Microsoft dan BMW Group lancar Platform Pembuatan Terbuka

Syarikat-syarikat jadi rakan kongsi dalam inisiatif baharu dorong pembangunan IoT perindustrian terbuka dan bantu perluas komuniti untuk bina penyelesaian Industri 4.0 masa depan

– Rangka kerja teknologi dan komuniti terbuka bakal kongsi penyelesaian kilang pintar dalam seluruh sektor automotif dan pembuatan untuk percepat pembangunan IoT perindustrian masa depan dengan ketara.

– Gunakan senarai tindakan perindustrian dan kod sampel, ahli-ahli komuniti dan rakan-rakan kongsi akan berupaya bangunkan perkhidmatan dan penyelesaian mereka sendiri.

– Dibangunkan pada platform awan IoT perindustrian Microsoft Azure, Platform Pembuatan Terbuka bertujuan untuk menyediakan seni bina rujukan dengan komponen-komponen sumber terbuka berdasarkan piawaian perindustrian terbuka dan model data terbuka.

– Menjelang akhir tahun 2019, matlamatnya adalah untuk mempunyai himpunan awal melibatkan empat hingga enam rakan kongsi dan minimum 15 senarai tindakan diperkenalkan dalam persekitaran pembuatan pilihan.

– Pengeluar dan pembekal, termasuk syarikat-syarikat dari luar industri automotif akan digalakkan untuk menyertai komuniti tersebut.

HANNOVER, Jerman, 4 April 2019 /PRNewswire/ — Hari ini, di Hannover Messe, Microsoft Corp. dan BMW Group mengumumkan satu inisiatif komuniti baharu untuk mendayakan inovasi yang lebih pantas dan lebih berkesan kos dalam sektor pembuatan. Dalam sektor pembuatan hari ini, pengeluaran dan kebolehuntungan boleh dihalang oleh sistem-sistem yang rumit dan proprietari yang mencetuskan silo data dan produktiviti yang perlahan. Platform Pembuatan Terbuka (OMP) direka untuk meruntuhkan halangan ini melalui penciptaan rangka kerja teknologi terbuka dan komuniti rentas industri. Inisiatif ini dijangka dapat menyokong pembangunan penyelesaian kilang pintar yang akan dikongsi oleh peserta-peserta OMP dalam seluruh sektor automotif dan pembuatan yang lebih luas. Matlamatnya adalah untuk mempercepatkan pembangunan IoT perindustrian masa depan, memendekkan masa untuk memperoleh nilai dan memacu kecekapan pengeluaran di samping menangani cabaran perindustrian biasa dengan ketara.

Dibangunkan pada platform awan IoT perindustrian Microsoft Azure, OMP bertujuan untuk menyediakan ahli-ahli komuniti dengan seni bina rujukan dengan komponen-komponen sumber terbuka berdasarkan piawaian perindustrian terbuka dan model data terbuka. Selain memudahkan kolaborasi, pendekatan platform ini direka untuk merungkai dan menyeragamkan model-model data yang mendayakan senario analitik dan pembelajaran mesin — data yang secara tradisinya diurus dalam sistem proprietari. Dengan memanfaatkan senarai tindakan perindustrian dan kod sampel, ahli-ahli komuniti dan rakan-rakan kongsi lain akan berupaya membangunkan perkhidmatan dan penyelesaian mereka sendiri sekaligus mengekalkan kawalan ke atas data mereka.

“Microsoft berganding bahu dengan BMW Group untuk mengubah kecekapan pengeluaran digital dalam seluruh industri,” kata , naib presiden eksekutif, Microsoft Cloud + AI Group. “Komitmen kami untuk membina komuniti terbuka akan mencipta peluang-peluang baharu bagi tujuan kolaborasi merentas seluruh rantaian nilai pembuatan.”

Kini dengan lebih 3,000 mesin, robot dan sistem pengangkutan berautonomi yang dihubungkan dengan platform IoT BMW Group, yang dibina menerusi keupayaan awan, IoT dan AI Microsoft Azure, BMW Group merancang untuk menyumbang senarai tindakan awal yang relevan kepada komuniti OMP. Satu contoh ialah penggunaan platform IoT oleh syarikat untuk generasi kedua sistem pengangkutan berautonominya dalam kilang BMW Group di Regensburg, Jerman, salah satu daripada 30 tapak pengeluaran dan pemasangan BMW Group di seluruh dunia. Senarai tindakan ini membolehkan BMW Group benar-benar memudahkan proses logistiknya melalui penyelarasan berpusat pada sistem pengangkutan, menghasilkan kecekapan logistik yang lebih besar. Pada masa depan, senarai tindakan ini dan juga senarai tindakan lain—seperti gelung maklum balas digital, pengurusan rantaian bekalan digital dan penyelenggaraan prediktif—akan disediakan, bahkan, dibangunkan selanjutnya dalam komuniti OMP.

