Kenanga Investment Bank Umum Kenaikan 37.4% Untung Bersih bagi Sembilan Bulan Pertama

Bank pelaburan bebas terkemuka Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad (“Kenanga” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM86.5 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, 2021 (“9B21”), iaitu peningkatan daripada RM63 juta bagi tempoh sama pada tahun lepas (“9B20”). 

Pendapatan bersih tahun berakhir (YTD) berjumlah RM586.3 juta, naik sebanyak 1.4% daripada tempoh yang sama sebelumnya, manakala perbelanjaan operasi berkurang sedikit kepada RM490.7 juta.  Pulangan ke atas Ekuiti Tahunan (ROE) berdasarkan 9B21 adalah sebanyak 11.3% berbanding dengan 9.0% pada 9B20. 

Perolehan yang kukuh terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan pembrokeran saham dan pengurusan pelaburan, di samping bahagian keuntungan daripada usaha sama dengan Rakuten Trade Sdn Bhd.  

Bahagian Pembrokeran Saham Kenanga Investment Bank mencapai PBT sebanyak RM68.8 juta bagi 9B21 berbanding dengan RM52.7 juta daripada tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh faedah bersih lebih tinggi, pendapatan dagangan dan pelaburan bersih yang lebih baik, di samping perbelanjaan kerugian kredit yang lebih rendah. Pendapatan pelaburan dagangan ekuiti bersih meningkat kepada RM56.0 juta, naik 40.2% daripada tempoh yang sama.

Bahagian ini terus mengembangkan bahagian pasarannya, terutamanya dalam segmen runcit, daripada 21.9% kepada 23.5%, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu broker runcit terbesar dalam pasaran. Dalam tempoh yang sama, Rakuten Trade mencapai satu lagi kemajuan dengan platform dagangan dalam talian yang berkembang pantas, melebihi 200,000 akaun berdaftar.    

Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Kekayaan Kenanga Investment Bank mencatatkan PBT paling tinggi dalam rekod, melonjak lebih tiga kali kepada RM20.6 juta dalam tempoh sembilan bulan berbanding dengan RM7.6 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Peningkatan yang ketara ini disebabkan oleh penjanaan pendapatan fi prestasi dan fi pengurusan lebih tinggi yang disokong oleh peningkatan aset di bawah pengurusan (AUA) dan kekuatan agensi jualan. AUA berjumlah RM16.3 bilion, meningkat sebanyak 18.4% daripada tempoh yang sama tahun lepas.  

Bagi suku tahun dalam tinjauan, hasil dan untung bersih sebelum cukai dipengaruhi oleh jumlah dagangan yang semakin lemah di Bursa Malaysia, mengakibatkan pembrokeran bersih serta pendapatan dagangan dan pelaburan yang lebih rendah. Bagi S3 2021, hasil bersih berjumlah RM202.6 juta, manakala keuntungan sebelum cukai berjumlah RM26.3 juta. 

“Dengan pembukaan semula secara beransur-ansur semua sektor ekonomi dan pemansuhan sekatan, disokong oleh kemajuan kempen vaksinasi COVID-19, penggunaan langkah-langkah rangsangan dan timbulnya keadaan permintaan yang kukuh, kami kekal optimis secara berwaspada terhadap prospek ekonomi negara memasuki tahun baharu,” ujar Datuk Chay Wai Leong, Pengarah Urusan Kumpulan, Kenanga Investment Bank Berhad. 

“Walau bagaimanapun, kita kini menyaksikan penyusutan dalam aktiviti dagangan bukan sahaja di Bursa Malaysia, tetapi juga di beberapa bursa utama lain di seluruh dunia. Hal ini berkemungkinan memberikan impak kepada hasil suku tahun yang seterusnya, namun secara keseluruhannya, meraih manfaat daripada kekuatan menerusi aliran hasil pelbagai kami, kami berada di landasan yang betul untuk mengakhiri tahun ini pada asas yang kukuh, berbanding dengan prestasi tahun lepas,” tambah Datuk Chay.  

“Dengan model perniagaan kami tertumpu pada pendigitalan, dan amalan berterusan kehematan di seluruh operasi kami, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk terus mengembangkan perniagaan dan menghasilkan nilai pemegang saham jangka panjang,” jelas Datuk Chay. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Kumpulan Kenanga, sila layari www.kenanga.com.my.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.