Hong Leong Bank Lancarkan Kempen ‘Suara-Suara Raya’ Sempena Sambutan Raya

Memandangkan bulan Ramadan sudah hampir sampai ke penghujungnya dan rakyat Malaysia bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya dengan lebih sederhana dalam situasi pandemik semasa, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (“HLB” atau “Bank”) melancarkan kempen Hari Raya, ‘Suara-Suara Raya’. Kempen ini merupakan usaha Bank untuk menggalakkan rakyat Malaysia memanfaatkan sepenuhnya Lebaran ini, dengan mengambil langkah wajar yang penting untuk menjamin masa depan kewangan menerusi ganjaran dan insentif bagi produk-produk utamanya. 

Pemberian Duit Raya sudah menjadi tradisi pada musim Raya. Inilah masa paling sesuai untuk menggalakkan generasi muda untuk mula menabung dan memulakan perjalanan untuk membina kewangan yang kukuh dan mencapai kebebasan kewangan. Menerusi promosi Bank, kami ingin memberi insentif dan membolehkan rakyat memulakan perancangan kewangan demi masa depan yang lebih positif.

Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB berkata, “Sebagai sebuah bank komuniti, kami memainkan peranan aktif membawakan manfaat yang bermakna demi masa depan pelanggan kami dan komuniti-komuniti setempat. Kami akan terus mendorong rakyat untuk mengambil kesempatan mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing, atau mula merancang untuk menjamin masa depan yang kukuh. Oleh yang demikian, kami menyediakan ganjaran dan promosi untuk menggalakkan pelanggan mengambil peluang membina kekayaan. Terutamanya golongan belia dan yang masih belum membuat perancangan bagi mencapai kebebasan kewangan selepas pandemik.

“Hari Raya tahun ini sekali lagi akan disambut lebih sederhana sambil kita mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan. Bagaimanapun, kami percaya kita boleh memanfaatkan sepenuhnya sambutan Raya dengan menghidupkan semangat perayaan, beramal, dan saling bermaaf-maafan. Sesuatu yang seharusnya sentiasa diamalkan tanpa mengira keadaan. Oleh itu, kami berusaha menabur budi kepada masyarakat dengan memainkan peranan kecil kami untuk memulihkan punca pendapatan penghibur jalanan atau buskers kita yang merupakan sebahagian penting daripada budaya tempatan.”

Untuk menjayakan kempen, HLB telah bekerjasama dengan buskers paling berbakat Malaysia. Industri hiburan juga terjejas akibat pandemik. Memandangkan persembahan di jalanan dan tempat-tempat awam tidak dibenarkan disebabkan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan, punca pendapatan ramai artis, pemuzik dan penyanyi tempatan terkesan. Oleh itu, Bank berhasrat membantu komuniti ini mengembalikan ‘suara yang hilang’ pada bulan Ramadan dan Raya dengan menganjurkan konsert secara langsung Suara-Suara Raya menerusi siaran Facebook Live pada Hari Jumaat, 21 Mei 2021.

Bagi video perayaan Bank, HLB telah bekerjasama dengan buskers tempatan termasuk Maha Jefferey, Josh Thomas, Qiera, David Soh, Aidil dan adik-beradik Amirah Syamimie dan Amirah Syamida dalam satu persembahan istimewa menerusi video yang dinamakan ‘Suara-Suara Raya’. Video ini mempersembahkan adaptasi lagu Raya kegemaran ramai, ‘Satu Hari di Hari Raya’ oleh M. Nasir.

Mengulas tentang idea video ‘Suara-Suara Raya’, Zalman Zainal, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB berkata, “Apakah Raya tanpa lagu-lagu Raya yang sentiasa segar dalam ingatan dan dekat di hati masyarakat? Semangat Raya bukan sahaja dizahirkan menerusi perhimpunan keluarga dan hidangan makanan, tetapi juga disampaikan menerusi muzik.”

“Video perayaan yang dihasilkan bersama buskers tempatan kita bertujuan berkongsi semangat Raya. Persembahan ini merupakan adaptasi lagu Raya klasik dengan mengubah lirik, yang memaparkan semangat kita mengharungi cabaran sepanjang tahun lepas. Ini merupakan Raya kedua kita dibelenggu bayangan pandemik, tetapi bersama-sama, kita harus berfikiran positif dan terus mencari sinar harapan dalam kesulitan yang dihadapi sambil menantikan hari-hari yang lebih baik,” tambah Zalman.  

Kempen ‘Suara Suara Raya’ HLB akan dijalankan sehingga 11 Jun 2021. Kempen ini memberikan panduan cara memanfaatkan Raya tahun ini, merangkumi topik-topik persediaan Raya termasuk fesyen, perhiasan rumah dan kecergasan. Lebih penting lagi, Bank memberikan ganjaran dan pulangan tunai menarik meliputi produk dan perkhidmatan penting, untuk memulakan langkah ke arah membina kekuatan kewangan yang mampan. Produk dan perkhidmatan boleh diakses dengan mudah secara digital menerusi HLB Connect, platform perbankan dalam talian dan mudah alih Bank.

Ambil Kesempatan untuk Menyertai HLB pada Raya ini

  • Buat permohonan bagi CASA/-i (Akaun/i Bayar & Jimat dan Akaun/i Simpanan Asas) menerusi aplikasi Apply@HLB untuk mendapatkan e-Duit Raya sehingga RM50
  • Dapatkan e-Duit Raya sehingga RM100 serta peluang memenangi set pembelajaran di rumah bernilai RM5,000 (komputer riba, meja, kerusi) dengan memohon Akaun/i Junior 3 dalam 1 menerusi HLB Connect Online 
  • Kadar Deposit Tetap Junior istimewa 3.00% setahun selama 6 bulan apabila anda membuka Akaun/i Junior 3-dalam-1
  • Dapatkan 2,000 Syiling Shopee untuk membeli juadah dan busana Raya apabila anda membuka akaun HLB baharu di Gedung Rasmi HLB di Shopee

Perluaskan Portfolio Anda bersama HLB

  • Nikmati kadar 2.50% setahun selama 12 bulan dan merebut peluang untuk memenangi Duit Raya sehingga RM 2,500 dengan membuat deposit dalam Akaun Pelaburan Bertempoh-i
  • Pastikan anda antara 100 pelanggan pertama untuk menerima baucar RM100 Lazada dengan setiap pembiayaan teragih diluluskan berjumlah RM100,000 dan ke atas apabila anda memohon Pembiayaan/i ASB
  • Tambah Nilai Pelaburan anda dalam Dana Harga Berubah ASNB menerusi HLB Connect Online untuk menikmati ganjaran tambah nilai RM130 bagi Touch ‘n Go eWallet
  • Langgan pelan HLM Takaful Legacy untuk menikmati baucar tunai. Baucar tunai sehingga RM100,000 disediakan.
  • Nikmati kadar istimewa apabila anda membuat deposit dalam eDeposit Tetap/-i dan Deposit Tetap/-i

Dapatkan Ganjaran Apabila Berbelanja Raya dengan HLB

  • Mohon sekarang untuk kad kredit HLB dan anda boleh memilih tawaran pilihan anda:
    • Tawaran 1: Mohon, aktifkan dan berbelanja menggunakan kad kredit baharu anda untuk mendapatkan Pulangan Tunai sehingga RM325
    • Tawaran 2: Mohon untuk kad kredit HLB baharu dan nikmati faedah tambahan 2% setahun bagi Deposit Tetap selama 6 bulan
  • Dapatkan rebat 20% bagi pembelian dalam talian setiap hujung minggu dengan rakan-rakan kerjasama termasuk Shopee, Nike, Zara, Uniqlo, Sephora, Jaya Grocer, Grabfood dan banyak lagi!

Lebih Banyak Promosi Raya Eksklusif

  • Dapatkan kadar Pinjaman Peribadi/Pembiayaan serendah 5% setahun apabila anda memohon dalam talian dan serendah 3.60% setahun apabila anda memohon di cawangan
  • Pulangan tunai berjumlah RM 190,000 untuk dimenangi apabila anda menghantar e-Duit Raya menerusi aplikasi HLB Connect
  • Bayar Zakat Fitrah dengan mudah, di mana-mana menerusi HLB Connect

Untuk menyaksikan video ‘Suara-Suara Raya Bersama Buskers Malaysia’ HLB, sila layari https://youtu.be/hOU-cPVdCeQ.

Untuk menonton konsert Facebook live ‘Suara-Suara Raya’ komuniti busking tempatan pada 21 Mei, sila kunjungi  www.facebook.com/HLBMalaysia.

Untuk maklumat lanjut tentang kempen Raya HLB, kunjungi laman web kami di www.hlb.com.my/raya

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.