Pelaksanaan Potongan Cukai 2% Terhadap Pembayaran Oleh Syarikat Pembayar Kepada Ejen, Pengedar Atau Pengagih Bajet 2022

Kerajaan melalui Pembentangan Bajet 2022 telah memperkenalkan seksyen 107D, Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022. Melalui pengenalan seksyen baharu ini, setiap syarikat pembayar perlu membuat potongan cukai dua peratus (2%) dan meremitkan amaun potongan tersebut kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) atas setiap bayaran tunai yang dibuat kepada ejen, pengedar atau pengagihnya.

Perincian pelaksanaaan potongan ini adalah seperti ketetapan yang berikut:

  1. Ejen, pengedar atau pengagih hendaklah merupakan individu pemastautin.
  2. Kelayakan dalam memastikan ejen, pengedar atau pengagih itu layak dibuat potongan dalam tahun 2022 adalah berdasarkan nilai ambang RM100,000 penerimaan bayaran (tunai dan bukan tunai) pada tahun sebelumnya (tahun 2021).
  3. Amaun potongan 2% berkenaan hendaklah diremitkan kepada KPHDN dalam tempoh 30 hari selepas pembayaran dibuat.
  4. Kegagalan syarikat pembayar meremitkan amaun potongan 2% tersebut dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan syarikat pembayar perlu membayar amaun diremit berserta 10% kenaikan.
  5. Sekiranya syarikat pembayar gagal untuk membuat potongan dan meremitkan amaun 2% tersebut kepada KPHDN, tuntutan perbelanjaaan berkaitan tidak boleh dibenarkan di bawah perenggan 39(1)(s) ACP 1967.

Penangguhan pelaksanaan peremitan potongan cukai di bawah seksyen 107D Akta Cukai Pendapatan 1967

Bagi memastikan semua syarikat pembayar dapat membuat persediaan dan pemakluman yang sewajarnya dapat diberikan kepada semua ejen, pengedar atau pengagihnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan peremitan potongan cukai di bawah seksyen 107D ACP 1967 ini sehingga 31 Mac 2022.

Sehubungan dengan itu, syarikat pembayar dibenarkan untuk meremitkan potongan cukai 2% atas bayaran berbentuk tunai yang dibayar kepada ejen, pengedar atau pengagih bagi bulan Januari sehingga Mac 2022 mulai 1 April 2022 tanpa dikenakan apa-apa kenaikan.

Bagi memudahkan pemahaman yang lebih jelas, HASiL akan mengeluarkan Soalan Lazim berkaitan perkara ini yang boleh diakses melalui portal rasmi www.hasil.gov.my .

Sebarang pertanyaan berkaitan boleh diajukan kepada HASiL melalui:

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Previous ArticleNext Article

Tengku Zafrul Dilantik Pengerusi MIDA

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju melantik beliau bagi tempoh dua tahun.

“Selain menerajui MIDA, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” katanya.

Tengku Zafrul, 52, menamatkan tugas menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 2 Dis 2025 susulan tamatnya tempoh maksimum enam tahun atau penggal kedua sebagai senator.

Beliau dilantik mengemudi MITI pada 3 Dis 2022 oleh Perdana Menteri dan pernah memegang jawatan Menteri Kewangan sebelum itu bagi tempoh 9 Mac 2020 sehingga peletakan jawatan pada 9 Nov 2022.

Antara perkara menarik sepanjang tempoh menjadi Menteri Kewangan dan seterusnya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ialah beliau berkesempatan berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri.
— BERNAMA