Petronas, SEDC Energy Bangunkan Minyak Mikroalga Untuk Penerbangan

KUCHING, 26 Jan (Bernama) — Anak syarikat Petronas, Petronas Research Sdn Bhd (PRSB) dan SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), menandatangani perjanjian untuk membangunkan teknologi bagi pengeluaran minyak mikroalga.

Di bawah perjanjian itu, PRSB dan SEDC Energy akan sama-sama membangunkan teknologi pengeluaran alga yang termasuk penanaman, penuaian dan pengekstrakan minyak alga mentah yang kemudiannya akan ditapis untuk menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), menurut kenyataan daripada Petronas hari ini.

Katanya kedua-dua pihak akan turut menjalankan analisis mengenai keperluan pengeluaran komersial untuk minyak alga mentah, termasuk membangunkan strain alga dengan kandungan minyak yang tinggi pada kos pengeluaran yang kompetitif.

Penandatangan perjanjian itu, yang ditandatangani di Kuching pada 20 Jan, ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PRSB Norhayati Hashim dan CEO SEDC Energy Robert Hardin.

Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain, yang turut hadir pada majlis itu, berkata selain daripada pembangunan ekonomi hidrogen Sarawak, SEDC turut mengakui kepentingan inisiatif karbon rendah alternatif apabila dunia beralih daripada bahan api hidrokarbon konvensional.

“Menjadi minat Sarawak untuk meneroka sebanyak mungkin penyelesaian untuk mengurangkan pelepasan karbon dan kerjasama dengan Petronas dalam pembangunan minyak boleh diperbaharui generasi akan datang berpotensi menjadi ejen perubahan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas Datuk Bacho Pilong berkata minyak alga mentah mempunyai potensi untuk menyokong aspirasi pelepasan karbon sifar bersih Petronas menjelang 2050.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran sama seperti SEDC yang berkongsi visi kami. Kami turut berharap dapat memainkan peranan kami dalam merealisasikan matlamat kemampanan negeri,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Bursa Tegur AZRB: Lewat Umum 4 Petisyen Penggulungan

Bursa Malaysia Securities telah mengenakan teguran awam terhadap Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) kerana lewat mengumumkan empat petisyen penggulungan yang melibatkan kumpulan tersebut dan anak syarikat milik penuhnya.

Kelewatan pengumuman tersebut adalah antara 10 hingga kira-kira 50 hari.

Empat petisyen yang terlibat ialah:

🔹 Qimako Engineering & Construction
Tuntutan: RM1.18 juta

🔹 BBR Construction Systems
Tuntutan: RM5.01 juta

🔹 Pathfinder M & E
Tuntutan: RM2.66 juta

🔹 AmBank Islamic
Tuntutan: RM558,844

Secara keseluruhan, nilai tuntutan bagi empat petisyen tersebut adalah kira-kira RM9.41 juta.

Menurut Bursa, petisyen penggulungan merupakan maklumat yang boleh menjadi material kepada pelabur, khususnya dalam menilai kedudukan kewangan dan keadaan perniagaan sesebuah syarikat.

AZRB menjelaskan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan pihak pemiutang bagi mencari penyelesaian secara baik.

Namun begitu, Bursa menegaskan bahawa kewujudan petisyen penggulungan tetap perlu diumumkan kepada pasaran dengan segera, walaupun syarikat sedang dalam proses rundingan dengan pemiutang.

Kes ini menunjukkan satu perkara penting dalam pasaran saham:

Bukan sekadar prestasi keuntungan yang perlu diperhatikan.

Pelabur juga perlu melihat perkara seperti:

  • Hutang dan komitmen syarikat
  • Aliran tunai
  • Tindakan undang-undang
  • Petisyen penggulungan
  • Keupayaan membayar pemiutang
  • Pengumuman penting kepada Bursa

Sumber: Bursa Malaysia Securities, 25 September 2026.