Dividen KWSP: Cukup Atau Tidak?

Menurut artikel yang dikeluarkan oleh The Edge, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memerlukan keuntungan RM50 billion untuk membayar dividen sebanyak 6% pada tahun 2019.

Cabaran getir yang kini dihadapi oleh KWSP ialah saiz dana caruman dari pekerja yang semakin besar dan diunjurkan mencecah RM1 trillion pada tahun 2021. Dana caruman terkumpul KWSP ialah RM864.7 billion pada akhir Oktober 2019 dan bertambah menjadi RM924.75 billion berdasarkan data terkini yang dikeluarkan.

Selain daripada itu, prestasi pasaran saham Malaysia juga tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. FBM KLCI telah mencatatkan penurunan sebanyak 6 peratus sepanjang tahun. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku akhir 2019 juga menunjukkan prestasi ekonomi yang mencatatkan penurunan.

Situasi yang hampir sama ketika dividen ASB diumumkan. Saiz dana ASB semakin besar saban tahun, menjadikan pengurus dana sukar untuk mendapatkan keuntungan yang mencukupi untuk memberikan dividen yang banyak.

Berdasarkan pengumuman pada 22 Februari 2020, KWSP telah mengumumkan dividen simpanan konvensional sebanyak 5.45% manakala dividen simpanan shariah sebanyak 5%. Dividen 2019 ini lebih rendah berbanding tahun 2018.

Jom kita tengok dua alternatif yang kita ada.

1. Private Retirement Scheme (PRS)

Private retirement scheme adalah pelaburan jangka panjang yang dicarum secara sukarela untuk sesiapa yang ingin menambah simpanan persaraan.

Ciri-ciri PRS hampir sama dengan KWSP, bermakna pelaburan kita tidak boleh dikeluarkan sehingga umur persaraan. PRS diuruskan oleh institusi kewangan swasta yang berlesen dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Namun begitu, PRS tiada jaminan modal berbanding KWSP yang diuruskan oleh kerajaan.

Di samping itu, pelaburan di dalam PRS akan diberikan pengecualian cukai pendapatan sehingga RM3,000 setahun. Kita boleh mencarum ke dalam PRS dengan jumlah yang kita tetapkan sendiri.

2. EPF – Members Investment Scheme (EPF-MIS)

EPF-MIS adalah sebuah skim yang membenarkan pencarum KWSP untuk melabur sebahagian daripada caruman mereka ke dalam unit trust. Ada banyak dana pelaburan unit trust yang mampu memberikan pulangan yang menarik dan kompetitif.

Disebabkan oleh saiz dana KWSP yang dikatakan sudah terlalu besar, adalah lebih baik jika kita melabur caruman ke dalam unit trust supaya dana kita diuruskan oleh syarikat swasta dengan track record yang baik.

Selain daripada itu, ada pelbagai pilihan dana unit trust yang boleh dilaburkan. Setakat ini, lebih kurang 300+ dana unit trust yang telah diluluskan oleh KWSP merangkumi pelbagai kategori pelaburan seperti ekuiti, mixed asset dan money market. Ada yang melabur di dalam luar negara, ada juga yang melabur ke seluruh dunia.

Dana yang diambil dari KWSP tidak boleh ditukar menjadi wang tunai kerana sekiranya pencarum berhajat untuk menebus kembali pelaburan dalam unit trust, dana itu akan disalurkan kembali ke dalam KWSP.

Sekiranya kita rasa dividen yang diumumkan sebanyak 5% tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan selepas persaraan, kita boleh memilih alternatif lain untuk meningkatkan dana persaraan melalui PRS ataupun EPF-MIS.

Kedua-dua pelaburan ini boleh dilakukan sendiri dengan kos yang sangat minimum. Namun sekiranya kita tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi berkenaan pelaburan, terutama sekali dalam memilih dana yang mampu memberi pulangan yang lebih daripada dividen KWSP; kita disarankan untuk mendapatkan nasihat dari penasihat kewangan yang berlesen.

Selain daripada memberi khidmat nasihat berkenaan pelaburan, penasihat kewangan yang berlesen juga mempunyai kepakaran dalam perancangan persaraan.

