iProperty.com.my Mendedahkan Tujuh Hartanah Kediaman Bertingkat Tinggi Di Malaysia Dengan Kadar Pulangan Hasil Sewa Tertinggi Pada 2019

iProperty.com.my, laman portal hartanah nombor satu di Malaysia, telah mendedahkan tujuh hartanah kediaman bertingkat tinggi di Malaysia dengan kadar pulangan hasil sewa ( rental yield ) tertinggi pada 2019.

Hartanah disenaraikan terletak di beberapa negeri di Malaysia dan telah merekodkan kadar pulangan hasil sewa antara 5.71% ke 11.1%. Senarai ini berdasarkan aplikasi data raya iProperty.com.my, iPropertyiQ.com dan hartanah disenarai mengikuti susunan dari paling tinggi ke paling rendah. Kadar pulangan hasil sewa setiap hartanah dipamerkan dalam bentuk peratus (%).

1. Le Renaissance – Bukit Kepayang, Negeri Sembilan

Kadar pulangan hasil sewa : 11.1%

● Saiz binaan yang menjana kadar pulangan hasil sewa terbaik: 1,367 – 1,500 kaki persegi
● Median harga hartanah untuk 1,367 – 1,500 kaki persegi: RM270,000
● Median sewaan bulanan pada 2019: RM2,500

Kondominium pegangan kekal sembilan tingkat ini terletak di dalam kejiranan Taman Bukit Kaya. Walaupun ia merupakan pemajuan yang agak lama, ia diselenggara dengan rapi di samping mempunyai ciri-ciri hartanah yang baik iaitu hampir dengan pusat bandar raya (Seremban), saiz unit yang luas, kawalan keselamatan yang ketat dan kepadatan rendah.

Ia adalah satu-satunya kondominium yang melepasi paras pulangan sewaan 10% dan turut tersenarai sebagai salah satu kondo yang mencatatkan keuntungan modal terbaik pada 2018.

Le Renaissance merupakan pilihan menarik untuk penyewa berkeluarga memandangkan saiz binaannya yang luas dengan empat bilik tidur, persekitaran yang selamat dan lokasi yang hampir dengan beberapa sekolah termasuk St. Paul’s Institution, Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Sekolah Kebangsaan Puteri dan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V. Pelbagai kemudahan komersial ada di dalam lingkungan 3 KM seperti Seremban Gateway Mall, Palm Mall, Tesco Extra dan Hospital Pakar KPJ. Di samping itu, plaza tol Seremban (Lebuhraya PLUS) yang terletak hanya dalam lingkungan 1 KM memudahkan pergerakan penghuni.

2. Amber Court – Bentong, Pahang

Kadar pulangan hasil sewa : 8.8%

● Saiz binaan yang menjana kadar pulangan hasil sewa terbaik: 1,184 – 1,302 kaki persegi
● Median harga hartanah untuk 1,184 – 1,302 kaki persegi: RM340,000
● Median sewaan bulanan pada 2019: RM2,500

Terletak di Genting Highlands, Amber Court adalah sebuah apartmen pegangan bebas 20-tingkat. Amber Court terletak berhampiran tempat tarikan pelancong dan menawarkan pemandangan gunung yang menakjubkan. Hasilnya, sebahagian besar unitnya disewa sebagai homestay yang sesuai untuk pelancong yang mencari harga sewa yang berpatutan di tempat percutian.

Walaupun ia merupakan apartmen yang lama, kekurangan tempat penginapan selama musim puncak di Genting Highlands dapat menjadi alasan utama permintaan penyewa pada Amber Court yang berterusan. Minat ini ditambah dengan harga rata-rata hartanah Amber Court yang tidak begitu meningkat selama bertahun-tahun, boleh menjadi sebab tambahan mengapa hasil sewaannya meningkat hampir 9% pada tahun 2019.

3. Larkin Utama (Menara Metro Larkin) – Johor Bahru, Johor

Kadar pulangan hasil sewa : 8.5%

● Saiz binaan yang menjana kadar pulangan hasil sewa terbaik: 1,078 – 1,448 kaki persegi
● Median harga hartanah untuk 1,078 – 1,448 kaki persegi: RM155,000
● Median sewaan bulanan pada 2019: RM1,100

Larkin Utama adalah apartmen pajakan kelas tengah di Johor Bahru yang masih kompetitif di pasaran rumah sewa. Dibina pada tahun 1999, apartmen ini berada di lokasi yang strategik berhampiran dengan Kelab Golf Royal Johor, serta kemudahan lain seperti Pusat Pakar KPJ Puteri, Terminal Bas Larkin, Taman Bandar Merdeka dan Danga Bay City Mall; bersama dengan institusi pendidikan seperti Sekolah Kebangsaan Larkin 2 dan Sekolah Menengah St Joseph.

