SC Buka Permohonan Program Pasaran Modal Untuk Wanita Kembali Bekerja

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kini membuka permohonan untuk program latihan baharu yang disasarkan kepada wanita yang ingin kembali ke pasaran modal selepas berhenti seketika daripada kerjaya (career break).

Inisiatif yang dikenali sebagai investED for Returning Women terbuka kepada golongan profesional berumur 50 tahun ke bawah, yang telah meninggalkan sektor pekerjaansehingga tempoh 10 tahun, dan yang kali terakhir bekerja dalam industri pasaran modal atau syarikat awam tersenarai.

Disokong oleh beberapa rakan kongsi, investED for Returning Women sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2025 Kerajaan, yang menggesa pertumbuhan inklusif dengan menggalakkan kepelbagaian jantina dan pembangunan ekonomi inklusif.

Rakan kongsi untuk program itu ialah 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn Bhd, Securities Industry Development Corporation (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn Bhd (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad.

investED for Returning Women dibangunkan berasaskan kejayaan Program Kepimpinan investED yang dilancarkan oleh SC, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2023 untuk membangunkan generasi baharu peneraju pasaran modal.

Kohort pertama investED for Returning Women dihadkan kepada 100 orang, terutamanya profesional dalam peringkat pengurusan pertengahan.

Mulai bulan depan, para peserta akan menjalani program komprehensif selama dua bulan untuk memperbaharui kemahiran dan melengkapkan mereka dengan kecekapan yang sesuai untuk berjaya dalam pasaran kerja. Inisiatif ini merangkumi bimbingan mentor dan klinik kerjaya serta panduan peribadi, perkongsian pandangan praktikal, dan peluang rangkaian profesional.

Mereka akan menerima insentif sebanyak RM2,000 dan sijil selepas tamat program.

Permohonan dibuka dari 8 hingga 31 Oktober 2025. Semua permohonan akan melalui proses pemilihan sebelum calon disenarai pendek. Mereka yang berminat boleh memohon terus dengan mengemukakan permohonan melalui laman web investED.

Program ini juga menerima curriculum vitae (CV) daripada pangkalan data Program Career Comeback oleh TalentCorp.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.invested.my/invested-for-women/.

Previous Article

SME Corp. Malaysia Dan SMEDA, Pakistan Jalin Kerjasama Lonjak Pertumbuhan Signifikan PKS

KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2025 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan TYT Muhammad Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Pakistan telah menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan Small and Medium Enterprise Development Authority (SMEDA), Pakistan pada 6 Oktober 2025 di Putrajaya. Pertukaran MoU di antara YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dan TYT Syed Tariq Fatemi, Special Assistant to the Prime Minister of Pakistan on Foreign Affairs ini adalah bersempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia dari 5 hingga 7 Oktober 2025.

1 MoU ini mewujudkan rangka kerja asas untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempercepat pembangunan PKS di kedua-dua negara. Kerjasama ini menumpukan kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik terutamanya dalam pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran. Matlamat kedua-dua organisasi adalah untuk mewujudkan persekitaran lebih kondusif yang membolehkan PKS di kedua-dua negara dipertingkat untuk menjadi lebih berdaya saing dan menyumbang dengan signifikan kepada pembangunan ekonomi.

Pemeteraian MoU antara Malaysia dan Pakistan ini membuka potensi pertumbuhan yang kukuh untuk PKS kedua-dua negara. Dengan populasi penduduk Pakistan yang besar dan muda, kemajuan urbanisasi serta pembangunan infrastruktur yang berterusan, ianya menyumbang kepada perkembangan permintaan pasaran seperti makanan dan minuman halal, produk pengguna, pemprosesan tani, pakaian sopan (modest wear) dan teknologi bersih (clean technology). Kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal dan inovasi digital juga memberikan kelebihan daya saing kepada PKS untuk menawarkan produk dan perkhidmatan premium.

“Kami melihat potensi besar untuk PKS Malaysia ke pasaran Pakistan. Ini termasuk dalam bidang yang mempunyai kelebihan daya saing berikutan peningkatan permintaan di Pakistan seperti pakaian sopan (modest wear) berjenama, perkhidmatan platform (platform services), pendidikan kanak-kanak, pertanian lestari dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang diterajui PKS”, menurut YBrs. Encik Rizal.

MoU ini menandakan komitmen padu kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan menyediakan sokongan untuk pertumbuhan dan kemakmuran PKS. SME Corp. Malaysia kekal komited menggalakkan pembangunan PKS yang berdaya saing, inovatif dan berdaya tahan melalui penyelarasan yang berkesan dan penyediaan sokongan perniagaan, yang kini bakal dipertingkat melalui kerjasama antarabangsa strategik dengan SMEDA, Pakistan.