8 Tips Terokai Pekerjaan Di Luar Bidang Pengajian

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia melaporkan bahawa lebih ramai graduan pada masa ini bekerja di sektor yang tidak mempunyai kaitan dengan bidang pengajian mereka.

Malah, situasi ini dilihat lebih ketara berlaku pada tahun 2015 dan ia akan menjadi biasa pada beberapa tahun kebelakangan ini kerana peluang pekerjaan yang berkurangan.

Belajar engineering tak semestinya kerja jadi engineer.
Belajar law tak semestinya jadi peguam.
Belajar architecture tak semestinya jadi arkitek.

Persoalannya, apakah relevannya kelulusan kita kalau nak bekerja di luar bidang? Bolehkah kalau kita nak apply kerja yang kita suka di luar bidang kita?

1. Buat Research

Pertama sekali, banyakkan membaca kerana idea takkan datang bergolek. Ada banyak pekerjaan yang mungkin anda minat tapi tak tahu tentang kewujudannya. Contohnya, seseorang yang belajar dalam bidang kejuruteraan boleh bekerja sebagai penulis, editor, marketing, perunding kewangan, ejen takaful dan sebagainya. Apapun, lower your expectation dari segi pangkat dan gaji kerana kita mungkin perlu bermula dari bawah apabila menceburi bidang yang betul-betul tiada kaitan dengan bidang pengajian kita.

Seterusnya, buat research serba sedikit tentang skop pekerjaan tersebut dan padankan minat serta kebolehan anda. Kemudian, cari pekerjaan yang berkaitan dengannya.

2. Jangan Cuba Sembunyikan Apa-apa

Jangan panik kalau ada banyak ‘gap’ atau kerja-kerja yang di luar bidang dalam timeline karier anda. Anda tak perlu berasa malu sebab majikan yang bijak akan tahu menilai. Mereka pun manusia juga, bukannya robot. Mereka faham anda tentu ada alasan tersendiri.

Pokoknya di sini, resume dan surat anda memainkan peranan penting dan anda tak semestinya kekal bekerja dalam 1 bidang saja. Pastikan ia ringkas dan jelas supaya tidak mengelirukan dan mengundang masalah di kemudian hari. Ingat, kejujuran adalah antara faktor terpenting dalam menyerlahkan kualiti resume seseorang. Kalau tak dapat sekarang pun, masa interview nanti anda tentu akan ditanya tentang apa yang dibuat sepanjang tempoh anda tidak bekerja.

3. Sesuaikan Format Resume

Seterusnya, elakkan copy paste template tertentu bulat-bulat kerana ia mungkin akan menjadikan resume anda nampak terlalu rigid. Sekarang, dah ada macam-macam format resume yang boleh didapatkan secara online; tapi asasnya adalah yang berbentuk kronologi, functional, dan kombinasi.

Jenis resume kronologi biasanya akan menerangkan sejarah pendidikan, pengalaman kerja, dan sebagainya mengikut tempoh tertentu. Manakala, kalau jenis functional ia lebih fokus terhadap kebolehan atau analisis pencapaian diri.

Seeloknya kita sesuaikan dengan jenis kombinasi, iaitu gabungan kedua-duanya. Yang penting, kena sesuaikan dengan jenis kerja yang kita apply.

4. Guna Cover Letter Untuk Beri Penjelasan / Pendahuluan

Cover letter dan resume adalah 2 perkara yang saling melengkapi. Jadi, jangan pandang rendah pada cover letter yang anda lampirkan untuk mengiringi resume anda.

Dengan pemilihan kata yang berkesan, anda mampu memperlihatkan kematangan anda dan secara tidak langsung, ia juga dapat menjelaskan komitmen anda pada tempoh anda tidak bekerja. Kalau anda nak cuba dapatkan sesuatu kerja yang di luar bidang, tetapi memang minat, ambil masa sedikit untuk belajar tentangnya.

Contohnya, masa saya nak apply sebagai penulis yang di luar bidang saya, saya ambil masa yang agak lama untuk siapkan contoh artikel yang berkualiti. Masa itu memang saya tak ada pengalaman langsung.

Tekankan juga bahawa walaupun anda di luar bidang, anda sentiasa mengikuti perkembangan industri tersebut dan bersedia untuk berusaha mengasah kembali kemahiran yang pernah dimiliki.

5. Tingkatkan Keupayaan Bahasa Inggeris

Datuk Shamsuddin Bardan, Pengerusi Persekutuan Majikan-majikan Malaysia berpendapat, walaupun sesetengah majikan masih teragak-agak untuk menerima calon yang mempunyai ijazah tidak sepadan dengan skop pekerjaan mereka, terdapat faktor-faktor seperti sikap yang baik dan keupayaan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang boleh menjadi kekuatan.

Jadi, pastikan anda tingkatkan keupayaan Bahasa Inggeris, terutamanya jika pekerjaan yang dimohon berkait rapat dengan media, pengurusan, dan public speaking.

6. Sertakan Kerja Part-Time, Freelance Atau Aktiviti Sukarelawan

Mungkin ada sesetengah orang yang ‘malu’ atau takut untuk melakukan kerja part time. Tapi sebenarnya, inilah peluang untuk anda membuktikan kebolehan anda untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

Cuba hubungkan kemahiran dan pengalaman positif anda dengan skop pekerjaan yang dimohon. Apa salahnya, kini peluang lebih terbuka dan ramai orang mencari calon yang bukan sahaja bijak dalam pelajaran tetapi juga street smart. Kalau ada minat mendalam dalam sesuatu bidang, anda tentu boleh ‘menjual’ kemahiran anda, bukan?

7. Test Drive

OK, bila dah siap resume yang paling cun, bolehlah kita mula menghantar pada senarai bakal majikan. Biasanya, mesti ada sekurang-kurangnya 4-5 syarikat dalam radar kita kan? Tapi, jangan hantar kepada semua syarikat ini sekaligus. Seeloknya, test drive dan hantar 1-2 dulu untuk melihat respon mereka.

Melalui respon-respon ini, anda bolehlah membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa. Resume ini bukan kerja sekali buat. Memang kena selalu update dan sesuaikan dengan kerja yang dimohon.

8. Bersedia Dengan Soalan “Kenapa Nak Tukar Bidang?”

Apabila berjaya dipanggil temuduga, antara soalan wajib yang bakal majikan akan tanya tentulah “Kenapa mohon pekerjaan di luar bidang yang anda belajar dulu?”

Mereka pasti inginkan jawapan yang meyakinkan. Beritahu minat kita yang berkobar-kobar, kongsikan apa yang pernah dilakukan dalam bidang tersebut, TAPI, janganlah buat macam kita tahu semuanya. Ada banyak perkara yang perlu kita belajar apabila menceburi bidang baru dan tentunya majikan mahu melihat kesungguhan kita.

Seperkara lagi, mereka nak tengok juga sama ada kita betul-betul minat atau kita jenis yang cepat bosan dan suka melompat bidang, tak ada pilihan lain, atau terpaksa. Kalau baru kerja sekejap dah nak tukar fikiran, susahlah mereka, kan?

Pastikan Persediaan Anda Juga Up-to-Date

Walaupun kita belajar dalam bidang berbeza, tidak bermakna anda tidak akan diterima. Malah, ada banyak sebab tenaga kerja anda boleh menjadi aset yang begitu berharga kepada sesebuah syarikat yang kita anggap di luar bidang kita. Maka, tunjukkan kematangan atau kepelbagaian karakter anda dengan sebuah resume yang cukup efektif.

Di samping itu, kenalah ingat juga bahawa anda juga perlu membuat persediaan tertentu, terutamanya dari segi kemahiran spesifik yang diperlukan. Yang penting, highlight pada perkara yang sesuai agar ia dapat memikat bakal majikan anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.