Pasaran Modal Malaysia Berjaya Harungi Ketidaktentuan Global Pada 2023

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) — Telah menjadi lumrah, apabila Amerika Syarikat (AS) ‘bersin’, dunia akan terkena ‘selsema’.

Pasaran global berada dalam tidak menentu sejak awal tahun 2023 apabila AS dikejutkan dengan beberapa siri kegagalan bank yang membawa kepada peningkatan kos hutang dan risiko kemelesetan, diburukkan lagi dengan penurunan gred prospek penarafan kreditnya oleh penilai penarafan seperti Moody’s dan Fitch.

Pasaran modal dunia juga menerima kesan daripada kenaikan kadar faedah Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang tidak selari dengan keputusan penurunan kadar bank pusat lain berikutan krisis kemanusian akibat konflik di Timur Tengah.

Aset pendapatan tetap, ekuiti dan pasaran pertukaran asing terjejas teruk akibat aliran keluar besar-besaran apabila para pelabur mengambil pendekatan lebih selamat memilih aset defensif.

Semasa tempoh 2022-2023, FOMC telah menaikkan kadar faedah sebanyak 11 kali, menjadikan ia berada di paras tertinggi dalam tempoh 22 tahun pada 5.25-5.50 peratus berbanding 0.25-0.5 peratus pada Mac 2022.

Mujurlah, keupayaan Malaysia untuk mengekalkan daya tahan kewangan dan kestabilan ekonomi, yang disokong oleh permintaan kukuh domestik, telah meneguhkan pasaran modalnya sebagai platform padu untuk menjana dana.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024 Kementerian Kewangan, saiz pasaran modal Islam berjumlah RM2.4 trilion pada akhir Julai 2023, menyumbang 64.4 peratus daripada jumlah saiz pasaran modal di Malaysia.

Saiz keseluruhan pasaran modal berjumlah RM3.73 trilion setakat Julai 2023, melebihi angka pada tahun lalu sebanyak RM3.6 trilion, yang terdiri daripada jumlah bon dan sukuk sebanyak RM1.9 trilion, dan permodalan pasaran ekuiti pada RM1.7 trilion

Bulan lepas, pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata sehingga 31 Okt 2023, pasaran bon dan sukuk negara mencatatkan nilai sebanyak RM2 trilion, yang merupakan lebih 50 peratus daripada pasaran modal Malaysia

Sementara itu, permodalan pasaran Bursa Malaysia dilaporkan berjumlah RM1.76 trilion pada Oktober 2023.

Penjanaan Dana Islam Jadi Pemangkin Kepada Pasaran Modal 

Pasaran modal Islam terus menerajui landskap penjanaan dana dan pelaburan pada 2023.

Awang Adek berkata pasaran bon dan sukuk Malaysia merupakan satu daripada pasaran paling maju dan terbesar di rantau ini. 

“Mencakupi 35 peratus daripada terbitan sukuk global, jelas sekali Malaysia adalah pasaran sukuk terbesar mengatasi Arab Saudi dan Indonesia,” katanya pada satu persidangan mengenai bon dan sukuk pada November lepas.

MARC Ratings berkata Malaysia berpeluang untuk mendapat manfaat daripada pemusatan pasaran modal Islam dan kewangan mampan, dengan sukuk berasaskan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menunjukkan potensi pertumbuhan. Sukuk ESG merangkumi 3.8 peratus daripada bahagian pasaran sukuk global pada separuh pertama 2023. 

Bagi bon, agensi penarafan itu berkata walaupun indeks ekuiti MSCI Apex 50 dan S&P Asia 50 CME agak mendatar di bawah +1.0 peratus setakat 4 Dis 2023, Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun  menunjukkan prestasi lebih baik sebanyak 20 mata asas, membayangkan pasaran yang konstruktif.

Beberapa pasaran bon juga menunjukkan prestasi yang bertambah baik menjelang akhir 2023 berikutan perubahan dalam naratif, yang mana kadar faedah dijangka mencapai paras kemuncaknya tidak lama lagi, katanya.

Data terbaru MIDF Research menunjukkan bahawa pegangan asing MGS meningkat kepada RM273 bilion pada November 2023 daripada RM248 bilion pada bulan yang sama tahun lepas.

Dilaporkan juga bahawa pelabur asing merupakan pembeli bersih dalam pasaran bon tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama 2023 dengan aliran masuk RM27.4 bilion.

Langkah-Langkah Untuk Membimbing Dan Mengembangkan PMKS

Dari segi penjanaan modal, Malaysia terus menumpukan kepada instrumen kewangan alternatif untuk menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bahagian penting daripada ekonomi yang menyumbang kira-kira 38 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dan 48 peratus daripada jumlah pekerjaan pada 2022.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan meneruskan inisiatifnya untuk merapatkan jurang pembiayaan dengan peruntukan tambahan RM40 juta kepada Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) untuk melabur dalam PKS dan perusahaan sosial bersama pelabur swasta melalui pendanaan awam ekuiti dan platform pembiayaan setara serta penubuhan Dana Inovasi Digital (DIGID) untuk menggalakkan pelaburan teknologi oleh pemain pasaran modal yang lebih kecil.

