Kenapa Pulangan Tabung Haji Sedikit?

Dalam pengumuman minggu lepas iaitu Hibah Tahunan dan Bonus Tabung Haji Meningkat 0.25% Bagi Tahun 2017, kita telah diberitahu yang hibah Tabung Haji dikira berdasarkan baki tahunan terendah.

Ramai yang keliru kerana peratusan hibah meningkat tetapi peratusan keuntungan sangatlah rendah.

Ini menimbulkan rasa tak puas hati banyak pihak kerana jika menggunakan pengiraan baki tahunan terendah dalam akaun, pendeposit akan mendapat jumlah hibah yang sangat rendah. Kalau anda tak faham dengan cara pengiraan, mungkin penerangan dari netizen ini akan membuat anda faham.

Melalui kenyataan balas Tabung Haji, mereka menerangkan bahawa simpanan di Tabung Haji adalah berkonsepkan Al- Wadi’ah Yad Dhamanah yang patuh syariah, dimana simpanan dijamin 100 peratus oleh Kerajaan manakala pemberian hibah atau hadiah adalah berdasarkan prestasi kewangan tahun semasa dan mengikut budi bicara Tabung Haji.

Tambah mereka lagi, walaupun hibah tidak dijanjikan namun Alhamdulillah, Tabung Haji tidak pernah gagal memberi hibah kepada pendeposit setiap tahun sejak 1966.

Pertama sekali, anda perlu faham tujuan penubuhan Tabung Haji itu sendiri. Tabung Haji menjalankan pengurusan haji, menyediakan kemudahan untuk umat Islam menyimpan bagi tujuan pergi menunaikan haji simpanan serta pelaburan.

Simpanan pendeposit dilaburkan dalam aktiviti pelaburan dan instrumen patuh syariah bagi menjana pulangan yang kompetitif. Jadi Tabung Haji bukanlah instrumen pelaburan yang utama tetapi ianya adalah instrumen simpanan.

Kita tahu lebih tinggi risiko bermakna lebih tinggi pulangan. Tetapi Tabung Haji perlu menjaga kebajikan simpanan pencarum, maka mereka perlu lebih berhati-hati dalam melaksanakan pelaburan agar tidak melabur secara agresif sekaligus memastikan modal pendeposit terjaga.

Ini seiring dengan objektif penubuhan mereka sendiri iaitu untuk menjana keuntungan yang mampan dan pengekalan modal dengan mengambil kira keseimbangan tahap risiko dan pulangan yang sepadan.

Masih ingat lagi bagaimana Tabung Haji dikritik hebat sebelum ini kerana mereka melabur sebanyak RM188 juta dalam projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX)? Mereka takkan pernah dapat memuaskan hati semua pihak.

Tapi Alhamdulillah dalam masa dua hari selepas isu ini hangat diperdebatkan, melalui respon balas terbaru TH yang disiarkan di laman Facebook rasmi mereka, pengiraan hibah TH 2017 adalah berdasarkan baki purata minima bulanan sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

 

Kami percaya pasti ramai yang berasa lega atas perubahan cara kiraan hibah ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Tabung Haji kerana prihatin atas kebajikan pendeposit selama ini.

Tabung Haji telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dalam menguruskan perkhidmatan haji tahunan. Jika tidak, masakan jemaah dari Malaysia mendapat pujian sebagai model kepada tetamu Allah dari seluruh dunia pada setiap musim haji.

Datuk Bandar Makkah, Dr Osama Fadl Albaar pernah menyatakan dalam pertemuan dengan Media Malaysia sebelum ini bahawa  “Jemaah dari Malaysia adalah contoh terbaik kerana mereka diajar secukupnya sebelum berangkat ke Tanah Suci,”

Anggaplah teguran ini sebagai kritikan membina. Memetik komen yang ditulis oleh Muslim bin Azman kepada TH, kita sebagai pelabur persoalkan kredibiliti, prestasi dan strategi orang yang diamanahkan mengurus duit-duit  pendeposit Tabung Haji,  bukan bermakna kita tak  bersyukur dengan rezeki daripada Allah. Urusan Tabung Haji bukan untuk pergi haji semata-mata tetapi juga untuk memperkasa ekonomi & modal pendeposit.

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.