PropNex Malaysia, iProperty.com.my Meterai Perjanjian Komersil RM500,000 Pulihkan Perniagaan Ejen Hartanah

iProperty.com.my, Laman Web Hartanah Nombor 1 Malaysia, telah menandatangani satu perjanjian komersil dengan PropNex Malaysia bagi membantu ejen hartanah meningkatkan potensi perniagaan mereka menerusi platform digital, khususnya aplikasi proptech terbaharu daripada iProperty.com.my iaitu iProperty PRO. Diasaskan pada 2018, PropNex Malaysia merupakan salah sebuah agensi hartanah paling pantas berkembang di negara ini dengan lebih 600 ejen hartanah di 4 cawangan iaitu Petaling Jaya, KLCC, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.

iProperty PRO dilancarkan pada Mei 2020 bagi membantu ejen hartanah Malaysia membawa perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi menggunakan data terkini dari pasaran. Aplikasi proptech ini mengandungi ciri yang boleh membantu ejen hartanah menjejak prestasi penyenaraian mereka menggunakan data dan pemahaman yang mendalam. Dengan membuat perbandingan dengan penyenaraian lain yang serupa di pasaran, iProperty PRO membantu ejen hartanah meningkatkan potensi perniagaan mereka.

Majlis menandatangani perjanjian ini telah dirasmikan oleh Wong Siew Lai, dan Pengurus Besar Pemasaran & Komunikasi iProperty.com Malaysia Sdn Bhd dan Marcus Teng, Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Malaysia di Bangi Convention Centre pada 4 Oktober.

Di bawah perjanjian ini, iProperty.com.my akan menyediakan sesi latihan pengetahuan digital eksklusif buat ejen hartanah PropNex Malaysia, memberi pemahaman mengenai carian pengguna dan mendidik ejen mengenai penggunaan aplikasi proptech secara efektif bagi meningkatkan kebolehlihatan penyenaraian hartanah mereka.

“Jelaslah pandemik ini merupakan tempoh yang sukar bagi pasaran hartanah, terutama bagi ejen hartanah yang terpaksa berdepan dengan realiti kebiasaan baharu. Kesan wabak COVID-19 yang dapat kita lihat baru-baru ini menunjukkan anjakan pada cara ejen hartanah berinteraksi dengan pembeli, penjual dan pelabur dalam urusan hartanah. Kesudahannya, kita menyaksikan bagaimana data digital kini semakin banyak memacu cara pengguna mencari hartanah. PropNex Malaysia menyedari hakikat ini dan pentingnya melengkapi ejen hartanah dengan pengetahuan digital dan pemahaman data hartanah bagi membantu mereka memulihkan dan mengembangkan hubungan dengan jutaan pencari hartanah di Malaysia yang menggunakan platform digital untuk membeli dan menjual hartanah. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan sebuah agensi hartanah tempatan seperti PropNex Malaysia bagi memperkasakan ejen hartanah di Malaysia dengan peralatan digital yang diperlukan,” kata -Wong Siew Lai, Pemangku Pengurus (Malaysia) dan Pengurus Besar Pemasaran & Komunikasi, iProperty.com Malaysia Sdn Bhd.

Kata Marcus Teng, “Sebagai laman web hartanah terkemuka di Malaysia, kepelbagaian inisiatif digital yang dibawa oleh iProperty.com.my dalam merevolusikan pemilikan hartanah memang tidak dapat disangkal lagi. Aplikasi hartanah dan pemahaman daripada data yang disediakan akan membolehkan ejen hartanah kami mengamalkan pendekatan digital dalam menangani arus perubahan dalam pasaran hartanah. Saya percaya kerjasama dengan iProperty.com.my ini akan memberi kelebihan bersaing kepada ejen hartanah PropNex Malaysia menerusi penggunaan data raya yang mencerahkan lagi peluang perniagaan mereka.”

Menerusi ciri Market Analytics, iProperty PRO mampu mengenal pasti perkara yang berpotensi menjadi masalah pada sesuatu penyenaraian dan mencadangkan penambahbaikan supaya penyeraian tersebut mampu menarik perhatian pembeli dan merangsang capaiannya.

Ejen hartanah juga boleh memanfaatkan ciri Home Report yang memberi anggaran harga sesebuah hartanah yang ingin dijual atau disewa bersama dengan analisis perbandingan pasaran. Ini membolehkan mereka memilih tempat terbaik untuk menyenaraikan hartanah. Turut dimuatkan adalah data komprehensif mengenai pertumbuhan modal dan hasil sewa, yang memudahkan ejen hartanah membuat perbandingan dengan unit lain di dalam bangunan yang sama dan unit di bangunan berhampiran yang bersaiz serupa.

Ejen hartanah juga mendapat akses kepada Brickz.my secara eksklusif di iProperty PRO. Ciri ini memastikan mereka maklum mengenai harga transaksi sebenar hartanah yang terkini yang boleh digunakan apabila merundingkan harga antara pembeli dan penjual. Di samping itu, ejen hartanah juga boleh mendapat maklumat mengenai kawasan popular dalam kalangan pembeli menerusi ciri trend pasaran di Brickz.my bagi mengoptimumkan penyenaraian mereka mengikut kawasan.

Ciri Market Insights pada iProperty PRO pula memuatkan maklumat berguna seperti kunjungan oleh pengguna, perintis jualan berpotensi, julat harga, kajian kawasan, angka penawaran dan permintaan serta populariti sesebuah hartanah (berdasarkan carian) di sesebuah kawasan. Pemahaman ini membolehkan ejen hartanah mendapat pulangan pelaburan (ROI) yang lebih tinggi dan memaksimumkan bilangan perintis jualan berkualiti dengan memahami tahap pesaing dan minat pembeli di sesebuah kawasan.

Mengenai REA Group & iProperty.com.my

REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara harta tanah digital yang menawarkan set perkhidmatan hartanah dan pemasaran projek paling komprehensif di Asia Tenggara termasuk di Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta seluruh wilayah China termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).

Berpangkalan di Australia, REA Group merupakan sebuah firma pengiklanan digital multinasional yang mengkhusus kepada hartanah. Disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX:REA), kami mengendalikan laman web hartanah kediaman, komersil dan saham terkemuka di Australia iaitu realestate.com.au, realcommercial.com.au dan flatmates.com.au. REA Group juga merupakan rakan kongsi utama 99 Group yang mengendalikan perniagaan 99.co dan iProperty.com.sg di Singapura serta rumah123.com di Indonesia. REA Group juga memiliki pegangan saham besar dalam Move, Inc menerusi realtor.com di Amerika Utara dan Elara Technologies menerusi proptiger.com, maakan.com dan housing.com di India.

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. Dengan lebih 3 juta lawatan setiap bulan, iProperty.com.my merupakan portal hartanah pendahulu pasaran yang menawarkan carian dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi. Untuk berita berkaitan REA Group dan iProperty.com.my, layari www.iproperty.com.my/newsroom dan ketahui permintaan dan tren hartanah kediaman, perkembangan teknologi dan produk serta banyak lagi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.