MyCIF, yang pertama kali diperkenalkan dalam Belanjawan 2019, menyaksikan peruntukan untuknya ditambah sebanyak RM100 juta lagi dalam tempoh tiga tahun dalam Belanjawan 2024.

Pada Jun 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan dan SC akan menilai semula dasar untuk memudahkan dan menarik penubuhan pejabat milik persendirian di Malaysia bagi menarik kumpulan pelabur yang lebih besar untuk menyokong pembiayaan bagi PKS.

Selain itu, beberapa langkah telah diperkenalkan untuk meningkatkan akses pelabur ke pasaran modal negara, termasuk perpindahan secara automatik syarikat senaraian awam yang layak dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, pengurangan duti setem, membenarkan dagangan saham pecahan oleh pelabur melalui broker saham, dan pengenalan rangka kerja Skim Pengecualian Asing.

Sementara itu, SC dan SME Corporation Malaysia baru-baru ini menjalin kerjasama untuk mewujudkan kira-kira 200 PKS yang bersedia bagi pasaran modal menjelang 2026 dan meningkatkan pendedahan 300 PKS kepada kemampanan dan amalan terbaik tadbir urus korporat.

SC juga bekerjasama dengan Capital Markets Malaysia (CMM) untuk memperkenalkan Panduan Pendedahan ESG Ringkas (SEDG) bagi membimbing PKS dalam melaksanakan kemampanan mereka.

Tahun Tidak Menentu Bagi Bursa Malaysia

Meninjau pasaran ekuiti, 2023 merupakan tahun yang agak tidak menentu bagi Bursa Malaysia, kerana bursa tempatan mengalami aliran keluar bersih dana asing yang besar sebanyak US$928.2 juta pada dua suku pertama tahun ini.

Bursa hanya menerima pembelian asing bersih sebanyak US$488.1 juta pada suku ketiga, susulan harapan kenaikan kadar faedah AS dihentikan seketika.

Namun begitu, aliran masuk asing bersih ke pasaran saham tempatan mula bertambah baik pada Disember 2023 berikutan keputusan Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kadar faedah antara 5.25 dan 5.50 peratus. 

Setakat 15 Dis, Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar bersih dana asing sebanyak US$572.7 juta, dengan indeks petunjuk pasaran utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 0.78 peratus untuk ditutup kepada 1,462.45 daripada paras 1,473.99 pada 3 Jan 2023, hari dagangan pertama bagi tahun ini.

Pada 22 Dis, indeks itu ditutup pada 1,454.38, turun 1.33 peratus daripada paras penutup 1,473.99 pada 3 Jan.

Firma penyelidikan itu mengunjurkan FBM KLCI ditutup tahun ini dalam jajaran 1,500-1,610.

Terdapat 32 tawaran awam permulaan di Bursa Malaysia pada 2023 berbanding sasaran bursa sebanyak 39 bagi tahun ini.

Daripada jumlah itu, tujuh disenaraikan di Pasaran Utama, 24 di Pasaran ACE dan satu di Pasaran LEAP.

Prospek Suram Bagi 2024

Menurut MARC Ratings, melangkah ke 2024, prospek pasaran modal kelihatan agak suram, diselubungi oleh risiko utama seperti kemungkinan AS dan Eropah jatuh ke dalam kemelesetan berikutan beberapa siri kenaikan kadar faedah.

Risiko lain adalah inflasi di ekonomi maju mungkin tidak pulih seperti yang disasarkan oleh bank pusat, yang boleh merumitkan dasar monetari dan membawa kepada ketidaktentuan pasaran, katanya.

“Namun, memandangkan ekonomi global berjaya mengharungi tempoh sukar seperti COVID-19, kegagalan bank AS, kelemahan pasaran hartanah China, dasar monetari global yang ketat, dan risiko geopolitik di Eropah dan juga Timur Tengah, kami berpendapat daya tahan dalam mendepani pelbagai krisis telah bertambah baik.

“Justeru, inisiatif pengurusan risiko terus kekal relevan dalam menghadapi ketidaktentuan yang terus berkembang,” kata agensi penarafan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Untung Mei 2026

Pasaran saham Bursa Malaysia meneruskan momentum positif pada bulan Mei 2026 dengan beberapa saham patuh syariah mencatatkan kenaikan yang cukup memberangsangkan. Menariknya, terdapat dua kaunter yang berjaya merekodkan kenaikan melebihi 90%, sekali gus menjadi tumpuan pelabur sepanjang bulan tersebut.

Prestasi sesebuah saham dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keputusan kewangan syarikat, sentimen pasaran, perkembangan industri serta aliran dana pelabur. Walau apa pun sebabnya, saham-saham dalam senarai ini berjaya mencatatkan pulangan yang jauh mengatasi prestasi pasaran secara keseluruhan.

