Kerugian Dianggar RM3.8 bilion. PDRM Dedahkan 30 Syarikat Tawar Skim Tidak Sah (Scam)

Terkejut tak dengan tajuk kali ini? Sudah pastinya kita kenal ada di kalangan sahabat handai mahu pun ahli keluarga sendiri yang pernah terpedaya dengan skim cepat kaya.

Pihak polis telah mendedahkan senarai 30 syarikat pelaburan yang dipercayai terbabit dalam penipuan membabitkan kerugian kira-kira RM3.8 bilion. Manakala rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menunjukkan seramai 974,301 individu menjadi mangsa.

Syarikat Lama Kantoi, Buat Syarikat Lain, Pengarah Dan Modus Operandi Sama

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial JSJK Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata kebanyakan syarikat itu baru didaftar selepas pemilik syarikat disiasat kerana penipuan. Katanya, kebanyakan mangsa dipercayai terpedaya dengan pulangan pelaburan yang lumayan.

“Semua syarikat terbabit sudah dikenal pasti dan pada masa ini, kami sedang menjalankan usaha mengesan semua sindiket terbabit. JSJK menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak sahih,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Paling Banyak Tertipu Dengan Pelaburan Saham, Emas Dan Bitcoin

Beliau berkata, pelaburan dalam bentuk saham, emas dan bitcoin antara penipuan yang kerap dilaporkan berlaku.

“Mangsa mendapat tahu tentang tawaran pelaburan yang dibuat melalui media sosial serta diperkenalkan oleh saudara-mara serta rakan. Selepas itu, mangsa yang berminat akan menyertai pertemuan atau ceramah oleh syarikat pelaburan terbabit sebelum mereka membuat pelaburan,” katanya.

Senarai 30 Syarikat Yang Sedang Diambil Tindakan Oleh JSJK

1.MGSB

2.CAPITAL FOSTER ADVISOR

3.PELABURAN EMAS ROYAL GOLD

4.KONGSI MAKAN

5.RICHWAY

6.MONSPACE

7.MFACE/MBI

8.SAHAM – CENTURY DINASTY

9.BOOKCOIN

10.BITCOIN – AL MUBIN AGARWOOD

11.BITCOIN – BIT KINGDOM

12.MI1 GLOBAL SDN BHD

13.ZG SPACE CITY (M) SDN BHD

14.FARBEL HIGH VENTURES/FARBEL RICH

15.ROOPERS BURGER

16.PRO VENDING MACHINE

17.SAHAM 500 PLUS

18.KOPI PAK BELALANG

19.NHA STRATEGIC HOLDING BHD

20.DANA KESULTANAN RAJA-RAJA DAN PELABURAN FOOD TRUCK

21.YAYASAN PBI 9PBI WORLD (BERHAD)

22.PELABURAN SAHAM MYZIA COIN

23.PELABURAN AGR HOLDING

24.FOREX – FXUNITED

25.FOREX – TRIGERFX

26.PELABURAN BITCLUB

27.PELABURAN FEENRA GOLD & RESOURCES

28.PELABURAN PTM4U

29.PELABURAN JIHAD FARISHA VENTURES

30.PELABURAN MINES AND METALS

Bagaimana Nak Kesan Skim Pelaburan Tidak Sah?

Ciri-ciri yang biasa terdapat pada skim-skim pelaburan tidak sah adalah seperti berikut:

  • Skim yang menawarkan kadar faedah, pulangan atau keuntungan yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan institusi kewangan berdaftar
  • Pulangan yang tinggi ini adalah bertujuan untuk menarik lebih ramai ahli untuk menyertai skim-skim tersebut dan pelabur tidak diberi salinan dokumen termasuk perjanjian dengan pengendali skim
  • Tiada jaminan daripada pengendali skim yang mereka boleh berterusan memberi pulangan yang tinggi
  • Pada awal penubuhan skim tersebut, pengendali boleh menggunakan wang yang diterima daripada pendeposit bagi memberikan pulangan yang tinggi atau membayar balik amaun pokok pendeposit awal
  • Bagaimanapun, pengendali tidak mampu untuk melabur ke dalam pelaburan yang mendatangkan pulangan yang serupa, dan tidak mampu terus memberikan pulangan yang dijanjikan
  • Akhirnya skim-skim ini gagal apabila tiada pendeposit baru yang menyertai skim ini. Maka skim-skim cepat kaya ini akan bungkus, dan pendeposit atau pelabur akan hilang duit pelaburan mereka.

Buat Semakan Sebelum Melabur

 

Rajinkan diri membuka 2 laman sesawang ini untuk melihat senarai watchlist yang terbaru. Sila rujuk laman web Bank Negara Malaysia berkenaan skim-skim haram atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia –> Senarai Laman Web Yang Tidak Dibenarkan / Produk Pelaburan / Syarikat / Individu.

Sekarang dengan adanya senarai daripada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial JSJK, senarai skim pelaburan yang bersifat penipuan semakin komprehensif.

Sumber Rujukan: BH Online

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.