CelcomDigi, Yinson Holdings Lancar Pelan Pascabayar Pemilikan e-Motosikal Bermula RM299

PETALING JAYA, 23 Jan — CelcomDigi Bhd dan anak syarikat Yinson Holdings Bhd, Yinson GreenTech hari ini telah bersama-sama melancarkan pelan pemilikan motosikal elektrik (e-motosikal) dengan langganan pelan pascabayar pertama seumpamanya daripada syarikat telekomunikasi untuk memacu penerimagunaan kenderaan elektrik di Malaysia.

Pelanggan yang berminat boleh menyewa milik (lease-to-own) e-motosikal rydeEV, dengan hanya mendaftar mana-mana pelan 5G Pascabayar CelcomDigi dengan pelan ansuran Easy360. Terdapat dua pilihan e-motosikal rydeEV yang ditawarkan, iaitu model Ryder (RM299 sebulan) atau model Hyper (RM430 sebulan) untuk tempoh 36 bulan.

Selain itu, manfaat pelan ansuran Easy360 juga termasuk bayaran pendahuluan RM0 (untuk pelanggan yang berkelayakan), faedah 0% dan rebat pelan pascabayar RM10 selama 36 bulan.

Malah, pelanggan juga dapat menikmati manfaat tambahan yang berkaitan EV sepanjang tempoh kontrak, termasuk:

  • Pertukaran bateri tanpa had di stesen-stesen bateri yang terpilih (kini tersedia di Lembah Klang)
  • Cukai jalan dan perlindungan insurans
  • Penyelenggaraan motosikal (kecuali tayar)

Selepas tamatnya kontrak selama 36 bulan, pelanggan mempunyai pilihan untuk memiliki e-motosikal dengan hanya RM1.

Pelanggan awal akan mendapat topi keledar edisi terhad PERCUMA apabila mereka mendaftar untuk pelan ini, sementara stok masih ada. Topi keledar akan diterima semasa pengambilan atau penghantaran e-motosikal.  

Rebat tambahan dengan skim rebat Kerajaan

Pelanggan yang layak untuk skim rebat kerajaan, iaitu Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) juga layak menikmati rebat RM2,400 untuk pembelian e-motosikal mereka, dalam bentuk rebat bulanan RM200 selama tempoh 12 bulan. Kombinasi pelan ansuran Easy360 dan rebat ini membolehkan pelanggan memiliki motosikal elektrik pada kos serendah RM169 sebulan untuk tahun pertama apabila mereka melanggan pelan terendah. Pelanggan boleh menyemak kelayakan skim tersebut di https://marii.my/ev-incentive/.

Dua model pilihan e-motosikal rydeEV

Miliki e-motosikal Ryder atau Hyper dengan pelan anda

Dua model e-motosikal rydeEV akan tersedia untuk pelanggan CelcomDigi, iaitu model Ryder dan Hyper. Ryder mempunyai kelajuan maksimum 65km/j dan didatangkan dalam satu warna (merah), manakala Hyper mempunyai kelajuan maksimum 90km/j dan didatangkan dalam tiga warna (merah, biru dan oren). Kedua-dua model mempunyai purata jarak tunggangan sejauh 70km hingga 75km apabila dicas penuh, pada kelajuan 45km/j serta bergantung pada tabiat dan beban menunggang.

Lengkap dengan bateri boleh tukar serta teknologi hijau tercanggih

Ryder dan Hyper dilengkapi dengan keupayaan teknologi bateri boleh tukar. Jadi, penunggang tidak perlu berhenti untuk mengecas motosikal apabila bateri lemah. Menerusi model ‘bateri-sebagai-perkhidmatan’, bateri yang lemah boleh ditukar dengan bateri baharu yang dicas penuh di stesen-stesen bateri secara mudah.

Kerjasama dengan Yinson GreenTech tersebut selaras dengan aspirasi CelcomDigi untuk memacu inovasi dalam bidang mobiliti bersambung dan menyumbang kepada matlamat pelepasan karbon sifar bersih 2050 negara. Selain memperkenalkan rangkaian e-motosikal dan teknologi pertukaran bateri rydeEV yang terbaharu di Malaysia, Yinson GreenTech juga mengendalikan Pusat Pengalaman rydeEV di Petaling Jaya, yang mengalu-alukan orang ramai untuk mencuba model rydeEV yang unik.

Kini, pelanggan boleh mendaftar untuk e-motosikal rydeEV dengan pelan ansuran Easy360 di enam kedai CelcomDigi di seluruh Lembah Klang, dan pelan ini bakal diperluaskan ke semua kedai CelcomDigi di Lembah Klang dalam beberapa bulan akan datang. Untuk maklumat lanjut tentang tawaran dan lokasi pendaftaran, layari https://cd.link/rydeEV-offer dan https://rydeev-ygt.com/ untuk produk dan penyelesaian rydeEV.

Berdasarkan laporan Bernama, dalam majlis yang sama, rebat Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kini dijenamakan semula sebagai MARiiCas. Tengku Zafrul yang turut hadir untuk melancarkan majlis berkata beliau telah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) mengenai keperluan untuk menambah peruntukan.

“Permohonan MARiiCas amat memberansangkan namun kita juga perlu melihat tahap kelulusan permohonan. Kita masih membuat kajian, dan setakat ini tiada bantahan dari MoF,” katanya.

Boleh tonton video sekitar majlis pelancaran: https://www.facebook.com/reel/745832834137119

Gambar: FB Tengku Zafrul
Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.