Berikut adalah senarai 10 saham patuh syariah paling untung bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Mei 2026.

1. MKH Berhad

Tempat pertama menjadi milik MKH Berhad dengan kenaikan luar biasa sebanyak 107.5% sepanjang bulan Mei 2026.

Lonjakan lebih 100% dalam tempoh sebulan sememangnya sesuatu yang jarang berlaku dan menunjukkan minat pelabur yang sangat tinggi terhadap kaunter ini. MKH merupakan syarikat yang terlibat dalam sektor hartanah, perladangan dan pembangunan bandar.

2. Oppstar Berhad

Di kedudukan kedua ialah Oppstar Berhad yang mencatatkan kenaikan sebanyak 94.1%.

Oppstar merupakan syarikat yang terlibat dalam reka bentuk litar bersepadu (IC Design) dan industri semikonduktor. Kenaikan ini mencerminkan sentimen positif pelabur terhadap sektor teknologi yang terus menjadi perhatian.

3. Inch Kenneth Kajang Rubber Public Ltd Co

Inch Kenneth Kajang Rubber Public Ltd Co berada di tempat ketiga dengan kenaikan sebanyak 65.7%.

Syarikat ini mempunyai pelaburan dalam sektor hartanah dan perladangan, menjadikannya antara kaunter yang mendapat perhatian pasaran sepanjang bulan Mei.

4. Unisem (M) Berhad

Di tempat keempat ialah Unisem (M) Berhad dengan kenaikan sebanyak 55.8%.

Sebagai salah satu pemain utama dalam industri pemasangan dan ujian semikonduktor, Unisem terus mendapat manfaat daripada perkembangan industri teknologi global.

5. MI Technovation Berhad

MI Technovation Berhad mencatatkan kenaikan sebanyak 41.7% untuk berada di kedudukan kelima.

Syarikat ini terkenal dalam penyediaan peralatan dan penyelesaian automasi untuk industri semikonduktor, yang kekal menjadi sektor tumpuan pelabur.

6. EG Industries Berhad

Di tempat keenam ialah EG Industries Berhad dengan kenaikan sebanyak 37.9%.

EG Industries terlibat dalam perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan sering mendapat perhatian apabila sektor teknologi menunjukkan momentum positif.

7. Northeast Group Berhad

Northeast Group Berhad berada di kedudukan ketujuh selepas mencatatkan kenaikan sebanyak 35.8%.

Prestasi positif ini menunjukkan minat pelabur terhadap syarikat yang terlibat dalam sektor kejuruteraan dan pembuatan berteknologi tinggi.

8. THMY Holdings Berhad

Di tempat kelapan ialah THMY Holdings Berhad dengan kenaikan sebanyak 32.3%.

THMY yang terlibat dalam sektor pembinaan dan pembangunan terus mencatatkan prestasi positif sepanjang bulan Mei.

9. Go Hub Capital Berhad

Go Hub Capital Berhad menduduki tempat kesembilan dengan kenaikan sebanyak 31.9%.

Syarikat ini menyediakan penyelesaian teknologi untuk sistem pengangkutan awam dan digitalisasi, selari dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.

10. Tong Herr Resources Berhad

Melengkapkan senarai ialah Tong Herr Resources Berhad dengan kenaikan sebanyak 30.2%.

Syarikat ini terlibat dalam pembuatan pengikat logam (fasteners) dan produk berkaitan yang digunakan dalam pelbagai industri.

Apa Yang Boleh Kita Perhatikan?

1. Sektor teknologi kembali mendominasi

Daripada 10 saham terbaik bulan Mei 2026, beberapa syarikat datang daripada sektor semikonduktor dan teknologi seperti Oppstar, Unisem, MI Technovation, EG Industries dan Go Hub Capital.

2. Kenaikan melebihi 100% masih berlaku

MKH Berhad membuktikan bahawa saham patuh Syariah masih mampu mencatatkan pulangan luar biasa dalam tempoh yang singkat apabila sentimen pasaran berpihak kepada syarikat tersebut.

3. Pelbagai sektor turut mendapat manfaat

Selain teknologi, sektor hartanah, pembinaan, perladangan dan pembuatan turut menunjukkan prestasi yang baik sepanjang bulan Mei.

Kesimpulan

Bulan Mei 2026 menyaksikan beberapa saham patuh Syariah mencatatkan prestasi yang sangat memberangsangkan dengan kenaikan antara 30% hingga lebih 100%.

Walau bagaimanapun, pelabur perlu sentiasa ingat bahawa prestasi masa lalu tidak menjamin prestasi masa hadapan. Saham yang naik dengan pantas juga boleh mengalami pembetulan harga yang ketara.

Gunakan senarai ini sebagai rujukan untuk mengenal pasti saham yang sedang mendapat perhatian pasaran, tetapi pastikan setiap keputusan pelaburan dibuat berdasarkan kajian dan analisis yang menyeluruh.