Shopee Memecahkan Rekod Untuk 9.9 Super Shopping Day, Jumlah Pesanan Melonjak Tiga Kali Ganda Berbanding 2018

KUALA LUMPUR, 10 SEP 2019 – Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, menyimpulkan 9.9 Super Shopping Day yang paling berjaya setakat ini. Berkat sokongan kukuh daripada pengguna, penjual, jenama, dan rakan niaga, Shopee berjaya mencatatkan prestasi paling hebat pada 9 September, diserlahkan oleh:

  • 3 kali ganda jumlah pesanan berbanding 2018
  • 187,606 barangan dijual dalam seminit pada waktu puncaknya
  • Lebih daripada 113 juta tawaran ditawarkan

Ciri-ciri popular dalam aplikasi Shopee terus menarik perhatian pengguna sepanjang kempen 9.9 Super Shopping Day. Pengguna telah mengikuti Shopee Live setiap hari untuk menikmati pilihan siaran penstriman langsung lebih luas, dengan 50 juta tontonan secara keseluruhan. Di samping itu, koleksi permainan dalam aplikasi Shopee, termasuk permainan kegemaran ramai Goyang Shopee dan Shopee Quiz telah dimainkan berjuta-juta kali.

Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau, Shopee berkata: “Sebagai pencipta 9.9 Super Shopping Day, kami bangga melihat acara membeli-belah utama kami menjadi tarikh penting dalam kalendar membeli-belah dalam talian di rantau ini. Disebabkan oleh pertumbuhan dan kejayaannya yang berterusan, para peniaga runcit luar dan dalam talian serta laman web membeli-belah dalam talian lain telah mengalami demam 9.9.”

“9.9 Super Shopping Day tahun ini menyaksikan kami melangkaui semua jangkaan apabila kami menyimpulkan hari yang tidak dapat dilupakan pada 9 September, mencapai kejayaan baru kerana lebih ramai jenama, penjual dan rakan kongsi menyertai Shopee untuk acara membeli-belah utamanya. Kami berterima kasih atas sokongan luar biasa mereka dalam memberi yang terbaik kepada pengguna kami,” tambah Ho.

Shopee menarik perhatian sedunia dengan Cristiano Ronaldo

Kerjasama antara Shopee dengan duta jenama Cristiano Ronaldo telah menyaksikan permulaan yang berjaya. Iklan televisyen pertama Cristiano Ronaldo dengan Shopee mendapat sambutan hebat dengan 35 juta tontonan dalam talian setakat ini, manakala persembahan Shopee Dance oleh ikon bola sepak ini telah disaksikan di seluruh dunia.

Di samping itu, Shopee mendekatkan pengguna dan peminat dengan Christiano Ronaldo menerusi ciri penstriman langsungnya, Shopee Live. Pada 28 Ogos, Shopee Live membawakan semua pengguna ke Itali untuk siaran langsung eksklusif bersama Cristiano Ronaldo. Ikon bola sepak pujaan ramai ini menjawab pelbagai soalan daripada penonton di rantau ini dan mempersembahkan Shopee Dance. Semasa detik kiraan menjelang 9.9 Super Shopping Day pada 8 September, pengguna Shopee juga berpeluang menyaksikan siaran eksklusif temu duga dengan Cristiano Ronaldo di Shopee Live.

Shopee mencatatkan 9.9 Super Shopping Day terbaik di Malaysia

Di Malaysia, para pengguna menikmati koleksi promosi terbesar yang tiada tandingan dan hiburan tanpa henti pada 9 September, termasuk penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM9.

Jenama-jenama berprestasi tinggi menyaksikan purata peningkatan 6,780x dalam trafik dan 400x peningkatan dalam jualan berbanding dengan hari biasa. Pengguna-pengguna juga merebut tawaran terbaik bagi jenama dan produk kegemaran mereka dengan trend berikut diperhatikan:

  • Jenama Paling Popular: Mr DIY, Mydin, Nestle, Vivo, Vinda, Maybelline, Carlo Rino
  • Kategori Utama: Kelengkapan Rumah, Kesihatan & Kecantikan, Telefon & Aksesori
  • Barangan Paling Laris: Fon telinga tanpa wayar, kasut, telefon pintar, periuk tekanan, ketuhar elektrik, kelengkapan tempat tidur dan tuala, penapis minyak kenderaan bermotor, MILO
  • Kata Kunci Paling Hangat: Blaus, burger, Playstation 4, Milo, iPhone 

Ho merumuskan: “Kami sukacita untuk memulakan musim beli-belah akhir tahun dengan kejayaan 9.9 Super Shopping Day. Ini hanya permulaan bagi keseluruhan siri jualan e-dagang untuk tempoh akhir tahun. Kami telah bersiap-sedia untuk memberikan lebih banyak nilai kepada pengguna, penjual, jenama dan rakan kongsi kami pada bulan-bulan akan datang sementara kami memperkenalkan ciri-ciri yang lebih unggul dan tawaran yang tidak patut dilepaskan. “

Beli-belah 9.9 Thank You Sale di http://shopee.com.my/99

Muat turun aplikasi Shopee menerusi App Store atau Google Play

Mengenai Shopee

Shopee ialah platform e-Dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan. Platform ini direka khusus untuk rantau ini, memberikan pengguna pengalaman membeli-belah yang mudah, selamat dan cepat dengan sokongan pembayaran dan logistik yang kukuh.

Shopee akan terus meningkatkan prestasi platformnya dan menjadi destinasi e-Dagang pilihan di rantau ini. Shopee mempunyai pilihan produk yang pelbagai dari kategori seperti elektronik, perkakas rumah, kesihatan & kecantikan, bayi & permainan, fesyen dan peralatan kecergasan.

Shopee, sebuah syarikat Sea, mula dilancarkan di Singapura sejak 2015 dan telah berkembang ke Malaysia, Thailand, Taiwan, Indonesia, Vietnam dan Filipina. Sea merupakan peneraju dalam industri hiburan digital, eDagang dan perkhidmatan kewangan digital di rantau Asia Tenggara dan Taiwan. Misi Sea adalah untuk menaiktaraf kualiti kehidupan pengguna dan perniagaan kecil menerusi penggunaan teknologi dan telah disenaraikan di Bursa Saham New York (NYSE) dengan simbol SE.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI