Principal Malaysia: Asas Kewangan Yang Kukuh Akan Kekalkan NPL Walaupun Kadar Faedah Naik

KUALA LUMPUR, 2 Nov  (Bernama) — Normalisasi kadar faedah tidak akan mencetuskan peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar (NPL) disebabkan asas-asas kewangan dan simpanan yang kukuh serta teguh semasa pandemik yang mana moratorium tanpa faedah turut diberikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Malaysia dan Pengurus Negara Munirah Khairuddin berkata, walaupun ramai yang percaya bahawa kenaikan kadar faedah tidak memberi sebarang kebaikan, tetapi adalah penting untuk mengurangkan inflasi pada ketika ini.

“Semasa pandemik, institusi kewangan telah memasukkan semua NPL yang berpotensi, dan kenaikan kadar faedah telah ditetapkan. Oleh itu, walaupun menghadapi masalah, kami percaya yang kami akan menyaksikan ekonomi yang agak berdaya tahan,” katanya dalam sidang akhbar di Sidang Kemuncak Principal Asia Pasifik (APAC) 2022 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kebimbangan yang semakin meningkat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada 3 Nov ini yang merupakan kali keempat pada tahun ini.

Semasa pandemik, kadar faedah diturunkan kepada 1.75 peratus, terendah dalam sejarah dan apabila negara memasuki fasa endemik, ia telah meningkat secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga kali kepada 2.50 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Pendapatan Tetap Principal – Principal Asia Tenggara, Jesse Liew berkata selepas beberapa siri kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) tahun ini, jeda dijangka bermula pada suku pertama (S1) tahun depan untuk mengukur keberkesanan kenaikan kadar faedah dalam mengatasi masalah inflasi.

“Sebarang kenaikan kadar faedah akan memerlukan masa untuk melihat sama ada ia sesuai dengan ekonomi sebenar seperti pinjaman. Jadi bagi mana-mana bank pusat, saya fikir adalah bijak untuk memerhatikan apa yang ada pada kenaikan kadar tersebut kepada ekonomi sebenar.

“Saya boleh katakan bukan sahaja Malaysia perlu berbuat demikian, negara lain juga perlu terutamanya yang melaksanakan kenaikan secara mendadak,” katanya.

Liew juga berkata adalah penting bagi ekonomi untuk melaksanakan langkah sedemikian kerana kenaikan berterusan tanpa melihat kesannya, boleh menjejaskan permintaan dalam ekonomi tempatan, yang membawa kepada kelemahan penunjuk ekonomi lain.

Ditanya sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengikut langkah Fed AS jika negara itu menghentikan kenaikan kadar faedah, beliau berkata dari segi dasar monetari, adalah penting BNM bebas (untuk membuat keputusan sendiri) kerana keadaan ekonomi makro di Malaysia agak berbeza dari AS.

“Jadi jika kenaikan kadar faedah mungkin dihentikan seketika, BNM mungkin atau mungkin tidak mempunyai apa-apa korelasi dengan perkara itu, tetapi saya akan mengatakan bahawa BNM secara amnya akan cuba menilai dari segi konteks Malaysia sebelum membuat keputusan, terutamanya mengenai kekuatan ringgit dan nilai daya saingnya,” tambah beliau.

Pengukuhan dolar AS telah menyebabkan mata wang utama termasuk yen Jepun, pound British dan franc Switzerland mengalami kejatuhan.

Ringgit juga turut terjejas disebabkan pengukuhan dolar AS.

Sidang kemuncak itu merupakan acara tahunan untuk memberi pandangan kepada pemimpin perniagaan di Singapura, Malaysia dan Thailand mengenai ekonomi global serta risiko dan peluang pelaburan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/principal-malaysia-asas-kewangan-yang-kukuh-akan-kekalkan-npl-walaupun-kadar-faedah-naik/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.