Larkin Utama juga menonjol dari segi kemudahan, menawarkan lebih banyak daripada apa yang ditawarkan oleh apartmen biasa, seperti gelanggang tenis, gelanggang skuasy, gimnasium, kolam renang dan sauna, pasar mini, taman permainan anak-anak dan kawasan barbeku. Penduduk dijamin keselamatan 24 jam juga, dengan rondaan kerap.

4. Berjaya Times Square – Jalan Imbi, Kuala Lumpur

Kadar pulangan hasil sewa : 6.02%

● Saiz binaan yang menjana kadar pulangan hasil sewa terbaik: 550 – 678 kaki persegi
● Median harga hartanah untuk 550 – 678 kaki persegi: RM578,000
● Median sewaan bulanan pada 2019: RM2,900

Semenjak pembukaannya pada 2003, Berjaya Times Square adalah sinonim dengan kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur. Pemajuan bersepadu pegangan kekal di Bukit Bintang ini menempatkan sebuah pusat membeli belah, hotel, pusat pameran dan kediaman servis. Ia dikelilingi restoran dan pusat membeli belah termasuk Plaza Sungei Wang, Lot 10, Plaza Low Yat, Fahrenheit 88, Pavilion Kuala Lumpur dan Starhill Gallery.

Di samping itu, stesen monorel Imbi yang terletak di hadapan Berjaya Times Square memudahkan penghuni dan pelancong bergerak ke kawasan tumpuan lain di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur. Lokasi dan kemudahan akses yang ditawarkan Berjaya Times Square ini disokong pula dengan Jalan Imbi yang menghubungkan kawasan ini dengan jalan utama lain seperti Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak.

Kemudahan juga banyak disediakan. Ada sebuah kolam renang luar yang besar, kolam spa, gimnasium, meja ping-pong dan gelanggang skuasy. Di samping itu, penghuni menikmati kemudahan runcit, makanan dan hiburan yang disediakan di pusat membeli belah yang terletak di aras bawah. Seperti Amber Court, Berjaya Times Square mendapat manfaat daripada kedudukannya di kawasan tumpuan pelancong dan orang ramai yang berpusu-pusu pada hujung minggu.

5. PLAZA 393 – Jalan Peel, Cheras

Kadar pulangan hasil sewa : 6%

● Saiz binaan yang menjana kadar pulangan hasil sewa terbaik: 718 – 732 kaki persegi & 902 – 980 kaki persegi
● Median harga hartanah untuk 718 – 732 kaki persegi & 902 – 980 kaki persegi: RM301,500 & RM360,000
● Median sewaan bulanan pada 2019: RM1,500 & RM1,800

Apartmen kelas pertengahan pegangan pajak ini terletak di Jalan Peel, Cheras, Kuala Lumpur. Plaza 393 merupakan sebuah pemajuan hartanah berusia 18 tahun yang menawarkan kemudahan runcit kerana letaknya di atas sebuah pasar raya besar NSK Trade City. Ini memudahkan urusan membeli barangan runcit dan bahan keperluan lain bagi penghuni.

Faktor pelaris utama Plaza 393 adalah lokasinya. Terdapat beberapa pusat membeli belah popular dalam lingkungan 1.5 KM termasuk Sunway Velocity Mall, Viva Mall, MyTown Shopping Centre, IKEA Cheras dan AEON Taman Maluri. Selain itu terdapat banyak tempat boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki, daripada restoran dan bank, hingga ke farmasi dan dewan serba guna Cheras. Stesen MRT Cochrane yang terletak hanya 600m dari apartmen ini memudahkan urusan golongan profesional. Apartmen ini lengkap dengan kemudahan termasuk pasar mini, trek joging, taman permainan kanak-kanak, kafeteria dan kawalan keselamatan 24 jam.

6. JAZZ Suites @ Vivacity – Kuching, Sarawak

Kadar pulangan hasil sewa : 5.83%

● Saiz binaan yang menjana kadar pulangan hasil sewa terbaik: 1,004 – 1,076 kaki persegi
● Median harga hartanah untuk 1,001 – 1,076 kaki persegi: RM535,000
● Median sewaan bulanan pada 2019: RM2,600

Jazz Suites adalah satu lagi kondominium yang muncul sebagai hartanah dengan pertumbuhan modal tertinggi pada tahun 2018, di samping Le Renaissance. Kondominium pajakan ini juga menonjol dari hartanah lain dalam senarai ini dari segi usianya yang agak muda, di mana fasa pertama dilancarkan pada tahun 2016.

