MADAD Cipta Peluang Kerja, Inisiatif Memajukan Ummah

Murtadha Dakwah Centre (MADAD) memberi peluang kepada golongan muda untuk menceburi peluang perniagaan menerusi kolaborasi dengan Syukor Burger.

Usaha tersebut sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan di samping menyemarakkan lagi jihad dalam Islam menerusi perniagaan.

Menurut Pengarah Urusan MADAD Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, jalinan kerjasama ini bakal membantu usahawan lain yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dengan membantu mereka mencipta peluang perniagaan baharu.

“MADAD mensasarkan seribu francais bermula di daerah Kuala Muda menjelang akhir tahun ini. Peluang berniaga burger ini turut diberikan kepada kakitangan MADAD sendiri dalam menambah pendapatan mereka selain menjalankan kerja sukarelawan,” ujar beliau.

Terdahulu berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara MADAD yang diwakili Yaakub Yusra dan Syukor Burger yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Super Dagang, Syukor Majid.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara MADAD dan Syukor Burger.

Bagi Syukor Majid, bukan setakat berniaga burger malah pihaknya juga akan melatih para usahawan muda melalui bimbingan awal pengurusan perniagaan.

“Sasaran saya untuk melahirkan empat ke lima ribu francais seluruh negara. Kami juga akan memberi tunjuk ajar bermula daripada membuat roti, ‘patty’, sos dan mayonis,” katanya selepas Majlis Grand Opening Syukor Burger X MADAD di Murtadha Dakwah Centre, di sini.

MADAD merupakan sebuah fasiliti dakwah 24 jam yang lengkap dengan masjid, rumah warga emas, pengurusan jenazah percuma dan pendidikan percuma.

Pembinaan pusat dakwah itu dijangka akan siap sepenuhnya pada 2025.

Untuk mereka yang mahu mengejar saham akhirat dengan bersama-sama menjayakan penubuhan Murtadha Dakwah Centre, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 5520 5980 7117 atas nama Murtadha Dakwah Centre, atau boleh klik link http://www.madadcentre.com serta boleh juga hubungi nombor hotline 014-6019090 atau 014-601 9494.

Kredit: AlHijrah Online

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.