Ekonomi-ekonomi Asia Peroleh Manfaat Daripada Ketegangan Perdagangan AS-China Meskipun Dengan Prospek Ekonomi Global Rentan, Menurut PwC

LONDON, 12 Julai 2019 /PRNewswire/ —

  • Import AS dari China menurun kira-kira 15% berbanding tahun sebelumnya pada suku pertama 2019, menurut edisi Julai Global Economy Watch PwC
  • Import daripada kumpulan lapan ekonomi Asia lain–Bangladesh, India, Indonesia, Malaysia, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam–meningkat sebanyak lebih 16%.
  • Peningkatan tarif menyumbang kepada kelembapan global sektor perdagangan barangan dan pembuatan
  • Analisis PwC menunjukkan peningkatan kecekapan tenaga global sebagai aspek untuk pemacu pertumbuhan yang besar

Pusingan awal tarif yang dikenakan oleh kerajaan AS ke atas import China awal tahun ini telah mula memberi kesan ketara dan boleh dibuktikan terhadap perdagangan global, menurut analisis yang dikeluarkan oleh PwC hari ini.

Edisi Julai Global Economy Watch PwC menekankan bahawa import AS dari China menurun kira-kira 15% berbanding tahun sebelumnya pada suku pertama tahun 2019. Penurunan ini telah mencipta peluang untuk rakan-rakan dagangan serantau lain, dengan import ke AS daripada kumpulan lapan ekonomi Asia lain–Bangladesh, India, Indonesia, Malaysia, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam–meningkat sebanyak lebih 16%.

Mike Jakeman, ahli ekonomi kanan di PwC UK, berkata,

‘Kadang kala ekonomi tertinggal di belakang politik, namun demikian kami dapat melihat data ekonomi kukuh berhubung kesan ketegangan antara AS-China. Ini memberi faedah kepada ekonomi-ekonomi lain di rantau berkenaan: sekiranya trend ini berterusan, ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas khususnya di Vietnam, Korea Selatan dan Taiwan.

‘Namun demikian, sekiranya matlamat anda adalah untuk menangani khususnya ketidakseimbangan perdagangan, maka tarif dua hala merupakan kaedah yang tidak sempurna: penggantian import hanya akan mencipta semula masalah di tempat lain. Maka, hasil daripada Vietnam menjadi lebih kompetitif berbanding China, defisit perdagangan AS dengan Vietnam mencecah $13.5 bilion pada suku pertama, berbanding $9.3 bilion pada suku tahun yang sama tahun lalu.’

Edisi Julai Global Economy Watch turut menilai kebimbangan berhubung risiko berlakunya satu lagi kemelesetan global, apabila ketegangan perdagangan memberi kesan kepada sentimen perniagaan dan permintaan untuk eksport.

Mike Jakeman berkata,

‘Sememangnya prospek untuk ekonomi-ekonomi terbesar dunia adalah kurang cerah berbanding 18 bulan yang lalu. Pada awal tahun 2018, kami menyaksikan pertumbuhan yang paling pantas dan paling disegerakkan sejak sebelum berlakunya krisis kewangan global. Sejak itu, konflik perdagangan yang semakin mendalam antara AS dan China, beberapa kejatuhan yang dialami di Eropah dan pergelutan selanjutnya dalam pasaran-pasaran baru muncul yang berkembang perlahan telah mengubah sentimen dalam kalangan perniagaan dan penggubal dasar.

‘Walau bagaimanapun, pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun 2019 dalam setiap pasaran penting AS, China dan Zon Eropah adalah sesuatu yang dijangkakan. AS mendapat manfaat daripada potongan cukai sekali pada tahun 2018. Kerajaan Cina terus menenangkan ekonominya secara amat beransur-ansur, manakala Zon Eropah sedang membetulkan keadaan ekonomi setelah beberapa tahun mengalami pertumbuhan di atas-trend pada tahun 2016-17. Hakikat bahawa ketiga-tiga ekonomi ini ‘bertenang’ secara serentak menimbulkan kebimbangan, namun asasnya kekal kukuh.’

Peningkatan kecekapan tenaga menawarkan peluang untuk masa depan

Dalam satu laporan khas tentang tenaga global, PwC turut mendapati bahawa ekonomi dunia menggunakan tenaga dengan lebih cekap bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi. Pada tahun 1990, ia memerlukan sekitar 181kg minyak setara untuk menghasilkan $1,000 bagi KDNK global dari segi PPP. Pada tahun 2015, ia memerlukan 123kg, satu penambahbaikan dalam kecekapan sebanyak lebih satu pertiga. Kami berpendapat bahawa trend ini akan berkembang lebih pantas, yang bermakna bahawa $1,000 KDNK boleh dijana oleh 78kg minyak setara menjelang tahun 2040. Menjadi lebih cekap tenaga adalah amat penting bagi mengehadkan perubahan iklim, sekaligus turut memastikan ekonomi global terus berkembang dan penduduk dunia menjadi lebih makmur.

Laporan ini mengenal pasti dua pendorong trend iaitu perubahan ekonomi struktur dan kemajuan teknologi. Ia menilai kesan kedua-dua pendorong merentas 20 negara yang telah mengalami penambahbaikan terbesar dalam keamatan tenaga sejak tahun 1990.

Mike Jakeman berkata,

‘Analisis kami mencadangkan bahawa kami telah membuat langkah penting dalam meningkatkan kecekapan tenaga kami sejak 30 tahun lalu dan ramalan kami untuk 20 tahun seterusnya mencadangkan bahawa masih terdapat ruang untuk melakukan penambahbaikan besar-besaran.

‘Ini merupakan kisah positif untuk ekonomi global, memandangkan ia mencadangkan bahawa kerajaan dan perniagaan boleh meneruskan dasar-dasar perubahan iklim yang mengehadkan penggunaan tenaga tanpa menghapuskan pertumbuhan ekonomi.’

Global Economy Watch terkini sedia untuk dibaca di sini: https://www.pwc.com/gx/en/issues/economy/global-economy-watch.html

Latar Belakang PwC

Di PwC, tujuan kami adalah untuk membina kepercayaan dalam masyarakat dan menyelesaikan masalah-masalah yang penting. Kami merupakan jaringan firma dalam 158 negara bersama lebih 250,000 kakitangan yang komited untuk membawakan kualiti dalam khidmat jaminan, khidmat nasihat dan khidmat cukai. Ketahui lebih lanjut dan maklumkan kepada kami tentang apa yang penting buat anda dengan mengunjungi kami di www.pwc.com.

PwC merujuk kepada rangkaian PwC dan/atau salah satu atau lebih daripada firma-firma anggotanya, setiap satu merupakan entiti undang-undang berasingan. Sila rujuk www.pwc.com/structure untuk butiran lanjut. © 2019 PwC. Hak cipta terpelihara.

Sumber: PwC

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.