Bila Harga Emas Naik, Siapa Dapat Tempias?

Harga emas kini sedang menggila mencatat paras tinggi ekoran gabungan faktor global seperti inflasi, ketidaktentuan geopolitik dan permintaan dari pelabur. Ketika emas fizikal sendiri naik, saham-saham syarikat perlombongan juga mengambil kesempatan dari rally ini.

Bila orang sebut harga emas naik, ramai membayangkan:

  • kedai emas penuh
  • orang beli rantai, gelang
  • pelabur beli emas fizikal / dinar

Sebenarnya perjalanan emas jauh lebih panjang. Emas bermula di bawah tanah, melalui proses perlombongan, penapisan, jual beli borong dan akhirnya sampai kepada kedai atau produk pelaburan.

Rantaian Bekalan Emas

1️⃣ Lombong dan pengeluar (miners)
Inilah syarikat yang mengorek emas dari bumi.
Kos utama mereka: mesin, diesel, pekerja, lesen, keselamatan. Bila harga emas naik, margin keuntungan mereka boleh meletup sebab kos perlombongan tak naik sepantas harga emas.

2️⃣ Pemproses dan penapisan (refiners)
Emas mentah diproses jadi emas tulen (999.9). Mereka untung melalui yuran pemprosesan, bukan harga emas.

3️⃣ Pemborong
Emas didagangkan dalam bentuk bar besar, kontrak dan simpanan.

4️⃣ Pengilang / Barang kemas
Di sinilah emas menjadi:

  • barang kemas
  • jongkong

5️⃣ Pengguna dan pelabur
Kita orang biasa beli emas untuk pakai atau simpan.

Kebanyakan pelabur sebenarnya tidak pernah terfikir pun tentang bahagian ini. Mereka hanya nampak harga emas dan kedai emas. Mereka jarang tanya siapa yang mengeluarkan emas, berapa kos perlombongan dan bagaimana syarikat ini menjana keuntungan.

Media lebih banyak bercerita tentang harga emas, bukan bisnes di sebaliknya. Kedai emas pula lebih dekat dengan pengguna berbanding lombong. Tambahan pula, topik perlombongan kedengaran teknikal dan berisiko, jadi ramai jarang nak ambil tahu.

Dalam artikel ini, kita lihat tiga syarikat yang tersenarai di Amerika Syarikat dan sering menjadi rujukan apabila harga emas bergerak: Barrick Mining Corp, Newmont Corporation dan Hycroft Mining Holding Corporation.

Kita lihat ringkasan latar belakang, prestasi kewangan dan prestasi saham setakat tahun 2025.

Barrick Mining Corporation (NYSE: B)

Barrick Mining ialah salah satu syarikat perlombongan emas dan tembaga terbesar di dunia, ditubuhkan pada 1983 dan beribu pejabat di Toronto, Kanada.

Prestasi Kewangan

Bagi suku ketriga 2025, Barrick melaporkan hasil sebanyak kira-kira US$4.1 bilion dan keuntungan bersih sekitar US$1.3 bilion, dengan pendapatan per saham (EPS) sekitar USD 0.76. Aliran tunai operasi dan tunai bebas juga mencatatkan paras tertinggi pada suku tersebut, memberikan syarikat lebih fleksibiliti untuk membayar dividen dan melaksanakan program buyback saham.

Prestasi Saham

Saham Barrick telah naik lebih 100% tahun ini (YTD), menunjukkan prestasi yang jauh lebih kuat berbanding purata sektor perlombongan emas. Ini bermakna pelabur yang memegang sejak awal tahun kini melihat kenaikan dua kali ganda berbanding permulaan 2025.

Nilai pasaran (market cap) terkini untuk Barrick ialah sekitar USD 76–77 billion berdasarkan data pasaran saham semasa Disember 2025.

Terkini, Elliott Investment Management telah masuk sebagai salah satu pemegang saham utama dalam Barrick, menunjukkan keyakinan pelabur besar terhadap prospek jangka panjang syarikat.

