Mana Perginya Duit Zakat Orang Selangor Sebanyak RM33 Juta?

Duit kutipan zakat bukan untuk di simpan, tetapi mesti diagihkan kepada mereka layak dan berhak. Info bagus macam ni memang susah benar netizen nak share. Kalau yang belum sahih itu lah yang laju dapat share.

Alhamdulillah, bantuan bulanan dapat, nak sambut Ramadan juga mereka yang berhak mendapat lagi zakat tambahan. Terima kasih kepada pembayar zakat! Artikel ini diambil seperti yang tersiar di laman web Lembaga Zakat Selangor.

RM33 JUTA BANTUAN ZAKAT DIAGIHKAN KEPADA 46,046 KELUARGA ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA KEDATANGAN RAMADAN & SYAWAL

23 Mei 2017 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM33,033,720 bantuan zakat kepada 46,046 asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10,055,240 diagihkan kepada 13,567 keluarga asnaf fakir, manakala sebanyak RM21,735,680 diagihkan kepada 29,841 keluarga asnaf miskin dan RM1,242,800 diagihkan kepada 2,637 asnaf mualaf.

Setiap penerima fakir dan miskin akan menerima bantuan zakat di antara RM550 hingga RM1,000.

Namun, bagi penerima bantuan kewangan bulanan semasa dalam kalangan fakir dan miskin, jumlah bantuan Hari Raya yang disalurkan ini diselaraskan dengan bantuan kewangan bulanan semasa yang diterima. Penyelarasan bantuan ini dilaksanakan bertujuan untuk mencukupkan haddul kifayah pada bulan tersebut bagi sesebuah keluarga. Ia bagi menepati kaedah agihan zakat yang berasaskan maqasid syariah.

Sementara itu, bagi asnaf mualaf masing-masing akan menerima bantuan Hari Raya sebanyak RM400.  Setiap penerima bantuan Hari Raya akan menerima bantuan ini menerusi  akaun bank atau melalui serahan tunai di Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir, Miskin dan Mualaf di 19 lokasi yang diadakan di seluruh Selangor bermula 20hb hingga 25 Mei ini.

Pada tahun ini, daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi seramai 7,755 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,626,560. Ia diikuti daerah Petaling dengan jumlah penerima seramai 7,551 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,429,770 dan daerah Hulu Langat mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM5,042,530 kepada 7,042 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Sementara daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,663,340 kepada 5,144 orang penerima, daerah Hulu Selangor mengagihkan bantuan zakat kepada 4,966 penerima melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM3,610,370 dan daerah Sabak Bernam mengagihkan kepada 4,111 penerima dengan agihan zakat sebanyak RM2,801,360.

Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 3,865 penerima yang menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,801,850, diikuti dengan daerah Gombak dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,513,620 kepada 3,442 penerima dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,498,120 kepada 2,076 penerima fakir, miskin dan mualaf.

Banyak sangat nombor dekat atas ni? Disertakan juga di sini infografik supaya lebih senang dibaca.

*Agihan bantuan Lembaga Zakat Selangor sempena kedatangan Ramadan & Syawal

Bantuan yang diberi bukan berupa wang ringgit sahaja, banyak lagi bentuk bantuan yang diusahakan oleh institusi zakat di Malaysia. Selanjutnya boleh baca di sini. Mari sama-sama bantu institusi zakat negeri masing-masing, tingkatkan kutipan zakat supaya lebih ramai asnaf dapat dibantu!

Renung-renungkan juga cukupkah kita membantu masyarakat seagama kalau hanya keluar zakat fitrah setakat RM7 setahun? Tunaikan juga zakat harta anda. Ingatlah bahawa zakat bukan sekadar zakat fitrah.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.