PUNB Jalin Kerjasama Dengan GMI Dalam Pembuatan EV Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan memperbanyakkan kursus dan latihan peningkatan kemahiran menerusi kerjasama strategik bersama German-Malaysian Institute (GMI) dalam memberi pendedahan teknologi terkini pembuatan kenderaan elektrik (EV) tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, permintaan terhadap kepakaran untuk servis kenderaan EV dan hibrid dilihat meningkat di Malaysia terutamanya apabila kenderaan tersebut luar daripada tempoh jaminan. 

“Untuk tahun ini, sebanyak tiga sesi latihan telah dianjurkan melibatkan 60 peserta terdiri dari Rakan Usahawan dan warga kerja PUNB,” katanya selepas Majlis Perasmian Auto Forum 2022 hari ini. 

Inisiatif ini juga sebagai langkah sokongan PUNB terhadap kerajaan dalam industri automotif yang memfokuskan kepada penggunaan EV selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 dalam usaha mencapai sebuah negara bebas karbon menjelang 2050.

“Sehubungan itu, sebagai sebuah pusat pembangunan keusahawanan, PUNB bertanggungjawab untuk memberi pendedahan melalui kursus dan latihan yang ditawarkan bagi memastikan perniagaan Rakan Usahawan PUNB mampu bergerak seiring dengan pembangunan teknologi masa kini,” kata Izwan.

Selain itu, beliau berkata PUNB juga bekerjasama dengan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd melalui Program Petronas AutoExpert sebagai platform untuk menjalankan perniagaan bengkel kenderaan berkonsep di bawah jenama syarikat minyak utama Malaysia ini.

“Melalui kerjasama ini, Rakan Usahawan yang layak akan berpeluang untuk mendapat sokongan pembiayaan dari PUNB bersama bimbingan yang ditawarkan oleh pihak Petronas untuk memulakan perniagaan,” katanya. 

Izwan berkata perbadanan itu menyasarkan seramai 20 usahawan automotif PUNB untuk menyertai Program Petronas AutoExpert dalam tempoh dua tahun sehingga penghujung 2024.

Dalam perkembangan berasingan, Izwan berkata sebanyak RM409.3 juta pembiayaan perniagaan telah diluluskan kepada 1,238 syarikat dalam industri automotif sejak penubuhan PUNB sehingga 30 Sept 2022.

Secara keseluruhan, katanya PUNB telah meluluskan pembiayaan perniagaan sebanyak RM3.9 bilion kepada 13,615 usahawan daripada 9,509 syarikat sejak penubuhannya sehingga 30 Sept 2022 manakala sasaran kelulusan pembiayaan perniagaan tahun ini adalah sebanyak RM189 juta kepada 314 syarikat.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/punb-jalin-kerjasama-dengan-gmi-dalam-pembuatan-ev-tahun-depan/

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.