Merck Buka Pusat Kolaborasi M Lab™ Pertama di Eropah

– Pusat Molsheim, Perancis menyokong pelanggan farmaseutikal dan bioteknologi bermula dari praklinikal sehingga pengeluaran berskala penuh dalam persekitaran bukan-GMP

– Akses pelanggan sebenar kepada portfolio produk dan kepakaran teknikal Life Science Merck

– Simulasi pembuatan merangkumi pembangunan proses hujung-ke-hujung

DARMSTADT, Jerman, 21 Mac 2019 /PRNewswire/ — Merck, sebuah syarikat sains dan teknologi yang terkemuka, hari ini secara rasminya membuka Pusat Kolaborasi M Lab™ baharunya di Molsheim, Perancis. Pusat ini merupakan yang pertama oleh Merck di Eropah dan yang kesembilan di dunia, menyediakan pengeluar-pengeluar biofarmaseutikal dengan persekitaran penerokaan dikongsi yang membolehkan mereka berkolaborasi dengan erat bersama saintis-saintis serta jurutera-jurutera Merck bagi menyelesaikan cabaran mereka yang paling sukar dan mempercepatkan pembangunan dan pengeluaran terapi-terapi baharu.

“Dengan industri biofarmaseutikal yang pesat berkembang di Eropah serta permintaan terhadap terapi yang berkesan kos di seluruh dunia, pelanggan akan mendapat manfaat daripada kepakaran kami untuk membangunkan proses bagi menghasilkan ubat-ubatan dengan lebih pantas, lebih selamat dan lebih berkesan,” kata Udit Batra, ahli Lembaga Eksekutif Merck dan Ketua Pegawai Eksekutif, Life Science, di Molsheim hari ini. “Pelaburan kami di sini akan mempercepatkan pertumbuhan masa depan industri biofarmaseutikal EMEA.”

Pusat Kolaborasi M Lab™ terbaharu Merck, yang menawarkan ruang seluas 4,000 meter persegi, memperlihatkan pelaburan penting di rantau ini. Pusat yang bernilai 10 juta itu menyediakan pelanggan di Eropah, Timur Tengah dan Afrika dengan makmal bersaiz kecil dan rintis bukan-GMP yang dilengkapi sepenuhnya dan pusat mesyuarat yang membolehkan mereka bekerjasama dengan pakar-pakar Merck bagi menangani cabaran-cabaran pembangunan pemprosesan yang paling mendesak tanpa memberi kesan kepada tertib pengeluaran mereka.

Pusat di Molsheim merupakan yang terkini bagi jaringan pusat Merck di seluruh dunia. Pusat-pusat Kolaborasi Lab™ lain terletak di Amerika Syarikat, BrazilChina, Korea Selatan, Singapura, Jepun, India (terdapat dua buah makmal).

Pelanggan Merck berkolaborasi dengan pakar-pakar teknikal syarikat, meninjau cara-cara baharu untuk meningkatkan produktiviti, menambah baik proses dan mengurangkan risiko. Makmal rintis bersaiz kecil itu berada dalam ruang yang mensimulasikan persekitaran pengeluaran sebenar dalam prosesnya. Pelanggan mengendalikan peralatan sebenar, menilai proses mereka dan juga boleh menjalani kursus-kursus latihan biopemprosesan sebenar, mendidik mereka tentang amalan terbaik dan pendekatan baharu untuk membangunkan, mengoptimumkan dan meningkatkan proses selain memudahkan pemindahan teknologi global.

Ikuti Merck di Twitter  @Merckgroup, di Facebook @merckgroup dan di LinkedIn.

Semua siaran berita Merck diedarkan melalui e-mel pada masa yang sama turut tersedia di laman sesawang Merck. Sila layari www.merckgroup.com/subscribe untuk mendaftar secara dalam talian, menukar pilihan anda atau menghentikan perkhidmatan ini.

Latar Belakang Merck
Merck, sebuah syarikat sains dan teknologi yang terkemuka, beroperasi merentas segmen penjagaan kesihatan, sains hayat dan bahan prestasi. Sekitar 52,000 kakitangan bekerja untuk membawa perubahan positif kepada berjuta-juta kehidupan individu saban hari dengan mencipta cara yang lebih menyeronokkan dan mampan untuk menjalani kehidupan. Bermula dengan memajukan teknologi penyuntingan gen dan menemui cara-cara unik bagi merawat penyakit yang paling mencabar hinggalah kepada mendayakan kecerdasan peranti, Merck berada di merata-rata tempat. Pada tahun 2018, Merck menjana jualan sebanyak €14.8 bilion di 66 negara.

Penerokaan saintifik dan keusahawanan bertanggungjawab menjadi kunci kepada kemajuan teknologi dan saintifik Merck. Dengan cara inilah Merck berkembang maju sejak ditubuhkan pada tahun 1668. Keluarga pengasas kekal sebagai pemilik majoriti syarikat senaraian awam ini. Merck memegang hak global untuk nama dan jenama Merck. Satu-satunya pengecualian ialah Amerika Syarikat dan Kanada, yang mana sektor-sektor perniagaan Merck beroperasi sebagai EMD Serono dalam bidang penjagaan kesihatan, MilliporeSigma dalam sains hayat dan EMD Performance Materials.

Sumber: Merck

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.