SC Longgarkan Pengawalseliaan Skim Persaraan Swasta untuk Tingkatkan Daya Saing Industri

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan langkah-langkah liberalisasi Skim Persaraan Swasta (PRS) untuk memacu daya saing industri.

Untuk meningkatkan pertumbuhan jangka panjang untuk ahli-ahli PRS, langkah-langkah tersebut akan memberikan lebih kelonggaran dalam peruntukan aset untuk dana PRS, seperti membenarkan dana konservatif dilabur dalam pasaran asing dan dana PRS melabur dalam dana dagangan bursa berdasarkan emas fizikal untuk meningkatkan kepelbagaian aset dalam pelaburan alternatif.

“Industri PRS menawarkan saluran alternatif untuk menambah simpanan persaraan mereka. Langkah-langkah ini telah diguna pakai selepas proses semakan oleh SC, melalui perundingan bersama industri dan Pentadbir Pencen Swasta, untuk menggalakkan ahli-ahli PRS meningkatkan pelaburan mereka. Sementara itu, PRS juga membolehkan ahli-ahlinya mengakses dana untuk meringankan beban kewangan ketika mereka memerlukannya,” menurut Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar.

Memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia yang lebih panjang, penyedia PRS kini perlu secara beransur-ansur memindahkan pelaburan ahli-ahlinya kepada dana kurang berisiko mengikut umur mereka, bersesuaian dengan kadar toleransi risiko mereka. Ini akan membantu mengurangkan pendedahan risiko pasaran bagi ahli yang memilih dana tersedia atau ‘default fund’ (pertumbuhan, sederhana dan konservatif) yang sesuai dengan usia mereka.

Berikutan pengumuman Bajet 2020, ahli PRS kini boleh membuat pengeluaran pra-persaraan tanpa dikenakan penalti cukai untuk tujuan penjagaan kesihatan dan perumahan. Ahli-ahli dibenarkan membuat pengeluaran untuk diri sendiri atau ahli keluarga terdekat yang meliputi 91 jenis penyakit dan pembiayaian peralatan perubatan atau ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit yang diluluskan. Pengeluaran untuk perumahan meliputi pembiayaan atau pembelian harta kediaman, atau pengurangan pinjaman perumahan. Butiran lanjut mengenai langkah-langkah penarikan boleh didapati di laman sesawang Pentadbir Pencen Swasta (Private Pension Administrator atau PPA).

PRS merupakan skim simpanan caruman jangka panjang dan pelaburan sukarela yang ditubuhkan oleh SC pada 2012 untuk membantu orang ramai menabung untuk persaraan mereka. Kini terdapat lapan penyedia PRS yang memberi perkhidmatan kepada lebih 455,000 ahli di seluruh negara. Setakat akhir 2019, jumlah keseluruhan industri ini adalah sebanyak RM3.5 bilion.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi
pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.