Malaysia Akan Menganjurkan Persidangan E-Dagang ASEAN Pertama

Bersempena dengan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini, Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 (ASEAN E-Commerce Conference 2025) yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 November 2025 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Persidangan dua hari ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama strategik bersama Malaysia E-Commerce Chapter di bawah Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI).

Persidangan yang bertemakan “ASEAN E-Commerce Transformation: Bridging Gaps, Enhancing Competitiveness” yang julung kalinya diadakan ini akan menghimpunkan penggubal dasar, agensi-agensi kawal selia, pemain-pemain industri dan usahawan dalam talian dari seluruh negara ASEAN untuk membincangkan hala tuju strategik transformasi e-dagang serantau yang dinamik dan berdaya saing. Persidangan ini turut disokong oleh pemain-pemain industri e-dagang terkemuka dalam negara seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my dan Carousell serta penaja bersama yang lain.

Kerjasama strategik antara KPDN dan pemain utama industri e-dagang ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kepercayaan digital, mendorong inovasi serta memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang inklusif di peringkat serantau. Persidangan ini turut menekankan aspek pengukuhan kawal selia perlindungan pengguna serta pembangunan ekosistem digital yang mampan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (ASEAN Digital Economy Framework Agreement, DEFA) yang kini sedang dimuktamadkan.

Objektif persidangan ini ialah menjadikan e-dagang sebagai pemacu utama ekonomi ASEAN dan memperkukuh kawal selia perlindungan pengguna. Fokus utama terbahagi kepada dua teras utama berikut:

  • Mewujudkan pasaran e-dagang yang diyakinimeliputi usaha memperkukuh perlindungan pengguna dalam talian, cabaran kawal selia rentas sempadan, isu berkaitan cetak rompak digital dan penjualan barangan tiruan; dan
  • Memperkasa ekosistem digitalsebagai peluang untuk memperkukuh ekonomi digital ASEAN termasuk mempertingkatkan jaringan logistik last-mile, akses kepada kewangan digital seperti Buy Now Pay Later (BNPL) dan usaha memperkasa usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui e-dagang.

MICCI yakin bahawa e-dagang berupaya mengubah ekonomi, memperkasa komuniti dan membina daya tahan di seluruh ASEAN. Namun, ia memerlukan kesepakatan dari aspek peraturan, kesiapsiagaan ekosistem, dan kerjasama rentas sempadan. Persidangan ini bakal menjadi platform untuk memperkukuh dialog antara industri dan pengawal selia, serta membina ekosistem inklusif di mana semua, daripada platform global hingga PMKS luar bandar, mampu berkembang.

Persidangan ini dijangka menarik penyertaan lebih 350 peserta termasuk wakil-wakil dari negara-negara ASEAN dan akan menampilkan Sesi Perbincangan Panel dan Sesi Perkongsian bersama tokoh industri dan penggubal dasar yang akan berkongsi pandangan strategik berkaitan dasar, inovasi serta cabaran industri
e-dagang sejajar dengan matlamat memperkukuh ekosistem e-dagang serantau. Sebanyak 14 sesi melibatkan 33 ahli panel merangkumi gabungan sektor awam serta swasta dari dalam dan luar negara telah dijadualkan.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ucaptama akan disampaikan oleh Encik James Dong, Presiden, International Marketplace, Alibaba International Digital Commerce Group, barisan penceramah berprofil tinggi daripada sektor awam dan swasta, termasuk tokoh-tokoh penting yang akan berkongsi pandangan dan pengalaman dalam bidang e-dagang serta transformasi digital seperti berikut:

  • YBhg. Datuk Roziah binti Abudin

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN;

  • Encik Zhou Jun Jie

Ketua Pegawai Komersial, Shopee (Singapore) Pte Ltd;

  • YBhg. Dato’ Indrani Thuraisingham

Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA);

  • Puan Wimonrat Rukkhaworakul Teriyapirom

Pengarah

International Cooperation Section, Office of the Consumer Protection Board of Thailand

  • Encik Eric Pelletier

Naib Presiden

Ketua Hal Ehwal Kerajaan Antarabangsa, Alibaba Group;

  • Cik Saovanee Somchit

Pengarah

Shopee Malaysia

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai pendapatan tahunan sektor e-dagang mencatatkan peningkatan saban tahun dengan rekod bagi tahun 2024 mencecah nilai RM1,230.6 bilion. Terkini, untuk suku pertama dan kedua tahun 2025 sahaja; pendapatan e-dagang sudah mencapai RM625 bilion. Angka ini sahaja sudah RM13.5 bilion lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Di peringkat ASEAN, Laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company melaporkan ekonomi digital ASEAN menjana pendapatan sebanyak USD11 bilion pada tahun 2024, hampir tiga kali ganda berbanding tahun 2022. Nilai ekonomi digital serantau dijangka mencapai USD1 trilion menjelang 2030, dengan e-dagang sebagai sektor paling pesat berkembang.