“Penguasaan tugasan rumit dalam mengeluarkan produk-produk premium individu memerlukan penyelesaian IT dan perisian yang inovatif,” kata Oliver Zipse, ahli Lembaga Pengurusan BMW AG, Production. “Saling hubung antara tapak dan sistem pengeluaran selain penyepaduan terjamin antara rakan-rakan kongsi dan pembekal-pembekal adalah amat penting. Kami telah bergantung kepada infrastruktur awan sejak tahun 2016 dan tekal membangunkan pendekatan baharu. Dengan Platform Pembuatan Terbuka sebagai langkah seterusnya, kami ingin menjadikan penyelesaian kami tersedia kepada syarikat-syarikat lain dan bersama-sama memanfaatkan potensi bagi menjamin kedudukan mantap kami dalam pasaran bagi tempoh jangka panjang.”

OMP merupakan evolusi seterusnya dalam perkongsian teknologi bertahan lama BMW Group dan Microsoft serta komitmen bersama terhadap inovasi dan mencipta peluang-peluang seluruh industri demi kejayaan bersama. Melalui OMP, ahli-ahli komuniti akan mendapat peluang yang lebih besar untuk menyerlahkan potensi data mereka, membolehkan mereka membina dan menyepadukan penyelesaian perindustrian dengan lebih cepat serta terjamin dan hasilnya, mendapat manfaat hasil daripada sumbangan kepada dan belajar daripada organisasi-organisasi lain.

OMP akan direka untuk menangani cabaran perindustrian biasa seperti ketersambungan mesin dan penyepaduan sistem di-premis. Ini akan memudahkan penggunaan semula penyelesaian perisian dalam kalangan OEM, pembekal dan juga rakan kongsi lain, lalu mengurangkan kos pelaksanaan dengan ketara. Sebagai contoh, piawaian robotik berasaskan ROS untuk sistem pengangkutan berautonomi bagi tujuan pengeluaran dan logistik akan disumbangkan kepada OMP untuk digunakan oleh semua. OMP akan serasi dengan seni bina rujukan Industri 4.0 sedia ada, memanfaatkan standard kebolehoperasian perindustrian OPC UA.

“Ini merupakan berita yang amat baik untuk industri pembuatan,” kata Stefan Hoppe, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif OPC Foundation. “Penggunaan piawaian industri antarabangsa terbuka seperti OPC UA dalam komuniti OMP membolehkan pengeluar, pembina mesin dan pembekal untuk menggabungkan peralatan dan sistem sedia ada mereka dengan cekap dan selamat. Untuk tempoh yang lama, syarikat-syarikat telah mempromosi ekosistem tertutup yang proprietari — komitmen OMP terhadap pembangunan terbuka akan membentuk segmen pembuatan masa depan.”

Platform asasnya akan terus berkembang dari masa ke masa, berserta keperluan pembuatan, untuk menggabungkan inovasi baharu termasuk bidang analitik, kecerdasan buatan dan gelung maklum balas digital.

Komuniti OMP yang lebih luas kini sedang dibentuk, dengan perekrutan rakan-rakan kongsi tambahan sedang diusahakan. Lembaga Penasihat OMP dijangka beroperasi dengan himpunan awal empat hingga enam rakan kongsi dan minimum 15 senarai tindakan diperkenalkan dalam persekitaran pengeluaran pilihan menjelang akhir tahun 2019. Dua rakan kongsi awal, Microsoft dan BMW Group, menggalakkan pengeluar dan pembekal lain, termasuk syarikat-syarikat dari luar industri automotif untuk menyertai komuniti ini.

Latar Belakang BMW Group
Dengan empat jenamanya BMW, MINI, Rolls-Royce dan BMW Motorrad, BMW Group ialah pengeluar premium yang utama di dunia bagi automobil dan motosikal serta turut menyediakan perkhidmatan kewangan dan mobiliti premium. Rangkaian pengeluaran BMW Group merangkumi 30 kemudahan pengeluaran dan pemasangan di 14 negara; syarikat mempunyai jaringan jualan global di lebih 140 negara.

Pada tahun 2018, BMW Group menjual lebih 2,490,000 kenderaan penumpang dan lebih 165,000 motosikal ke seluruh dunia. Keuntungan sebelum cukai pada tahun kewangan 2018 mencecah €9.815 bilion bagi pendapatan berjumlah sehingga €97.480 bilion. Setakat 31 Disember 2018, BMW Group mempunyai tenaga kerja seramai 134,682 kakitangan.

Kejayaan BMW Group sentiasa berdasarkan pemikiran jangka panjang dan tindakan yang bertanggungjawab. Dengan itu, syarikat mewujudkan kemampanan ekologi dan sosial dalam seluruh rantaian nilainya, tanggungjawab produk yang komprehensif dan komitmen yang jelas untuk memulihara sumber-sumber sebagai bahagian penting dalam strateginya.

www.bmwgroup.com
Facebook: http://www.facebook.com/BMWGroup
Twitter: http://twitter.com/BMWGroup
YouTube: http://www.youtube.com/BMWGroupView
Instagram: https://www.instagram.com/bmwgroup
LinkedIn: https://www.linkedin.com/company/bmw

Latar Belakang Microsoft
Microsoft (Nasdaq “MSFT” @microsoft) mendayakan transformasi digital untuk era awan pintar dan pinggir pintar. Matlamatnya adalah untuk memperkasa setiap individu dan setiap organisasi di seluruh dunia untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

Sumber: Microsoft Corp.

Pautan Berkaitan:

Saham berkaitan: NASDAQ-NMS:MSFT

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.