8 Rahsia Bisnes Cara Rasulullah SAW

Rasulullah SAW adalah manusia yang sewajarnya dijadikan contoh kepada semua orang. Ayahanda Baginda adalah Abdullah bin Abdul Muthallib, ibundanya bernama Aminah, kedua-duanya dari suku kaum Quraisy di Mekah yang berketurunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim AS.

Rasulullah SAW adalah Rasul pilihan Allah yang diutuskan kepada umat manusia untuk membimbing kita kepada hidayah Allah; berbuat yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, manusia berada di ambang kehancuran lantaran kejahilan mereka.

Baginda sudah mula berniaga sejak berumur 12 tahun. Di bawah jagaan Abu Talib AS, Rasulullah SAW telah mula mengikut Abdul Talib as berniaga sehingga ke Syria. Abdul Talib adalah mentor perniagaan kepada Rasulullah ketika muda dan Rasulullah merupakan ahli perniagaan yang hebat.

Pada suatu ketika, di waktu berniaga, Rasulullah SAW telah memperoleh keuntungan lebih dari usahawan-usahawan lain dalam rombongan yang sama. Oleh kerana kehebatan Rasulullah SAW dalam perniagaan, Baginda berjumpa dengan isterinya, Siti Khadijah (yang juga seorang usahawan unggul) ketika berumur 25 tahun.

Perniagaan adalah perkara yang penting dalam Islam, malah menjadi satu terminologi yang sering disebut dalam al-Quran, contohnya:

“Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi”

– Surah Faatir Ayat 29

“ Wahai orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan sesuatu   perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Yakni kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui”

– Surah As-Saff Ayat 10-11

Kenapa Allah menyebut perniagaan dan bukan pekerjaan? Kerana perniagaan itu ialah sesuatu yang menguntungkan dan memerlukan usaha tulang empat kerat kita sendiri. Dan boleh juga merugikan sekiranya tidak dijalankan dengan betul.

Dan Rasulullah SAW sering disalah anggap sebagai miskin. Tidak, Baginda seorang yang kaya.

Cuma hidup yang dijalaninya tidak seperti orang-orang kaya. Tiada rumah bertingkat-tingkat, tiada TV besar gedabak, tiada kereta Ferrari.

Tetapi apabila Baginda keluar berjuang, contohnya berperang. Baju perang, pedang Baginda adalah dari yang terbaik, kuda-kuda perang adalah dari jenis yang terbaik. Makna kata seluruh harta Baginda digunakan untuk memperjuangkan Islam, bukan untuk kegunaan diri sendiri.

Malah Baginda pernah mengikat batu-batu di perutnya untuk menahan lapar.

Jom kita tengok rahsia bisnes cara Rasulullah SAW seperti berikut:

1. Tidak Pernah Berdebat

Rasulullah SAW dahulu ketika berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain. Hal ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul lagi.

Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Rasulullah SAW berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar, ” kata Rasulullah SAW.

Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”

2. Teknik Menjual Yang Unik

Mengikut riwayat, Nabi menjual barang-barang Baginda tidak seperti diamalkan oleh kebanyakan peniaga atau lain-lain saudagar ketika itu. Baik peniaga Arab atau pun bukan Arab.

Biasanya para peniaga kebanyakannya mereka menjual barang-barang dagangan mereka dengan meletakkan harga yang setinggi mungkin. Tetapi Nabi menjualnya dengan cara memberitahu harga pokok dan meminta para pelanggan atau pembeli membayar berapa harga yang mereka kehendaki.

Dengan cara ini pembeli merasa puas dan senang hati kerana mereka merasa tidak tertipu oleh peniaga. Lalu mereka membeli dengan larisnya sehingga barang-barang Nabi paling laku dan cepat habis berbanding rakan-rakan Baginda yang lain.

Selain daripada itu, Nabi juga mengambil sikap menjual pada harga modal apabila si pembelinya seorang yang benar-benar miskin tetapi memerlukan barang tersebut. Baginda amat bertimbang rasa dan amat pengasihan belas kepada sesama manusia.

