IBS Forest City Country Garden Diiktiraf Sebagai Kemudahan Pembinaan Prafabrikasi Automatik Sepenuhnya Terbesar Di Malaysia

JOHOR BAHRU, Malaysia, 30 April 2019 /PRNewswire/ — Forest City Country Garden (HK.02007) menerima satu lagi anugerah di Malaysia pada 25 April 2019 yang lalu. Kilang Sistem Binaan Berindustri (IBS) bandar raya berkenaan telah disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai kemudahan prafabrikasi automatik sepenuhnya yang terbesar di Malaysia.

Menteri Kerja Raya Malaysia YB Baru Bian menghadiri majlis penyampaian anugerah berkenaan, dan bersama-sama salah seorang hakim anugerah berkenaan, menyampaikan sijil kepada Forest City. Susulan penerimaan sijil daripada Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir Mohamad atas sumbangan kemudahan berkenaan terhadap ekonomi tempatan dan anugerah Pembangunan Hijau Mampan Terbaik IBS yang disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Zuraida Kamaruddin, Forest City sekali lagi diiktiraf oleh kerajaan persekutuan dalam tempoh hanya dua bulan.

En. Bian mengulas di acara ini, “Saya kagum dengan IBS Forest City. Tahniah atas projek yang cemerlang ini, yang menjadi kebanggaan negara, di samping menjadi wakil yang amat penting untuk hala tuju industri ini. Kami menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Forest City.”

Pengarah strategi Forest City Ng Zhu Hann berkata, “Ini merupakan satu galakan buat Forest City, apabila IBS meraih satu lagi pengiktirafan daripada kerajaan persekutuan. Melalui pemahaman maksud dasar perumahan 2.0 yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia dan inisiatif-inisiatif Kementerian Kerja Raya terhadap pengindustrian pembinaan dan teknologi pemodelan maklumat bangunan (BIM), kami akan terus menyumbang kepada transformasi perindustrian Malaysia berdasarkan konsep-konsep ini, menyediakan pemindahan teknologi berteknologi tinggi di samping menambah baik rantaian perindustrian pembinaan tempatan.”

Pada Ogos 2017, projek fasa I kilang IBS, yang dibina bersama-sama Forest City, EBAWE yang berpangkalan di Jerman dan IMER yang berpangkalan di Itali dan dianggap oleh banyak pemerhati industri sebagai yang terkemuka bagi kemudahan berkenaan di seluruh Asia, secara rasminya mula beroperasi. Projek fasa 1 berkeluasan 73,000 meter persegi, dengan kapasiti tahunan direka seluas 260,000 meter padu konkrit, sudah cukup untuk menampung kawasan pembinaan berkeluasan 1 juta meter persegi, yang bersamaan dengan kira-kira 9,000 unit kediaman bangunan pangsapuri biasa. IBS ialah peneraju dari segi kapasiti bagi kemudahan tunggal di Asia. Kini, kemudahan ini menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan dan menawarkan latihan profesional kepada pekerja-pekerja berkemahiran. Teknologi-teknologi canggihnya menerima perhatian yang luas merentas sektor pembinaan kawasan berkenaan.

Disokong oleh sistem pengeluaran berdasarkan piawaian pembinaan tertinggi di dunia, komponen-komponen dengan kualiti yang sama boleh menyumbang kepada pembinaan dan pembangunan berterusan Forest City, mengurangkan sebarang bahan buangan dalam proses penyelesaian projek-projek hartanah sambil melindungi alam sekitar kawasan setempat. Sebagai projek rintis bagi bangunan pemasangan modular, Forest City telahpun berjaya menyelesaikan pembinaan lima bangunan pangsapuri dengan komponen-komponen dikilangkan oleh kilang IBS. Pengerusi jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Johor Dzulkefly Ahmad melakukan lawatan pemeriksaan ke atas dua bangunan pangsapuri yang telahpun diserahkan oleh Forest City dan menyampaikan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) kerajaan Malaysia kepada pihak pemaju hartanah.

Selain memenuhi tuntutan pembinaan Forest City, perkhidmatan daripada kilang IBS akan ditawarkan kepada projek-projek pembinaan tempatan yang lain.

Sumber: Country Garden Forest City

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI