Usahasama Funding Societies dan foodpanda manfaatkan PMKS tempatan melalui pembiayaan digital, berjaya salur RM1 juta sehingga kini

Funding Societies Malaysia, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, bersama-sama foodpanda, peneraju platform penghantaran atas talian, mengumumkan satu usahasama strategik untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan digital jangka pendek bagi rakan niaga dalam rangkaian foodpanda.

Usahasama tersebut yang telah berjaya menyalurkan RM1 juta secara keseluruhan, membolehkan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan mendapat lebih akses kepada peluang pembiayaan perniagaan, agar dapat memudahkan keperluan operasi perniagaan, memperluaskan perniagaan, di samping memastikan kelangsungan PMKS terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kesan dari pandemik ketika ini. Sebanyak 20,000 hingga 30,000 rakan niaga dari pelbagai segmen di dalam rangkaian foodpanda dijangka akan menerima manfaat daripada penyelesaian pembiayaan bersesuaian yang ditawarkan oleh Funding Societies.

Wong Kah Meng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, berkata, “Kami didorong oleh tujuan bersama foodpanda untuk memberi lebih sokongan kepada sektor PMKS yang pastinya paling terkesan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang berpanjangan ini. Menerusi kerjasama ini, rakan niaga dalam rangkaian luas mereka akan memperoleh penyelesaian pembiayaan jangka pendek, tanpa cagaran, dengan manfaat tambahan iaitu pengalaman aplikasi penuh atas talian yang serba pantas dan lancar. Malah, jumlah pembiayaan RM1 juta yang telah berjaya dicapai sehingga kini khusus menerusi usahasama ini adalah bukti keyakinan PMKS terhadap pembiayaan digital sebagai pilihan pembiayaan berdaya maju, seterusnya mengukuhkan lagi komitmen kami dalam berkhidmat untuk perniagaan yang dicicir (underserved) dan tidak dibantu (unserved) dari semua segmen.”

“Seluruh negara telah mengalami waktu yang sukar sepanjang tahun lepas. Kami ingin memastikan bahawa kami dapat menyediakan peluang pembiayaan kepada rakan niaga bagi membolehkan mereka untuk meneruskan kelangsungan perniagaan di sebalik cabaran yang dihadapi. Usahasama yang dimeterai bersama Funding Societies ini membolehkan kami menawarkan bantuan pembiayaan yang amat diperlukan oleh rakan niaga kami. Maklum balas yang kami terima daripada rakan niaga kami setakat hari ini juga adalah amat positif, dan kami gembira kerana dapat menjadi sebahagian dari kejayaan perniagaan mereka,” kata Sayantan Das, Pengarah Urusan foodpanda.

“Cabaran utama yang dihadapi pengusaha kecil makanan dan minuman sepanjang pandemik Covid-19 ini adalah untuk memastikan perniagaan masih dapat diteruskan – dan inisiatif dari Funding Societies dan foodpanda ini telah berjaya mengatasi masalah ini. Pembiayaan ini membantu saya untuk menampung kos-kos seperti stok harian, sewa bulanan dan bil utiliti sepanjang pandemik. Di waktu sebegini, di mana perniagaan dan strategi pemasaran kami terjejas teruk, saya percaya inisiatif seperti ini berupaya membantu saya dan ramai pengusaha lain yang bertungkus-lumus untuk memastikan kelangsungan perniagaan,” kata Abdul Rahman dari Al-Raudah Arabian Food.

Manakala Saiful dari Dapur Seri Buluh, turut berkata, “Inisiatif dari foodpanda Malaysia dan Funding Societies ini membolehkan saya mendapatkan modal pusingan secara harian dan bulanan sepanjang tempoh yang sukar ini. Dalam keadaan pandemik sekarang, amat sukar bagi saya untuk mendapatkan aliran tunai harian, namun dengan adanya inisiatif seperti ini, peluang untuk kami meneruskan perniagaan dan menyimpan lebihan tunai bagi persediaan sekiranya situasi bertambah teruk kini lebih tinggi.”

Pembiayaan digital kini menjadi semakin popular di Malaysia disebabkan manfaatnya dalam memberikan keterangkuman kewangan, khususnya untuk PMKS yang sering tercicir atau tidak dibantu oleh medium pembiayaan tradisional. Pembiayaan digital bertujuan mengatasi isu-isu lazim dalam proses permohonan sistem kewangan tradisional seperti keperluan cagaran, dokumentasi yang rumit serta tempoh pemprosesan yang lama, seterusnya membolehkan PMKS untuk mendapatkan pembiayaan secara pantas untuk tujuan mengembangkan perniagaan. Satu kelebihan unik usahasama ini adalah pra-kelulusan pembiayaan yang ditawarkan oleh Funding Societies, dengan menggunakan maklumat dari pangkalan data PMKS di foodpanda seperti transaksi jualan rakan niaga dalam penilaian kredit mereka.

Rakan niaga dalam rangkaian foodpanda yang layak berpeluang untuk menikmati manfaat pembiayaan dari Funding Societies seperti berikut:

  • Pengalaman aplikasi atas talian sepenuhnya
  • Keperluan dokumentasi yang minima
  • Pembayaran pantas setelah mendapat kelulusan (sepantas 3 hari bekerja)
  • Tempoh bayar balik yang fleksibel, sehingga 18 bulan
  • Tiada keperluan cagaran

Sebagai sebahagian daripada usahasama terbabit, Funding Societies turut menawarkan salah satu produk terbaharu mereka, Micro Credit Line kepada rakan niaga foodpanda yang layak. Kemudahan Micro Credit Line ini membolehkan PMKS untuk mendapatkan tempoh kredit pendek antara 30 hingga 90 hari dalam satu-satu masa yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan perniagaan seperti pembelian bahan-bahan, bayaran kepada pembekal, mahupun sebagai dana kecemasan.

Untuk maklumat lanjut tentang usahasama ini, sila layari:

https://fundingsocieties.com.my/micro-credit-line/foodpanda

Mengenai Funding Societies Malaysia

Dilancarkan pada tahun 2017, Funding Societies Malaysia merupakan platform pembiayaan digital PKS yang pertama dan terbesar di Malaysia. Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, platform pembiayaan digital ini menghubungkan PKS dengan pelabur melalui ruangan pasaran atas talian, seterusnya meningkatkan akses pembiayaan bagi PKS.

Menerusi pelaburan dalam PKS, pelabur boleh mendapat pulangan yang bersesuaian dengan risiko. Sementara itu, PKS pula berpeluang untuk mendapat pembiayaan jangka pendek bagi mengembangkan perniagaan mereka melalui proses atas talian yang pantas dan mudah. Sebagai tambahan, PKS tidak perlu mengemukakan cagaran untuk pembiayaan, dan kos faedah diminimakan melalui tempoh pembiayaan yang pendek.

Funding Societies juga beroperasi di Singapura dan Indonesia (dikenali sebagai Modalku), menjadikan ia salah satu platform pembiayaan digital PKS terkemuka di Asia Tenggara. Kedua-dua Funding Societies dan Modalku telah mencapai RM6.7 bilion dalam jumlah pembiayaan kepada PKS di seluruh Asia Tenggara semenjak penubuhannya. Untuk maklumat lanjut tentang Funding Societies Malaysia, sila layari:

https://fundingsocieties.com.my.

Mengenai foodpanda

foodpanda adalah peneraju platform makanan atas talian di Asia yang berazam untuk membawa pelbagai jenis makanan, barangan keperluan dan banyak lagi kepada para pengguna dengan pantas dan mudah. Dengan kecanggihan teknologi dan operasi yang cemerlang, foodpanda telah menerajui perkembangan quick-commerce (q-commerce) di seluruh rantau ini dengan kerjasama rakan niaga, termasuk pandamart – perkhidmatan pembelian barangan runcit di atas talian yang memberikan lebih banyak pilihan di sebalik jutaan pilihan penghantaran makanan yang lain. foodpanda beroperasi di lebih daripada 300 bandar dalam 12 pasaran di Asia Pasifik – Singapura, Hong Kong, Thailand, Malaysia, Pakistan, Taiwan, Filipina, Bangladesh, Laos, Kemboja, Myanmar, dan Jepun. foodpanda dimiliki oleh Delivery Hero, peneraju industri penghantaran makanan seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.foodpanda.com.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.