
Photo by National Cancer Institute on Unsplash
Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) telah memperkenalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaharu secara digital yang membolehkan pengguna untuk menghubungi pengamal kesihatan secara maya menerusi aplikasi kesihatan digital terbaharunya, ‘Telehealth Plus’, di mana pesakit boleh mendapatkan konsultasi secara atas talian semasa berada di rumah. Platform ini yang turut menyediakan pemeriksaan kesihatan am, bertujuan untuk memberikan akses mudah untuk lebih sejuta pesakitnya di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam suasana hari ini.
Di Malaysia, kemudahan perubatan RSDH yang terdiri daripada Subang Jaya Medical Centre, Ara Damansara Medical Centre dan ParkCity Medical Centre telah memulakan perkhidmatan klinik secara maya melalui platform ini pada Jun 2020. Pesakit kini boleh menerima penjagaan susulan daripada pengamal perubatan profesional yang terdiri daripada pakar kardiologi, pakar onkologi, pakar bedah saraf, pakar kanak-kanak serta doktor am. Temujanji bersama pengamal perubatan profesional bersekutu seperti ahli terapi pemulihan dan cara kerja juga boleh dijadualkan.
Platform ini yang juga boleh diakses melalui pelayar internet menggunakan komputer riba, tablet atau telefon pintar turut menggunakan teknologi inovatif yang mudah dan senang untuk digunakan terutamanya apabila penjarakan sosial serta interaksi yang tidak diperlukan sudah menjadi norma baharu. Ini membolehkan pesakit yang mempunyai kebimbangan mengenai Covid-19 yang telah turut menjejaskan sektor penjagaan kesihatan di seluruh dunia, untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan pada masa yang tepat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH, Encik Greg Brown, berkata, “Oleh kerana pandemik Covid-19 menyukarkan ramai pesakit untuk berkunjung ke hospital, kami telah melabur bagi menghasilkan sebuah aplikasi perkhidmatan secara komprehensif termasuk konsultasi menerusi panggilan video bagi pesakit yang tidak mahu berkunjung ke hospital dengan kerap buat masa ini. Dengan aplikasi ini, kami percaya pesakit akan lebih mengambil berat akan kesihatan mereka dan akan mendapatkan bantuan perubatan dengan lebih kerap dalam keselesaan kediaman mereka sendiri.”
“Walaupun pesakit akan mendapat kualiti perkhidmatan perubatan secara maya yang sama seperti di hospital, konsultasi secara maya tidak digalakkan untuk semua. Rangkaian doktor di seluruh hospital kami hanya tersedia bagi pesakit yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu konsultasi secara bersemuka. Pesakit boleh memuat naik keputusan ujian serta laporan untuk diperiksa dan oleh itu, pemeriksaan kesihatan secara maya boleh dilakukan secara mudah dengan masa menunggu yang lebih pendek dan konsultasi boleh diuruskan dengan mudah melalui panggilan video,” kata Encik Brown.
“Mengintegrasikan perkhidmatan digital merupakan langkah yang penting dan tepat pada masanya. Kami kini mempunyai platform perkhidmatan kesihatan bagi semua hospital kami di Malaysia dan Indonesia. Rancangan jangka sederhana kami adalah untuk mempunyai satu platform integrasi termasuk Sistem Pengurusan Pesakit yang merangkumi sejarah perubatan secara elektronik bagi semua kumpulan hospital kami untuk memastikan perkhidmatan yang lancar bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan pesakit yang sentiasa berubah,” tambah Encik Brown.
Pesakit boleh membuat temujanji susulan dan pembayaran secara elektronik atau e-payment, di samping menyimpan sejarah konsultasi dengan kad e-temujanji. Ubat-ubatan juga boleh ditetapkan melalui perkhidmatan ini dan pesakit boleh mendapatkan ubat melalui penghantaran ke rumah atau mengambil sendiri di hospital. Kumpulan RSDH juga sedang meneliti penghantaran perubatan kepada pesakit antarabangsa. Maklumat lanjut mengenai Telehealth Plus boleh didapati di www.sjmctelehealthplus.com, www.admctelehealthplus.com dan www.pmctelehealthplus.com.
MENGENAI RAMSAY SIME DARBY HEALTH CARE
Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) dimiliki secara sama rata oleh Sime Darby Berhad dan Ramsay Health Care. Entiti ini menggabungkan semua portfolio aset penjagaan kesihatan di Malaysia yang terdiri daripada Subang Jaya Medical Centre, Ara Damansara Medical Centre, ParkCity Medical Centre dan Ramsay Sime Darby Healthcare College, serta tiga hospital Ramsay Health Care di Indonesia, RS Premier Jatinegara, RS Premier Bintaro and RS Premier Surabaya. Tambahan juga, Ramsay Sime Darby Health Care memiliki Pusat Pembedahan Harian di Hong Kong. RSDH cekal dalam memberikan penjagaan pesakit berkualiti tinggi dan komited kepada slogan “People caring for people”. Dengan teknologi dan kemudahan yang canggih serta perunding yang berpengalaman dalam pelbagai jenis kepakaran, pasukan penjagaan kesihatan berpengalaman RSDH komited dalam penjagaan pesakit berkualiti tinggi, hasil klinikal, kebajikan kakitangan serta pakar dan kepentingan pihak berkepentingan.