Zurich Takaful Perkenal Takaful Family Hero

Kuala Lumpur, 2 Disember 2019 – Zurich Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful) telah memperkenalkan satu pelan baharu – Takaful Family Hero, sebuah pelan perlindungan yang direka untuk menyokong rakyat Malaysia yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka dan yang tersayang dengan membantu melindungi kewangan mereka bagi menghadapi sebarang kejadian tidak dijangka.

Yang pertama seumpamanya bagi industri takaful, pelan ini menyediakan manfaat pemulihan dimana pelanggan akan menerima sejumlah bayaran bersamaan 5% daripada jumlah perlindungan, secara tahunan selama 10 tahun sekiranya mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh. Ia menggambarkan komitmen Zurich dalam mereka penyelesaian perlindungan yang inovatif bagi mengatasi cabaran terbesar dalam kehidupan dan kesejahteraan rakyat Malaysia – jurang hutang.

Berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Khazanah[1], gadai janji sebagai sebahagian jumlah pinjaman telah meningkat sebanyak 10 mata peratusan daripada 2006 ke 58%, semakin mengurangkan kemampuan isi rumah untuk menyimpan. Tanpa sebarang perlindungan bagi membayar hutang semasa, kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba akibat kejadian tidak disangka boleh menghabiskan keseluruhan simpanan dan membawa kepada masalah kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Mukesh Dhawan berkata, “Takaful Family Hero ini bermula daripada pemahaman kami tentang cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, kebanyakan isi rumah dibebani hutang apabila pencari nafkah mengambil pelbagai komitmen untuk memberikan kehidupan yang lebih baik buat keluarga. Amat mudah untuk terjerumus merasai jaminan palsu dan disebabkan itu, ramai yang tidak mampu menghadapi kehilangan pendapatan yang berlaku secara tiba-tiba. Kami mereka penyelesaian ini bagi membantu rakyat Malaysia membina jaring keselamatan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih yakin.”

Takaful Family Hero memberikan ciri-ciri dan manfaat berikut:

• Manfaat Balik Kampung
Pelanggan boleh menikmati liputan perlindungan yang lebih tinggi sehingga tiga kali jumlah perlindungan asas ketika cuti umum, apabila ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk melawat orang tersayang.

• Manfaat Ziarah Plus, serta Badal Haji, Korban, Waqaf dan Kebajikan
Manfaat boleh dibayar sehingga RM50,000 sekiranya pelanggan menanggung susah akibat kejadian tidak diingini ketika mengerjakan Haji atau Umrah. Pelanggan juga boleh melengkapi pelan dengan kerjasama Amanah Raya Berhad untuk mencapai tuntutan kerohanian.

• Hak Istimewa Penjagaan Keluarga
Pelan ini membolehkan pelanggan melanjutkan liputan perlindungan kepada sehingga empat (4) pasangan dan anak-anak yang sah. Apabila berlakunya kematian pencari nafkah, ahli keluarga yang dilantik layak menyertai pelan untuk mendapatkan perlindungan sehingga RM300,000 setiap seorang, tanpa sebarang taja jaminan.

Sebagai perlindungan tambahan, pelanggan boleh memilih untuk menambah rider KritikalCare Essential yang memberikan perlindungan terhadap 50 penyakit kritikal, selain KritikalCare Waiver untuk pelepasan caruman apabila didiagnosis dengan salah satu penyakit tersebut.

Zurich Takaful menyediakan portal pembayaran dalam talian patuh Syariah – PayHalal, yang menghapuskan unsur-unsur Riba’ and Gharar (ketidakpastian) bagi memberikan ketenangan fikiran. Caruman juga boleh dibuat melalui pelbagai saluran seperti perbankan dalam talian, auto debit/direct debit serta e-wallet Boost atau Touch ‘N Go.

Dengan lebih sedekad pengalaman dalam pasaran takaful dengan sokongan pasukan agensi yang berdedikasi, Zurich Takaful merupakan penyedia penyelesaian takaful keluarga patuh shariah yang holistik dan menyeluruh, yang merangkumi penyelesaian perlindungan, perubatan dan kesihatan, simpanan dan pelaburan.

Untuk maklumat lanjut tentang produk dan perkhidmatan Zurich Takaful, pelanggan boleh layari lawan sesawangnya di www.zurich.com.my atau Facebook di www.facebook.com/ZurichMYS.

[1] Different realities, State of Households 2018, Khazanah Research Institute

Zurich Insurance Group (Zurich) merupakan penyedia pelbagai insurans utama yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan di pasaran antarabangsa mahupun tempatan. Dengan kira-kira 54,000 orang kakitangan, Zurich menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan hartanah, kasualti serta insurans hayat yang meluas di lebih daripada 210 buah negara dan wilayah. Pelanggan-pelanggan Zurich merangkumi individu, perniagaan kecil sederhana mahupun besar serta syarikat-syarikat multinasional. Kumpulan ini beribu pejabat di Zurich, Switzerland dan telah diasaskan pada tahun 1872. Syarikat pegangannya, Zurich Insurance Group Ltd (ZURN), disenaraikan di SIX Swiss Exchange dan bertaraf tahap I program Resit Depositari Amerika yang didagangkan menerusi kaunter pada OTCQX. Maklumat lanjut mengenai Zurich boleh diperolehi di www.zurich.com.

Zurich Malaysia adalah istilah rujukan kolektif bagi anak-anak syarikat Zurich Insurance Group (Zurich) yang beroperasi di Malaysia: Zurich General Insurance Malaysia Berhad, Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, Zurich General Takaful Malaysia Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad. Zurich Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian insurans dan takaful yang komprehensif; membantu individu dan juga pemilik perniagaan memahami dan melindungi diri, perniagaan dan juga asset mereka daripada risiko. Zurich Malaysia mempunyai rangkaian cawangan bersepadu di 40 lokasi dan juga agensi dan saluran pengedaran yang berdedikasi di seluruh negara untuk memenuhi keperluan pelanggan. Untuk maklumat lanjut mengenai Zurich Malaysia, layari www.zurich.com.my

Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) adalah salah sebuah pengendali takaful keluarga terkemuka di Malaysia. Ia merupakan ahli Zurich Insurance Group dan satu-satunya penyedia tunggal produk takaful keluarga yang patuh shariah dalam kumpulan Zurich. Dengan kepakaran pasaran takaful lebih sedekad, ZTMB menyediakan penyelesaian perlindungan, perubatan dan kesihatan, simpanan wang dan pelaburan untuk memenuhi keperluan para pelanggan di pelbagai peringkat kehidupan. Bersama-sama kakitangan yang berdedikasi, tenaga kerja agensi, pengedar dan rakan niaga serta dengan sokongan rangkaian cawangan di seluruh negara, ZTMB komited untuk membantu para pelanggan memahami dan melindungi diri mereka daripada risiko. Produk konvensional insurans hayat juga disediakan kepada pelanggan melalui syarikat sekutunya iaitu Zurich Life Insurance Malaysia Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai ZTMB, layari www.zurich.com.my

Previous ArticleNext Article

1 Comment

  1. Assalamualaikum..jika tuan/puan berminat dgn plan HERO dari Zurich Takaful, boleh hubungi saya utk saya terangkan lebih detail manfaat yg akan anda peroleh..boleh wsp sy di 011-35309590/012-8814077..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI