COVID-19 : 3.28 Juta Rakyat Amerika Syarikat Hilang Pekerjaan Dalam Tempoh 7 Hari

Impak negatif pandemik koronavirus semakin jelas di Amerika Syarikat dengan jumlah rakyat Amerika Syarikat yang mendaftar untuk mendapatkan faedah pengangguran melonjak ke paras tertinggi 3.28 juta orang. Hal ini diumumkan oleh Jabatan Buruh negara itu pada Khamis (27 Mac 2020) dalam laporan yang dibuat setiap minggu.

Peningkatan ini jauh lebih tinggi berbanding tuntutan faedah pengangguran yang dicatatkan pada minggu sebelum itu sebanyak 282,000 permohonan pada minggu berakhir 14 Mac 2020.

Laporan ini juga menunjukkan sejumlah 1.803 juta orang telah menerima insurans pengangguran setakat ini. Data ini menunjukkan gambaran jelas impak negatif koronavirus terhadap ekonomi.

Minggu lalu, bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve) telah mengumumkan rangsangan monetari dengan menawarkan pelonggaran kuantitatif tanpa had bagi memastikan jumlah kredit kekal mencukupi dalam sistem kewangan negara itu.

Pemberhentian Pekerja Kini Bermula

Usaha pembendungan penularan virus Covid-19 menyebabkan perubahan yang benar-benar drastik dalam masa seminggu. Syarikat-syarikat memberhentikan pekerja seterusnya mereka yang terkesan membanjiri pejabat buruh bagi mendapatkan faedah pengangguran.

Walaubagaimanapun, terdapat laporan bahawa ramai daripada mereka tidak berjaya mendapatkan faedah tersebut kerana jumlah permintaan yang tinggi dalam satu masa.

Harus diingat, jumlah sebenar yang kehilangan pekerjaan mungkin lebih tinggi kerana tidak semua orang dapat memohon faedah pengangguran. Ada yang tidak berkelayakan dan gagal menembusi capaian laman web Jabatan Buruh untuk memohon faedah tersebut.

Kadar pengangguran semasa di Amerika Syarikat adalah 3.5% sebelum penularan Covid-19. Ia adalah kadar terendah yang pernah dicapai sejak 50 tahun yang lalu, menunjukkan pasaran buruh negara Uncle Sam ini berada di paras terbaik dalam sejarah.

Jika mengambil kira jumlah tuntutan pengangguran yang dicatatkan pada minggu lalu, ia adalah tambahan 2% kepada kadar pengangguran semasa.

Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang banyak bergantung kepada perbelanjaan pengguna dengan kebergantungan yang tinggi terhadap sektor perkhidmatan sebanyak 70%. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah berada dalam keadaan optimum dengan kadar pengangguran tidak melebihi 5%.

Pengangguran Bakal Cecah Jumlah Tertinggi Dalam Sejarah

Pemberhentian pekerja dijangka akan terus meningkat dengan keadaan ekonomi Amerika Syarikat yang semakin merosot. Pendapatan perniagaan seperti restoran, hotel, pawagam, gymnasium dan syarikat penerbangan jatuh dengan mendadak. Jualan kereta turut merudum dan kilang-kilang pembuat kereta telah ditutup.

Kebanyakan daripada majikan berhadapan dengan kekangan untuk membayar pinjaman mereka dan terpaksa mengurangkan pekerja bagi tujuan penjimatan.

Dengan peningkatan jumlah pengangguran, ada penganalisa ekonomi berkata kadar pengangguran berkemungkinan mencapai paras 13% menjelang bulan Mei. Secara perbandingan, kadar pengangguran paling tinggi pernah direkodkan di Amerika Syarikat semasa ‘Great Recession’ tahun 2008 adalah 10%.

“Apa yang dilihat mustahil dua minggu lalu kini menjadi realiti,” demikian kata Nancy Vanden Houten, penganalisa ekonomi di Oxford Economics. “Ekonomi Amerika Syarikat akan berhadapan dengan kemelesetan besar ekonomi dengan peningkatan kadar pengangguran paling tinggi pernah dicatatkan.”

Mark Zandi, ketua penganalisa ekonomi di Moody’s Analytics menganggarkan penularan koronavirus bakal menyebabkan 7.5 juta pekerja kehilangan pekerjaan. Kebanyakannya akan berlaku pada suku kedua tahun 2020 di mana kadar pengangguran semasa 3.5% melonjak ke paras 10%.

Pengerusi Federal Reserve cawangan St. Louis, James Bullard berkata pihaknya menganggarkan kadar pengangguran akan mencapai 30%.

Dengan jumlah pekerja diberhentikan semakin meningkat, faedah pengangguran untuk jutaan rakyat Amerika Syarikat telah diambil kira dan termasuk dalam pakej rangsangan yang dicadangkan oleh Presiden Trump.

Setiausaha perbendaharaan, Steven Mnuchin mendakwa data yang dikeluarkan pada Khamis adalah tidak relevan kerana pihak Kongres Amerika Syarikat semakin hampir untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi yang bakal memanfaatkan semua pihak di negara itu.

Pakej ini bakal memberikan bayaran upah penuh selama empat bulan berturut-turut kepada penganggur dan pembayaran ‘one-off’ US$1,200 kepada orang dewasa di Amerika Syarikat. Pakej ini juga termasuk ratusan billion Dolar AS dalam bentuk pinjaman kepada perniagaan, hospital, dan kerajaan-kerajaan tempatan.

Persoalannya sekarang, bagaimana aktiviti ekonomi akan terus berjalan jika orang ramai bimbang untuk melakukan aktiviti di luar rumah?

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA