Harapan Membentuk Kanak-Kanak Menjadi ‘Earth Hero’ Yang Pintar Menjaga Kewangan Dan Kelestarian

Hong Leong Bank (“HLB” atau “Bank”) hari ini memperkenalkan ‘Earth Hero’, satu inisiatif baharu yang menggalakkan kanak-kanak untuk lebih peka terhadap alam sekitar sambil mengamalkan tabiat pengurusan wang yang lebih bijak. Inisiatif baharu perbankan maju digital ini menggabungkan kecelikan penjagaan kewangan dan kelestarian, dan ia dipacu oleh HLB Pocket Connect, satu landasan perbankan interaktif pertama-dalam-pasaran yang dilancarkan pada bulan Ogos 2020. Inisiatif ini menyasar khas kelompok ‘digital native’ muda yang sentiasa menginginkan personalisasi-hyper, pemuasan tempoh sebenar dan pengalaman serta kandungan interaktif di dalam kualiti dan pada kadar yang tinggi.

Menurut Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, ‘Earth Hero’ merupakan hasil usaha Bank untuk memperluaskan inisiatif kelestarian kepada pelaburan komuniti dengan mengetengahkan keterangkuman dan kecelikan kewangan melalui produk dan perkhidmatan Bank.

“Kami memahami peranan yang kami pegang sebagai institusi kewangan dalam membina dan mengekalkan ekosistem komuniti dan alam sekitar yang mantap. Kami amat berbangga menjadi bank pertama di Malaysia dan rantau ini yang mendorong generasi muda ke arah menjadi lebih peka kewangan dan memiliki kesedaran penjagaan alam sekitar melalui landasan perbankan mudah alih HLB Pocket Connect. Aplikasi ini telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan dan ini merupakan satu peluang keemasan untuk menggunakan konsep gamifikasi bagi menerapkan pendidikan kewangan melalui ganjaran yang memanfaatkan alam sekitar, dan semua ini berada di bawah pengawasan ibu bapa dan dengan kerjasama perusahaan eko-sosial,” kata Domenic.

Melalui ‘Earth Hero’, aplikasi HLB Pocket Connect memaparkan satu ruangan baharu yang dipanggil ‘Tugasan’. Ruangan yang riang dan menarik ini, bertujuan untuk memperjuangkan misi mesra alam sekitar melalui penghutanan semula di Sabah. Matlamat inisiatif ini adalah untuk menunjukkan dan mendidik kanak-kanak bagaimana pilihan mereka boleh membawa impak kepada planet kita. Setiap tugasan yang diselesaikan memberi si cilik peluang untuk menanam pokok maya, dan bagi setiap 20 pokok maya yang ditanam berdasarkan tugasan yang diselesaikan, HLB akan menanam sebatang pokok bagi pihak si kecil. Kanak-kanak akan menerima sijil dengan koordinat sebenar pokok yang ditanam atas nama mereka. Dalam ikhtiar penanaman pokok, Bank bekerjasama dengan perusahaan sosial, Animal Projects & Environmental Education Sdn. Bhd (“APE Malaysia”) melalui projek penghutanan semula mereka di Sabah, dengan sasaran menanam 2,500 pokok. 

Galvin Yeo, Pengurus Besar Perkhidmatan Kewangan Peribadi untuk Deposit & Digital di HLB berkongsi, “Memandangkan anak-anak kita adalah generasi pengguna digital dan teknologi yang asli, mereka lebih gemar belajar melalui landasan mudah alih interaktif yang menawarkan aktiviti dan tugasan menarik bercirikan gamifikasi. Dengan HLB Pocket Connect, kami dapat mengintegrasikan unsur kecelikan alam sekitar dengan mudah, di mana penyimpan muda diajar langkah memupuk pemahaman dan tanggungjawab ke atas peranan mereka dalam memelihara alam sekitar serta nilai sebenar wang dengan cara yang riang dan menarik, dengan bantuan ibu bapa. Lebih penting lagi, kami berbangga dapat melangkah keluar dari kelaziman institusi kewangan dengan membawa landasan perbankan digital yang benar-benar inovatif, riang dan relevan kepada gaya hidup mereka. Kami akan sentiasa menambah ciri-ciri menarik berpandukan keperluan pelanggan serta tanggungjawab bersama sebagai pengguna untuk menitikberatkan kelestarian bagi masa hadapan.”

Mark Louis Benedict dari APE Malaysia berkata, “Sebagai satu masyarakat, kita merupakan penggerak utama dalam memelihara alam sekitar. Kami amat berbesar hati di atas peluang untuk bekerjasama dengan Hong Leong Bank dalam membawa pendekatan unik yang menggabungkan kecelikan kewangan serta alam sekitar bagi memupuk dan memberi inspirasi kepada generasi masa depan yang peka alam sekitar dan bersedia menjadi pejuang dan pembela Bumi dan kelestarian.”  

Langkah menjadi ‘Earth Hero’ adalah mudah. Pertama, buka akaun 3-dalam-1 Junior, kemudian muat turun aplikasi HLB Pocket Connect dan selesaikan tugasan untuk menanam pokok maya dahulu, kemudian pokok sebenar. Buat masa ini, aplikasi HLB Pocket Connect memiliki tiga ciri asas, iaitu Dapat, Simpan dan Belanja (Earn, Save and Spend) di mana landasan perbankan digital ini membolehkan kanak-kanak mempelajari cara untuk menjadi lebih bertanggungjawab ke atas kewangan mereka dengan bantuan ibu bapa, yang berperanan untuk membimbing, mengurus dan mengawal perbelanjaan wang saku serta simpanan anak-anak mereka.

Untuk lebih maklumat tentang HLB Pocket Connect dan ‘Earth Hero’, sila layari www.hlb.com.my/earth

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.