QL Foods Bangunkan QL Innofood Park Dengan Pelaburan RM1.3 Bilion

BAGAN DATUK, 25 Jan (Bernama) — Syarikat pengeluar produk makanan agro QL Foods Sdn Bhd (QL Foods) membangunkan taman industri makanan, QL Innofood Park di Hutan Melintang di sini dengan pelaburan strategik sebanyak RM1.3 bilion.

Pengerusi Eksekutif QL Resources Bhd Dr Chia Song Kun berkata projek berkenaan merupakan langkah pengembangan baharu QL Foods dalam pembuatan makanan serantau.

Katanya ia melangkaui portfolio produk berasaskan makanan laut kepada produk makanan berprotein daripada pelbagai sumber lain seperti soya, tepung, ayam dan lain-lain.

“Pengembangan ini sejajar dengan permintaan pasaran domestik dan luar negara yang meningkat,” katanya sewaktu berucap pada majlis pecah tanah QL. Innofood Park di sini hari ini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Chia berkata taman industri itu akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun merangkumi 13 kilang pengeluaran dan infrastruktur sokongan termasuk utiliti, logistik gudang dan fasiliti pekerja.

“Bagi peringkat awal pembangunan ini, kira-kira RM300 juta akan dilaburkan bagi membangunkan infrastruktur sokongan.

“Seterusnya, sebanyak RM100 juta turut dilaburkan setiap tahun bagi tempoh 10 tahun untuk membina kilang pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata setelah projek ini disiapkan sepenuhnya, ia dijangka meningkatkan kapasiti produk tahunan QL Foods kepada 180,000 tan.

Katanya penambahan kapasiti sebanyak 130,000 tan ini bersamaan kira-kira 2.5 kali ganda daripada kapasiti sedia ada iaitu 50,000 tan.

“Reka bentuk dan perancangan projek ini berteraskan konsep kelestarian serta inisiatif hijau yang merangkumi pemasangan solar fotovoltaik (PV), sistem penuaian air hujan, pusat pengasingan sisa pepejal dan dandang biojisim di samping penggunaan mesin tenaga efisien. Inisiatif ini menyokong peralihan ke arah jejak rendah karbon.

“Kilang-kilang ini direka bentuk untuk pemodenan, kesediaan Industri 4.0 dan kecekapan operasi merangkumi bilik sejuk berpusat ASRS dan gudang pintar bagi bahan pembungkusan serta pemantauan berasaskan data,” katanya.

Di samping itu katanya setelah keseluruhan projek ini disiapkan sepenuhnya, ia dapat mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti Perak.

Katanya pelaburan berimpak tinggi juga dijangka mempertingkatkan taraf sosioekonomi warga Perak, khususnya di daerah Bagan Datuk dan terus menyumbang kepada agenda negara dalam perindustrian dan keselamatan makanan.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.