secara minggu. Ciri dinamik ini menawarkan peluang untuk memanfaatkan trend dan perubahan pasaran terkini. Dana ini juga mempunyai langkah-langkah pengurusan risiko yang ketat untuk melindungi pelabur dan membantu mencapai matlamat kewangan jangka panjang mereka dengan pelaburan yang dipelbagaikan sepenuhnya di seluruh sektor dan wilayah,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi.

“Teknologi kecerdasan buatan (AI) berpandangan hadapan dan mampu memproses sejumlah besar data untuk membina portfolio pelaburan yang disesuaikan dengan terselaras-risiko yang paling optimum untuk para pelabur. Dengan enjin AI, Dana menguruskan risiko pelaburan dengan disiplin dan kecekapan yang berpotensi memberikan prestasi pelaburan yang tinggi sekaligus melupuskan pengaruh manusia yang berat sebelah,” kata Najmuddin lagi.

BIMB Investment telah memenangi anugerah Pengurus Asset Islam dan Pengurus Dana Terbaik Malaysia selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 dan Pulangan Terselaras-Risiko Terbaik untuk Pengurus Dana Pelaburan Prinsip ESG di Anugerah Kewangan Islam Terbaik Alpha Asia Tenggara bagi tahun 2019 dan 2020. Ia juga telah dinobatkan sebagai Pengurus Aset ESG Terbaik bagi tahun 2019 dan 2020 oleh Anugerah Kewangan Islam Aset Triple A , sebuah anugerah yang mengiktiraf sumbangan dan pencapaian penting dalam ESG, kemampanan dan pengurusan aset di Asia.

Penafian

Ini merupakan keterangan ringkas mengenai Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah Sustainable Equity (“Dana”) oleh BIMB Investment dan ianya tidak lengkap. Pelabur dinasihatkan untuk membaca dan memahami kandungan Prospektus bagi Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah Sustainable Equity bertarikh 8 Mac 2021, Prospektus tambahan (jika ada) dan Halaman Serlahan Produk (PHS) sebelum melabur, yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang tidak akan bertanggungjawab terhadap kandungannya. Tarikh pelancaran bagi Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah Sustainable Equity adalah 8 Mac 2021. Salinan Prospektus dan PHS boleh didapati di Ibu Pejabat BIMB Investment Management Berhad, di laman web www.bimbinvestment.com.my, perunding unit amanah dan pengedar yang diluluskan dan/atau mana-mana cawangan Bank Islam. Kebenaran SC atau pendaftaran Prospektus tidak boleh diambil kira bahawa SC telah mengesyorkan Dana tersebut. Terdapat yuran dan caj yang dikenakan dan pelabur dinasihatkan untuk membandingkan dan mempertimbangkannya sebelum melabur di dalam Dana. Pelaburan di dalam Dana ini terdedah kepada risiko, sila rujuk kepada Prospektus untuk maklumat terperinci. Pelabur dinasihatkan untuk mempertimbangkan risiko di dalam Dana dan harus membuat penilaian sendiri mengenai risiko dan mendapatkan nasihat professional, jika perlu, sebelum melabur. Pelabur juga perlu ambil perhatian bahawa harga unit dan agihan yang dibayar, jika ada, boleh turun dan naik. Sebarang isu unit yang berkaitan dengan Prospektus hanya akan dibuat setelah penerimaan borang permohonan yang lengkap yang dilampirkan bersama Prospektus, tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung didalamnya. Siaran media ini tidak disemak oleh SC.

Mengenai BIMB Investment Management Berhad

BIMB Investment Management Berhad (“BIMB Investment”), pemateri UNPRI, adalah syarikat pengurusan pelaburan Shariah-ESG yang terkemuka, menyediakan penyelesaian pelaburan Shariah-ESG yang komprehensif merentas pelbagai kelas aset kepada pelabur individu dan korporat di Malaysia dan rantau ini. Anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad dan ahli Kumpulan Syarikat Tabung Haji, BIMB Investment adalah syarikat pengurusan dana Islam berlesen yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan beribu pejabat di Kuala Lumpur dengan lebih daripada 26 tahun pengalaman dalam pengurusan dana.

Nombor bebas tol: 1-800-88-1196

Laman web: www.bimbinvestment.com.my

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.