Ia diunjurkan mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 22%, dengan nilai dagangan kasar (Gross Merchandise Value – GMV) mencecah sekitar USD230 bilion menjelang 2026.

KPDN ingin mengalu-alukan penyertaan semua pihak yang berminat daripada agensi-agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik, usahawan e-dagang dan badan-badan bukan kerajaan untuk turut sama menyertai persidangan ini. Pendaftaran bagi Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 kini dibuka kepada semua pihak yang berminat dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi berikut https://www2.micci.com/asean-e-commerce-conference-2025. Promosi harga tiket awal (Early Bird) juga akan ditawarkan sehingga 15 Oktober 2025. Penyertaan semua pihak dalam persidangan ini amat penting bagi memperkukuh ekosistem digital serantau serta melonjakkan agenda ekonomi digital negara. KPDN kekal komited sebagai pemangkin kerjasama strategik, perlindungan pengguna dan pembangunan e-dagang yang mampan demi manfaat rakyat dan kesejahteraan serantau.

Previous ArticleNext Article

LHDN Kenal Pasti 14,858 Pemastautin Cukai Malaysia Dengan Baki Akaun Kewangan Luar Negara Lebih RM10 bilion

Dalam dunia hari ini, duit boleh bergerak ke mana-mana. Akaun bank di luar negara, pelaburan offshore, simpanan di lokasi yang orang selalu anggap “selamat” dan eksklusif seperti Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda… semua itu bukan lagi perkara pelik untuk golongan tertentu.

Ada yang simpan cash dalam akaun luar negara.
Ada yang “park” dalam pelaburan (saham, bon, unit trust, kripto).
Ada juga yang beli rumah atau hartanah di luar negara.
Dan ada yang lebih “kemas” tak guna nama sendiri pun, sebaliknya pegang melalui akaun syarikat atau jadi pemegang amanah (trustee/nominee) untuk akaun orang lain.

Namun, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) kini mendedahkan satu dapatan besar.


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti 14,858 orang pemastautin cukai Malaysia dengan jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara melebihi RM10 bilion, namun tidak mengemukakan pelaporan cukai melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pengesanan itu dibuat hasil pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa melibatkan kerjasama dengan lebih 100 negara, sejajar usaha memperkukuh pematuhan cukai serta menangani isu pelarian cukai rentas sempadan.

Lebih menarik, akaun kewangan luar negara yang dikenal pasti ini bukan berada di satu dua lokasi biasa, sebaliknya tertumpu di pusat kewangan utama dunia seperti Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda. Nama-nama yang sering dikaitkan dengan akaun luar pesisir dan simpanan bernilai tinggi.

LHDN turut menasihatkan pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan, termasuk pendapatan yang berkait akaun kewangan luar negara, supaya segera tampil secara sukarela bagi membuat pelaporan dan pematuhan sewajarnya.

Ini kerana kegagalan melaporkan pendapatan boleh mengundang penalti serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“LHDN komited untuk terus mentadbir sistem percukaian negara secara telus, berintegriti dan profesional, selaras dengan piawaian percukaian antarabangsa.

“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas mengenai perkara itu boleh hubungi HASiL contact centre menerusi talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (luar negara), HASiL live chat dan borang maklum balas menerusi laman rasmi https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

Sumber: BERNAMA

Sebenarnya isu ini bukan perkara baharu. LHDN sebelum ini juga pernah melaporkan dapatan berkaitan pemilikan akaun kewangan luar negara, termasuk sekitar tahun 2019 dan 2024. Namun kali ini, pendedahan terbaharu menunjukkan skala yang lebih jelas melibatkan ribuan individu dan jumlah keseluruhan baki akaun berjumlah melebihi RM10 bilion.