Top 10 Kelab Dengan Purata Gaji Pemain Yang Tertinggi Di Liga Perdana Inggeris (EPL)

Sukan bola sepak merupakan sukan yang paling diminati di seluruh dunia. Setiap empat tahun sekali, dunia akan fokus kepada sukan disebabkan pertandingan Piala Dunia (World Cup) yang diadakan dan menjana pendapatan yang paling tinggi tanpa perlu sebarang promosi yang hebat.

Walaupun berdepan dengan krisis pandemik Covid-19, liga-liga utama di dunia masih lagi berlangsung kerana hak penyiaran yang begitu mahal menjadikannya satu perniagaan yang perlu diteruskan. Pertandingan di antara kelab Eropah menjadi satu acara yang sangat berprestij dan dilihat dapat memberi pulangan yang sangat lumayan kepada liga dan pemilik kelab itu sendiri daripada segi kewangan.

Di antara liga di Eropah yang paling ke hadapan adalah Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menjadi kegilaan ramai peminat bola sepak. Ia pula menjadi rebutan pelabur luar untuk memilki kelab bola yang berada dalam liga ini untuk dijadikan pelaburan mereka.

Baca: Pemilikan Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Oleh Pelabur Asing Menjadikannya Sangat Kompetitif

Dengan keterbukaan pengurusan EPL yang menerima pelabur luar terhadap kelab yang ada di dalam liga ini, ia menjadikan liga ini sangat kompetitif di persada dunia.

Dengan suntikan modal yang besar terhadap kelab, ia turut menyumbang kepada pemain terkenal dunia untuk beraksi di liga yang paling popular ini. Hasilnya, kelab-kelab di EPL membelanjakan wang yang besar bagi melantik pengurus yang berbakat dan juga menawarkan gaji yang tinggi kepada para pemain mereka.

Mari kita lihat Top 10 kelab di EPL yang membayar gaji tinggi kepada para pemain mereka.

1. Manchester City

Purata tahunan gaji pemain: USD8.73 juta

Kelab yang sangat berjaya selepas menerima pelaburan besar oleh Raja Mansour bin Zayed Al Nahyan yang membelinya dari bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra.

Selepas Manchester City berada di bawah pengurusan Abu Dhabi United Group, kejayaan di peringkat domestik telah mengiringi kelab ini. Selain membayar gaji yang tinggi kepada para pemain mereka, kelab ini turut membayar gaji yang paling tinggi kepada pengurus mereka iaitu Pep Guardiola yang berjumlah $20 juta setahun.

Di antara pemain yang mendapat bayaran tertinggi di dalam skuad  ini adalah Kevin De Bruyne

2. Manchester United

Purata tahunan gaji pemain: USD7.66 juta

Merupakan di antara kelab yang terkaya di dunia.Kelab ini merupakan kelab yang paling berjaya di Liga Perdana Inggeris setelah liga berkenaan  dijenamakan semula sejak tahun 1992.

Kelab yang paling banyak memenangi trofi ketika berada di era Sir Alex Ferguson. Walaupun kini Manchester United sudah hilang bisa di dalam Liga Perdana Inggeris, kelab ini masih mempunyai ramai peminat yang setia yang masih menyokong kelab mereka.

Di antara pemain yang mendapat gaji yang paling tinggi adalah David De Gea.

3. Liverpool

Purata tahunan gaji pemain: USD6.92 juta

Juga merupakan kelab yang paling berjaya di dalam sejarah Liga Perdana Inggeris sejak ditubuhkan pada abad yang lepas. Liverpool menjadi kuasa bola sepak Eropah dan juga EPL sejak akhir-akhir ini setelah membuat rombakan besar-besaran terhadap  pemain mereka dan juga jurulatih mereka.

Di antara pemain yang mendapat bayaran paling tinggi adalah penyerangnya iaitu Mohamed Salah.

4. Arsenal

Purata tahunan gaji pemain: USD5.99 juta

Dikenali kelab yang kurang membelanjakan wang untuk membeli pemain ketika era pengurusan Arsène Wenger. Beliau merupakan insan yang bertanggungjawab dalam membangunkan kelab bola sepak ini menjadi gergasi di Liga Perdana Inggeris.

Arsenal merupakan satu-satunya kelab di EPL pada era moden yang berjaya memenangi liga tanpa tewas pada musim 2003/2004 yang dikenali sebagai “The Invincibles”.

Kini pemain paling mahal yang mendapat bayaran di Arsenal adalah  Pierre-Emerick Aubameyang.

5. Chelsea

Purata tahunan gaji pemain: USD5.97 juta

Merupakan kelab pertama yang menerima pelaburan dengan besar setelah dimiliki oleh Roman Abramovich pada tahun 2003. Kelab ini telah membuka mata pelabur luar untuk melabur kelab EPL kerana dalam masa yang singkat sahaja, Chelsea telah berjaya menjadi pesaing yang hebat di dalam liga tersebut.

Kelab ini juga terkenal dengan kelab yang mempunyai bilangan pengurus yang paling ramai sejak dimiliki oleh Roman Abramovich. Ianya merupakan kelab yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan pemain yang berkualiti.

Di antara pemain yang mendapat gaji tertinggi di dalam Chelsea adalah Kai Haivertz dan Timo Werner .

6. Everton

Purata tahunan gaji pemain: USD5.13 juta

Kelab yang masih berjuang untuk mendapatkan kejayaan di EPL. Kelab ini adalah kelab yang bersebelahan dengan Liverpool.

Prestasi kelab ini tidak menentu dan tidak tersenarai sebagai di antara kelab terkuat kerana tidak mempunyai sebarang rekod kejayaan di liga terbabit.

Kini dengan kehadiran pengurus yang mempunyai kejayaan yang luar biasa di peringkat Eropah iatu Carlo Ancelotti, Everton dilihat bakal memberi saingan yang hebat.

Pemain yang mendapat bayaran yang tertinggi adalah Yerry Mina.

7. Tottenham Hotspur

Purata tahunan gaji pemain: USD4.95 juta

Sebuah kelab yang meningkat naik sejak 5 tahun kebelakangan ini. Orang yang bertanggunjawab dalam memimpin kelab ini sehinggakan mejadi top four di dalam liga Liga Perdana Inggeris adalah jurulatih kelahiran Argentina Mauricio Pochettino.

Beliau yang membawa kelab ini sehingga kejohanan akhir pada dua musim lepas di dalam Liga Juara-Juara Eropah walaupun tidak berjaya memenanginya.

Pemain yang mendapat bayaran yang tertinggi di Tottenham Hotspur adalah penyerang kebangsaan England, Harry Kane.

8. Leicester City

Purata tahunan gaji pemain: USD4.19 juta

Sebuah kelab yang kerdil yang telah mengejutkan dunia bola sepak England dan juga dunia. Kelab ini secara mengejut telah menjadi juara Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/2016.

Kini Leicester semakin kuat dengan membawa masuk pengurus yang berbakat iaitu Brendan Rodgers yang menjadikan kelab ini semakin digeruni.

Pemain yang mendapat bayaran yang paling tinggi adalah Jamie Vardy.

9. West Ham United

Purata tahunan gaji pemain: USD3.78 juta

Sebuah kelab yang tidak terkenal dan mempunyai prestasi yang tidak menentu. Menjadi kelab belasahan di Liga Perdana Inggeris dan tidak pernah menjuarai sebarang piala yang besar selepas penstrukturan semula semula EPL pada tahun 1992.

Kali terakhir kelab ini berjaya menjulang piala adalah Piala FA pada tahun 1980.

Pemain yang mendapat bayaran tertinggi di West Ham adalah Sebastian Haller.

10. Crystal Palace

Purata tahunan gaji pemain: USD3.61juta

Juga merupakan salah sebuah kelab belasahan di EPL. Sama seperti West Ham United, Crystal Palace juga tidak mempunyai rekod kejayaan yang memberangsangkan.

Kelab ini juga merupakan kelab yang sentiasa naik dan turun dari divisyen pertama dan divisyen kedua dalam kancah Liga Perdana Inggeris.

Pemain yang mendapat bayaran tetinggi adalah Wilfried Zaha.

Sumber Rujukan:

Jangan lupa baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.