Sumber Rujukan:

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Terpaksa Pilih Satu: Melabur Dalam Saham atau Emas?

Pelaburan merupakan salah satu cara terbaik untuk membina kekayaan jangka panjang dan melindungi nilai wang daripada inflasi. Namun begitu, persoalan yang sering timbul di kalangan pelabur baharu ialah sama ada lebih baik melabur dalam saham atau emas.

Hakikatnya, saham dan emas bukan musuh.
Mereka adalah dua watak yang berbeza dalam cerita kekayaan kita (fuh!).

Saham beri peluang untuk kita buat banyak duit, tapi ada masa dia boleh jatuh tanpa amaran.
Emas pula jarang mengecewakan, tapi juga jarang buat kita rasa “wow” (kecuali akhir-akhir ini bila harga melambung).

Artikel ini akan menghuraikan perbezaan utama antara saham dan emas berdasarkan sifat aset, potensi pulangan, risiko, kecairan, jangka masa pelaburan, serta modal minimum.

Sifat Aset

Saham ialah pemilikan sebahagian kecil daripada sesuatu syarikat. Apabila seseorang membeli saham, secara asasnya beliau menjadi pemilik bersama syarikat tersebut. Nilai saham dipengaruhi oleh prestasi kewangan syarikat, pertumbuhan perniagaan, unjuran masa depan, serta sentimen pasaran.

Apa contoh saham yang boleh dimiliki?

  • Rasa nak minum susu, kita cari Farm Fresh.
  • Tekak haus, kita capai air Spritzer.
  • Perlukan barang RM2.60, kita masuk kedai Eco-Shop.
  • Nak barang murah, kita ke Mr DIY.
  • Nak minum kopi dan lepak-lepak, kita pakat beratur di Oriental Kopi.

Apa yang ramai tak sedar, semua jenama ini bukan sekadar tempat kita berbelanja tetapi adalah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang sahamnya boleh dimiliki oleh orang ramai.

Emas pula merupakan aset fizikal berbentuk komoditi yang diiktiraf di seluruh dunia. Ia tidak bergantung pada prestasi mana-mana syarikat. Harga emas lazimnya dipengaruhi oleh permintaan global, pengeluaran lombong, kekuatan dolar Amerika Syarikat, inflasi serta ketidakstabilan geopolitik.

Potensi Pulangan

Pulangan saham datang daripada dua sumber utama iaitu kenaikan harga (capital gain) dan dividen.

Sebagai contoh, seorang pelabur membeli saham sebuah syarikat pada harga RM2 dan lima tahun kemudian harga saham tersebut naik kepada RM4. Itu sudah memberikan pulangan 100%. Sepanjang tempoh lima tahun itu, katakan syarikat tersebut turut membayar dividen sebanyak 10 sen setahun. Jika pelabur memiliki 1,000 unit saham, beliau menerima RM100 setahun, atau RM500 sepanjang lima tahun. Dividen ini adalah wang tunai sebenar yang boleh digunakan atau dilaburkan semula, tanpa perlu menjual saham.

Gabungan kenaikan harga dan dividen inilah yang menjadikan saham sebagai salah satu instrumen paling berkuasa untuk membina kekayaan. Semakin lama saham dipegang dalam syarikat yang berkualiti, semakin besar peluang untuk menikmati kesan penggandaan hasil daripada pertumbuhan perniagaan dan pendapatan dividen.

Emas pula memberikan pulangan melalui kenaikan harga sahaja.

Sebagai contoh, seseorang membeli emas pada harga RM250 segram dan lima tahun kemudian harga naik kepada RM350 segram, pulangannya adalah sekitar 40%. Pelabur tidak menerima sebarang bayaran berkala sepanjang tempoh pegangan tersebut.

Risiko

Pelaburan saham membawa risiko lebih tinggi kerana harga boleh turun naik setiap hari. Ia dipengaruhi oleh prestasi syarikat, keadaan ekonomi, dasar kerajaan, malah sentimen global. Sebagai contoh, ketika pandemik tahun 2020, banyak saham jatuh mendadak sebelum kembali pulih.

Sebaliknya, emas dianggap aset selamat atau safe haven. Semasa krisis kewangan, harga emas sering naik kerana pelabur mencari perlindungan daripada kejatuhan pasaran saham. Namun emas juga boleh susut nilai apabila ekonomi stabil dan pelabur kembali kepada aset berisiko tinggi.

Kecairan

Pasaran saham sangat cair kerana pelabur boleh membeli dan menjual saham melalui broker atau platform dalam talian pada bila-bila masa ketika pasaran dibuka. Proses transaksi juga pantas.

Emas juga boleh ditukar kepada wang tunai dengan mudah, tetapi jika emas fizikal, pelabur perlu menjualnya semula kepada kedai emas atau pembeli. Spread harga beli dan jual emas fizikal biasanya lebih tinggi. Kini wujud alternatif emas digital melalui akaun pelaburan bank atau aplikasi yang membolehkan pelabur membeli emas dengan modal kecil dan menjualnya semula dengan lebih mudah.

Jangka Masa Pelaburan

Saham sesuai untuk pelaburan jangka pendek, sederhana dan panjang. Bergantung kepada strategi dan kemahiran pelabur.

Dalam jangka pendek, saham sering digerakkan oleh berita, sentimen pasaran dan aliran dana institusi. Pelabur yang berpengalaman boleh memanfaatkan turun naik ini untuk menjana keuntungan dalam tempoh seminggu atau sebulan. Namun pendekatan ini menuntut disiplin kerana pergerakan harga boleh berubah dengan cepat.

Sebagai contoh, seorang pelabur mungkin membeli saham selepas keputusan kewangan yang baik dan menetapkan sasaran keuntungan 15% serta had kerugian 3%. Jika harga naik dan mencapai sasaran, dia terus jual walaupun masih ada potensi untuk naik lagi. Jika harga jatuh dan menyentuh had kerugian, dia terus jual tanpa menaruh harapan harga akan naik. Inilah disiplin.

Dalam jangka sederhana dan panjang, perkara yang paling penting ialah prestasi sebenar syarikat. Pertumbuhan pendapatan, keuntungan dan kedudukan pasaran akan tercermin dalam harga saham dari masa ke masa. Di sinilah pelabur boleh menikmati kesannya apabila syarikat yang baik terus berkembang dan nilai pegangan mereka meningkat secara beransur-ansur.

Semakin lama saham dipegang dalam syarikat yang berkualiti, semakin tinggi kebarangkalian pelabur memperoleh pulangan yang mengatasi inflasi dan simpanan biasa.

Emas pula lebih sesuai sebagai simpanan nilai jangka panjang. Ia berfungsi sebagai alat perlindungan nilai terhadap inflasi. Ramai pakar kewangan mengesyorkan agar pelabur menyimpan sekitar lima hingga sepuluh peratus daripada jumlah aset mereka dalam bentuk emas untuk menstabilkan risiko. Bank Negara Malaysia pernah melaporkan purata inflasi Malaysia sekitar dua hingga tiga peratus setahun, menjadikan emas sebagai pilihan lindung nilai yang relevan.

Modal Minimum

Pelaburan saham boleh bermula dengan modal serendah ratusan ringgit. Sebagai contoh, jika harga sesuatu saham ialah RM1.50 seunit dengan lot minimum 100 unit, pelabur hanya memerlukan RM150 untuk mula melabur.

Pelaburan emas digital boleh dimulakan serendah RM10 hingga RM100. Namun, bagi emas fizikal seperti jongkong atau syiling, pelabur biasanya memerlukan modal sekurang-kurangnya beberapa ratus ringgit.

Kesimpulan

Strategi yang lebih seimbang adalah dengan menggabungkan kedua-duanya dalam portfolio pelaburan. Sebagai contoh, 70 peratus dalam saham patuh syariah untuk pertumbuhan modal dan 30 peratus dalam emas sebagai aset pelindung inflasi. Dengan cara ini, pelabur bukan sahaja berpeluang membina kekayaan tetapi juga mengekalkan kestabilan kewangan. Namun peratusan ini hanyalah ilustrasi. Nisbah sebenar bergantung kepada umur, tahap risiko, matlamat kewangan dan situasi setiap individu

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Berminat nak buka akaun CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Nak Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB)? Jom Ikut Tutorial Ini

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.