Ada ke orang yang menjual barang-barang dagangannya pada harga modal?

3. Sentiasa Senyum

Satu lagi daya penarik yang luar biasa yang telah menarik para pembeli untuk mendekati barang-barang Nabi ialah sikap dan wajah Baginda semasa berjualan itu. Selaku seorang insan yang sedia dijadikan Allah berwajah kacak menawan dan gemar melemparkan senyuman kepada orang, maka Nabi telah menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda itu.

Dengan wajah yang manis dan menawan dihiasi pula dengan senyuman yang manis, pastilah keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah seseorang itu semakin bertambah. Para pelanggan memang suka sangat orang yang berwajah manis dan selalu memberi senyuman.

4. Jujur

Rasulullah SAW bersabda:

“Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid”

– Hadis Riwayat Al-Imam At-Tarmizi

Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting dalam perniagaan.Ketika kita berbincang mengenai perniagaan seorang Muslim, kita sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan yang membangunkan hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan. Rasulullah SAW memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan.

Kemudian Rasulullah SAW menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu. “Apa ini saudara?” tanya Rasulullah SAW.
“Terkena hujan, tuan,” kata peniaga itu.
“Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya?” kata Rasulullah SAW.
Kemudian Baginda berkata lagi, “Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”

5. Tidak Bersumpah Palsu

Dengan tegas, Rasulullah SAW mengecam amalan perdagangan yang dipenuhi tipu daya. Apalagi sampai bersumpah palsu, mengandungi unsur riba atau berbisnes di pasar gelap. Sebab, model menjalankan bisnes seperti itu bukan saja merugikan orang lain, tapi juga membuat perniagaan yang dijalankan tidak diberkati.

Hal itu sebagaimana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:

“Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual-beli mereka.”

– Hadis Riwayat Muslim

Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat untuk tidak melakukan sumpah, selain mengakibatkan kehilangan berkatnya.

6. Lemah Lembut

Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan.

Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan.”

7. Bukan Mengejar Harta Semata-mata

Rasulullah SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan Baginda tetapi juga untuk mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh Baginda bagi tujuan perniagaan.

Muamalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu membantu di kalangan mereka yang berada dan tidak berada.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

– Surah Al-Maaidah Ayat 2

8. Fasih Bertutur Kata

Rasulullah SAW merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Baginda mengendalikan perniagaan harta Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan yang banyak.

Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan Baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah yang bermaksud:

“Adalah Rasulullah SAW berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelas lagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama Baginda).

Maka, kepada para peniaga, marilah kita contohi cara-cara bisnes Rasulullah SAW. Semoga kita memperoleh pahala kerana mengikut sunnah Baginda dan mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Gentari Setuju Saranan Tubuh Konsortium Bantu Pemain Solar – DPMM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) — Cabang tenaga hijau Petronas, Gentari Sdn Bhd menyatakan persetujuannya dengan saranan untuk mewujudkan konsortium dianggotai pemain industri solar yang berkelayakan untuk diberi kontrak pada masa hadapan, kata Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Presidennya Norsyahrin Hamidon berkata kata putus tersebut dipersetujui semasa satu pertemuan yang diadakan antara DPMM dan Gentari pada Rabu di pejabat pengurusan syarikat itu.

Selain itu, katanya, DPMM turut menyarankan agar satu program pembangunan bumiputera diwujudkan di Petronas agar syarikat bumiputera pelbagai bidang dalam industri minyak dan gas dapat diberi keutamaan dalam pengagihan kontrak pada masa depan.

“DPMM bersedia untuk menjadi penghubung antara pemain industri bumiputera dan Petronas.

“Syarikat bumiputera banyak yang berkelayakan dan mempunyai merit cuma dipinggirkan dari diberi peluang untuk sama-sama bersaing dengan syarikat bukan bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Norsyahrin berkata tindakan pantas pengurusan Gentari memanggil DPMM, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu dan pemain industri bagi menyelesaikan kemelut tersebut daripada terus berpanjangan turut diberi pujian.

— BERNAMA