Baru-baru ini, Barrick umumkan yang projek Fourmile di Nevada nampaknya bukan “biasa-biasa”. Kajian terbaru menunjukkan ianya antara penemuan emas paling besar abad ini. Bukan saja banyak emas, grednya tinggi dan kos dijangka rendah. Kalau jadi lombong penuh nanti, Fourmile boleh jadi antara penyumbang utama Barrick. Senang cerita, Barrick bukan sekadar hidup atas lombong lama tetapi mereka telah jumpa “harta karun” baharu.

Newmont Corporation (NYSE: NEM)

Newmont sering dianggap sebagai pilihan “blue-chip” dalam sektor perlombongan emas. Newmont mempunyai banyak lombong emas di seluruh dunia. Mereka adalah antara pengeluar emas terbesar di dunia dengan lombong di beberapa negara di Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika, Australia dan Asia-Pasifik.

Prestasi Kewangan

Newmont melaporkan hasil lebih daripada US$5.5 bilion pada suku ketiga 2025, dengan pendapatan bersih sekitar US$1.8 bilion dan pendapatan bersih yang diselaraskan kira-kira US$1.9 bilion.

Prestasi Saham

Saham Newmont juga mencatat kenaikan yang kuat tahun ini (lebih 100% YTD), menunjukkan sambutan positif pelabur terhadap prestasi syarikat dalam persekitaran harga emas yang tinggi.

Nilai pasaran (market cap) terkini untuk Newmont ialah sekitar USD 114.29 billion berdasarkan data pasaran saham semasa Disember 2025.

Hycroft Mining Holding Corporation (NASDAQ: HYMC)

Berbeza dengan dua nama besar di atas, Hycroft Mining merupakan syarikat yang lebih kecil dan fokus kepada projek Hycroft Mine di Nevada, AS. Ia juga melibatkan perlombongan perak selain emas dan masih dalam fasa pembangunan serta eksplorasi.

Prestasi Kewangan

Hycroft masih belum stabil dengan aliran tunai positif dan belum menunjukkan keuntungan tetap seperti Barrick atau Newmont. Banyak peningkatan harga sahamnya lebih didorong oleh ekspektasi pasaran terhadap potensi deposit dan hasil masa depan daripada prestasi kewangan semasa.

Prestasi Saham

Saham HYMC mencatat kenaikan sangat ekstrem dalam 2025 (lebih 1,000% YTD). Ini menunjukkan saham ini lebih volatile dan spekulatif, sering menarik minat mereka yang sanggup mengambil risiko lebih tinggi. Ia sesuai hanya untuk mereka yang benar-benar faham risikonya, bukan untuk yang mencari pelaburan tenang jangka panjang.

Nilai pasaran (market cap) terkini untuk Hycroft hanya sekitar USD 2 billion berdasarkan data pasaran saham semasa Disember 2025.

Patuh Syariah Atau Tidak?

Menariknya, menurut tapisan syariah yang disediakan oleh Webull, hanya Hycroft yang dikategorikan sebagai tidak patuh syariah. Ini bukan kerana aktiviti perlombongannya, tetapi lebih kepada struktur kewangan dan penggunaan pinjaman hutang berfaedah. Pelabur Muslim perlu peka bahawa status patuh syariah boleh berbeza mengikut penyedia tapisan, dan ia juga boleh berubah dari semasa ke semasa.

Untuk pelabur tempatan, ini juga satu peringatan bahawa dunia pelaburan lebih luas daripada apa yang ada di depan mata. Pasaran saham di Amerika Syarikat menawarkan akses kepada syarikat global, data dan pelbagai sektor yang mungkin kita tak dapat di sini.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.


Nak kejar saham Wall Street yang bakal naik? Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Kena tahu dulu apa maksud “Saham Leader dan Laggard”. Baca lagi Nak Beli Saham Leader Atau Laggard?


Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu. Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.
MajalahLabur mungkin menerima manfaat apabila pembaca mendaftar menggunakan kod tersebut. Terima kasih!

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters