KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Kerajaan bercadang melaksanakan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kadar itu lebih rendah berbanding cadangan awal sebanyak 12 peratus.
“Tetapi ada yang bimbang ia akan meningkat, bermula pada 2.0 peratus kemudian naik kepada 4.0 peratus dan 6.0 peratus.
“Ia bukan begitu. Kita kekalkannya pada 2.0 peratus, yang mana sangat minimum,” kata Anwar semasa menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di sini, hari ini.
Beliau berkata cadangan itu akan dibincangkan di mesyuarat Kabinet minggu ini dan Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan butiran terperincinya.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan cadangan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP dan akan memberikan layanan yang adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.
“Cadangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat,” kata beliau pada Dewan Rakyat semasa pembentangan tersebut.
Susulan itu Kementerian Kewangan mencadangkan kadar caruman KWSP diseragamkan untuk rakyat Malaysia dan warga asing dengan kontrak pekerjaan baharu.
Ini bermakna pekerja akan menyumbang 11 peratus manakala majikan menyumbang 12-13 peratus.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan mencadangkan kadar caruman untuk pekerja asing dan majikan dengan kontrak sedia ada bermula pada 2.0 peratus dan meningkat secara berperingkat dalam tempoh enam tahun sehingga ia mencapai kadar caruman KWSP untuk pekerja Malaysia.
TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.
“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.
“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.
Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.
Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.
Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.
“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.
Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.