PNB Merdeka Ventures Lantik edotco Malaysia Sebagai Penyedia Penyelesaian Telekomunikasi Untuk Merdeka 118 – Bangunan Tertinggi Di Asia Tenggara

PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (“PMVSB”), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (“PNB”) hari ini mengumumkan pelantikan edotco Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bagi menara Merdeka 118 yang dinanti-nantikan, selari dengan keperluan infrastruktur teknologi canggih bangunan tersebut.

edotco Malaysia akan merancang, menyedia serta menyelenggara solusi rangkaian selular di dalam bangunan (in-building solutions atau IBS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan rangkaian telefon selular yang terbaik dan lancar tanpa gangguan di dalam menara ikonik ini.

Penggunaan teknologi IBS generasi seterusnya (next generation) memastikan liputan yang lebih menyeluruh dan merangkumi kawasan yang terlindung serta meluaskan kawasan liputan di tempat-tempat terlindung seperti di dalam lif dan ruang bawah tanah serta parkir kereta untuk mewujudkan pengalaman pengguna yang terbaik.

Jangkauan pemasangan peralatan IBS akan melibatkan kesemua kawasan terbuka serta premis di dalam bangunan. Ini bagi memenuhi permintaan kapasiti dan memberikan liputan yang menyeluruh di setiap tingkat menara sebagai persiapan untuk penyambungan hiper masa depan. Ketersediaan infrastruktur telekomunikasi inovatif membolehkan pengendali rangkaian selular (MNO) menawarkan liputan berkelajuan tinggi dengan pelaburan minima melalui model plug-and-play. Ia turut membolehkan teknologi infrastruktur telekomunikasi yang lebih baharu ditambah secara modular pada masa depan untuk memenuhi permintaan pengguna telefon selular dan peningkatan kapasiti di dalam bangunan ini.

Ketua Pegawai Pelaburan Hartanah PNB, Encik Rick Ramli berkata, “Usaha ini menandakan perkembangan penting dari segi pembangunan menara Merdeka 118 yang semakin hampir siap. Buat masa ini, pembinaan telah 70% siap. Kami menantikan fasa seterusnya untuk menara Merdeka 118 dengan pemasangan teknologi infrastruktur telekomunikasi generasi akan datang bagi menyokong keperluan komunikasi masa depan. Kami yakin, berdasarkan rekod prestasi, kepakaran teknikal dan penyelesaian inovatif, edotco dapat memenuhi keperluan dinamik penghuni perniagaan dan rekreasi di menara Merdeka 118.”

Ketua Pegawai Serantau edotco Group dan Pengarah Urusan edotco Malaysia Encik Wan Zainal Adileen berkata, “Menara Merdeka 118 merupakan salah satu pencapaian kejuruteraan yang dikagumi. Kami sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan PNB Merdeka Ventures melalui kemampuan dan kepakaran kami untuk menyediakan telekomunikasi yang inovatif. Menara Merdeka 118 melambangkan kemajuan yang melangkaui generasi sekarang dan projek ini sejajar dengan komitmen edotco untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Penglibatan dalam projek mercu tanda ini merupakan tonggak monumental bagi edotco dalam menyokong Malaysia memenuhi aspirasi digital. edotco menyahut cabaran dalam menyediakan
penyelesaian infrastruktur telekomunikasi yang sesuai dan tepat dan boleh dikongsi yang selangkah lebih maju daripada pesaing kami.”

Perkhidmatan edotco akan merangkumi infrastruktur telekomunikasi untuk pejabat, menara hotel dan pusat membeli-belah di menara Merdeka 118. Pembangunan seluas 3 juta kaki persegi ini merupakan sebuah pencakar langit setinggi 635 meter. Sebaik siap, menara Merdeka 118 akan menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara. Kerja pemasangan IBS akan dilengkapkan mengikut jadual perasmian pembukaan menara mercu tanda ini pada tahun 2022.

Mengenai PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad

PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (“PMVSB”), merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), diperbadankan pada bulan Jun 2000 bagi membangunkan presint Merdeka 118, dan juga pemilik tanah dan penjaga tunggal kedua-dua Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Kedua-dua stadium tersebut telah disenaraikan sebagai tapak “Warisan Kebangsaan” pada Oktober 2005 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Semenjak dari itu, PNB Merdeka Ventures telah menjalankan pelan pemuliharaan yang teliti sehingga Stadium Merdeka meraih Anugerah Kecemerlangan UNESCO untuk Program Pemuliharaan Warisan Kebudayaan (Asia Pasifik) di 2008. Untuk maklumat lanjut, sila layari merdeka118.com

Mengenai edotco Group

Ditubuhkan pada tahun 2012, edotco adalah syarikat perkhidmatan infrastruktur menara telekomunikasi serantau dan bersepadu yang pertama di Asia. Ia menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam sektor perkhidmatan struktur menara telekomunikasi dari pajakan menara, perkongsian menara, pembinaan selaras “build-to-suit”, tenaga, dan operasi dan penyelenggaraan (O&M).

Dengan portfolio serantau yang merangkumi lebih dari 31,500 menara di seluruh pasaran utama di Malaysia, Myanmar, Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka, Pakistan, Laos dan Filipina di mana lebih 19,991 menara dikendalikan terus oleh edotco dan 11,521 menara yang diuruskan melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan. edotco berusaha untuk memberikan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan dan penyelesaian infrastruktur telekomunikasi. Perkhidmatan pengawasan masa nyata yang terkini dari edotco, Echo, telah menampakkan peningkatan dalam operasi lapangan di samping memaksimumkan kecekapan operasi dari segi penggunaan bateri, tenaga dan penggunaan bahan api untuk infrastruktur telekomunikasi.

Kumpulan edotco telah dimartabatkan dengan Anugerah Syarikat Menara Telekomunikasi Asia Pasifik 2020 oleh Frost & Sullivan untuk 4 tahun berturut-turut atas kepimpinannya dalam pertumbuhan dan prestasi perniagaan yang cemerlang di Asia Pasifik.

Untuk maklumat lanjut mengenai edotco, sila layari www.edotcogroup.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.