Tempat penginapan ini mempunyai ciri runcit yang sama seperti Berjaya Times Square dan Plaza 393, di mana ia terletak tepat di atas Vivacity Megamall yang dikenali sebagai sebuah pusat membeli-belah terbesar dan paling popular di Kuching. Ia merupakan pilihan penginapan homestay dan sewa jangka pendek yang popular di kalangan pelancong, keluarga percutian dan pelancong perniagaan.

Kemudahan termasuk gimnasium, kolam renang, perpustakaan, ruang hiburan, sauna, kemudahan rumah kelab dan taman atap yang indah. Jazz Suites terletak di pusat bandar Kuching, dengan lokasi utama yang berdekatan termasuk Swinburne University, Sunway College, Borneo Medical Center, Kuching Specialist Hospital dan King’s Commercial Center. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching terletak hanya 7 KM dari hartanah ini, meningkatkan lagi daya tarikan Jazz Suite sebagai pilihan penginapan yang mudah.

7. The Palladium – Keramat, Kuala Lumpur

Kadar pulangan hasil sewa : 5.71%

● Saiz binaan yang menjana kadar pulangan hasil sewa terbaik: 1,141 – 1,238 kaki persegi
● Median harga hartanah untuk 1,141 – 1,238 kaki persegi: RM420,000
● Median sewaan bulanan pada 2019: RM2,000

The Palladium adalah sebuah kondominium pegangan bebas yang terdiri daripada empat blok menara kediaman 9-tingkat yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur yang hijau dan tenang iaitu Keramat. Meskipun ia merupakan hartanah tertua dalam senarai ini pada usia 27 tahun, The Palladium mempunyai prestasi yang baik di sektor penyewaan.

Ini dapat dikaitkan dengan lokasinya yang strategik berhampiran pelbagai komponen dan kemudahan komersial dengan tiga institusi pendidikan tinggi dalam radius 1 KM iaitu UniKL Business School, Universiti Teknologi Malaysia dan TM Multimedia College (MMC). Beberapa hospital, termasuk Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Umum Kuala Lumpur dan Hospital Pusrawi berada dalam jarak 5 minit pemanduan.

Selain itu, destinasi membeli-belah terkemuka seperti Suria KLCC, Intermark Mall dan Avenue K juga berdekatan. Sama seperti Plaza 393, sebuah stesen LRT berada dalam jarak berjalan kaki ke kondominium, stesen LRT Damai yang berjarak 900 M. Kemudahan termasuk gelanggang skuasy, kolam renang dan pasar mini yang disediakan untuk penghuni.

NOTA KAKI:

1) Memandangkan kebanyakan bangunan kediaman bertingkat tinggi menawarkan pilihan unit dalam pelbagai saiz, mungkin akan ada kepelbagaian dalam median harga sewa dan median harga di dalam bangunan yang sama. Kami telah mengambil kira faktor ini semasa menghitung ‘rental yield’ bagi mengelakkan herotan data. Bagi setiap pemenang, kami hanya menonjolkan saiz binaan yang mendapat nilai ‘rental yield’ tertinggi. Angka ‘rental yield’ yang ditunjukkan di sini bukanlah penunjuk prestasi keseluruhan sesebuah bangunan pada 2019, tetapi hanya khusus untuk saiz unit yang dinyatakan.

2) Hartanah kediaman yang merekodkan kurang daripada 5 transaksi tidak diambil kira dalam pemilihan 7 pemenang ini.

3) Nilai ‘rental yield’ bersih = (median sewa bulanan X 12)/median harga hartanah X 100

*Median sewa bulanan = Median sewa (tawaran), diperolehi daripada pangkalan data penyenaraian hartanah iProperty.com.my. Hanya sewa bulanan dalam tempoh penilaian (Januari ke Disember 2019)
diambil kira dalam penentuan median setiap projek hartanah.

*Median Harga Hartanah: Data jualan yang bersumberkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH) dan direkod oleh Brickz.my. Data kemudian disusun menggunakan aplikasi data raya iProperty.com, iPropertyiQ.com.my.

Mengenai iProperty.com.my

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. Dengan lebih 3 juta lawatan setiap bulan, iProperty.com.my merupakan portal hartanah pendahulu pasaran yang menawarkan carian dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.