MAIWP Agihkan Peruntukan Tambahan RM35 Juta Dalam Misi Banjir 2.0

Prihatin dengan situasi semasa dan selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di-Pertuan Agong agar setiap agensi segera menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, MAIWP telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2.25 juta kepada mangsa-mangsa musibah banjir di Wilayah Persekutuan. 

Bantuan ini disalurkan melalui Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Bantuan Banjir 1.0 yang telah diadakan bermula 23 Disember sehingga 26 Disember di beberapa lokasi Pusat Penempatan Mangsa Banjir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Program ini adalah merupakan inisiatif bersama Keluarga MAIWP dengan penglibatan Majlis Agama Islam Negeri dan Lembaga Zakat Negeri yang bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya dan luar Wilayah Persekutuan umumnya. Bantuan disalurkan kepada mangsa banjir menerusi penglibatan Persatuan Penduduk dengan dibantu sukarelawan yang terdiri daripada pelajar institusi MAIWP sendiri. Secara keseluruhannya sebanyak RM1.4 Juta telah disalurkan menerusi Program ini.

Menerusi program ini, barangan untuk kelangsungan hidup seperti barangan kebersihan diri, ubat-ubatan, keperluan mencuci rumah, peralatan elektrik dan keperluan asas lain seperti bantal, selimut, tuala wanita, pelitup muka, telekung dan sebagainya serta bantuan kewangan telah diagihkan kepada mangsa banjir. 

Berdasarkan situasi dan keadaan terkini banjir yang melanda negara, atas dasar keprihatinan dan kebersamaan membantu mangsa-mangsa banjir, telah memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM35 juta menerusi dana zakat untuk diagihkan dalam Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Bantuan Banjir 2.0. 

Di bawah Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Banjir 2.0 ini, MAIWP akan menyalurkan bantuan seperti berikut:

Infografik penuh boleh didapati di Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

  1. Bantuan Mangsa Banjir Luar Wilayah Persekutuan sebanyak RM10.0 Juta kepada Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Terengganu;
  2. Bantuan Perubatan Secara Klinik Bergerak sebanyak RM3.0 Juta
  3. Bantuan Membina Semula Rumah  sebanyak RM3.5 Juta
  4. Bantuan Membaik Pulih Rumah sebanyak RM7.0 Juta
  5. Bantuan Membaik Pulih Masjid dan Surau sebanyak RM1.0 juta
  6. Bantuan Membaik Pulih Maahad Tahfiz ,Sekolah Rendah Agama dan Tadika sebanyak RM1.0 Juta
  7. Bantuan Peralatan Sekolah dan Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM1.0 Juta
  8. Bantuan Moratorium Kenderaan sebanyak RM3.0 juta
  9. Bantuan Baik Pulih Kenderaan sebanyak RM3.0 juta
  10. Bantuan Tunai (one-off) kepada mangsa banjir sebanyak RM2.0 juta
  11. Bantuan Menyelenggara Pendawaian Elektrik sebanyak RM500,000.00

Dikesempatan ini juga, MAIWP ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri -Negeri  yang tampil bersama-sama  MAIWP dalam membantu mangsa banjir di Wilayah Persekutuan. Semangat Keluarga Malaysia yang dipamerkan ini jelas menunjukkan kebersamaan semua Agensi Islam di seluruh Malaysia.

Kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar berjaya dilaksanakan oleh MAIWP adalah hasil daripada komitmen para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Oleh itu, MAIWP merakamkan setinggi-tinggi rasa penghargaan kepada semua pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP kerana dengan zakat anda, MAIWP mampu melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan.

Diingatkan juga kini kita telah sampai ke penghujung tahun 2021, oleh itu bersihkanlah rezeki kita dengan bersama-sama MAIWP menunaikan tanggungjawab berzakat tersebut di www.zakat.com.my ataupun menerusi aplikasi MyZakat bagi membantu lebih ramai yang memerlukan.

Masyarakat juga disarankan untuk menjadi mata atau telinga dengan membantu melaporkan kesusahan di sekeliling kita kepada MAIWP. Laporan boleh dibuat menerusi aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf (MoJA) bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal dan MAIWP turun padang membantu mereka.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI