Mahkamah Rayuan Mengekalkan Sabitan dan Hukuman Penjara  Bekas Akauntan Kumpulan Media Asia 

Ken Ong didakwa pada tahun 2020 kerana gagal bantu dalam siasatan pengubahan wang haram SC

Mahkamah Rayuan telah mengesahkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan  oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 terhadap bekas akauntan  kumpulan Asia Media Group Berhad. 

Ong Kar Kian (Ken Ong) melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan  Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada  Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). 

Dalam keputusannya pada 11 September 2023 itu, Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan denda harian  RM1,500 sehari, yang dikenakan terhadap Ken Ong oleh hakim bicara. 

Kes ini merupakan pendakwaan pertama oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)  terhadap kegagalan mematuhi perintah bertulis yang dikeluarkan di bawah seksyen  32(2)(a) AMLATFPUAA. 

Keputusan Mahkamah Rayuan menekankan bahawa kegagalan dalam mematuhi  perintah bertulis SC di bawah AMLATFPUAA dipandang serius oleh mahkamah dan  pengawal selia pasaran modal itu. 

Pada 19 Februari 2020, Ken Ong telah didakwa dengan tiga pertuduhan di bawah  seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA atas kegagalan mematuhi perintah bertulis untuk  hadir di hadapan pegawai penyiasat SC bagi membantu siasatan suatu kes  pengubahan wang haram. 

Ken Ong telah didapati bersalah dan telah disabitkan bagi ketiga-tiga pertuduhan oleh  Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 10 Disember 2020, selepas perbicaraan penuh. Ken Ong dijatuhkan hukuman penjara sehari bagi setiap pertuduhan dan dikenakan  denda RM25,000, dengan hukuman penjara berjalan serentak. 

Selain itu, Ken Ong turut didenda RM1,500 sehari oleh Mahkamah Sesyen kerana  gagal mematuhi perintah tersebut selama tempoh 673 hari, iaitu berjumlah  RM1,009,500.

Ken Ong memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2020. Mahkamah  Tinggi mengesahkan sabitan dan hukuman berhubung tiga pertuduhan itu.  Bagaimanapun, denda harian berjumlah RM1,009,500 diketepikan. 

Ken Ong kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap  keputusan Mahkamah Tinggi, manakala SC memfailkan rayuan balas terhadap  mengetepikan denda harian. 

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.