5 Perkara yang Anda Boleh Lakukan Ketika #StayAtHome

Pada 25 Mac yang lepas, seluruh negara dikejutkan dengan pengumuman lanjutan kepada perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 14 April, menjadikan tempoh PKP menjadi 28 hari secara keseluruhan. Hal yang demikian adalah kerana trend kes positif COVID-19 baru tidak menunjukkan tanda ia semakin berkurang, malahan semakin naik.

Namun, dengan sambungan tempoh PKP ini, dianggarkan bahawa kita akan berjaya meratakan curve kes positif baru dan memudahkan staf kesihatan melakukan kerja untuk mengawal COVID-19 dari merebak secara tidak terkawal. Menteri Kanan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan dalam sebuah keratan akhbar bahawa tahap pematuhan kepada PKP telah meningkat kepada 97%, iaitu paras yang sangat cemerlang.

Dalam mematuhi PKP, rakyat disarankan untuk duduk diam-diam di rumah dan hanya ketua keluarga dibenarkan keluar atas alasan yang munasabah, seperti membeli barang keperluan rumah. Kebanyakan syarikat juga telah mengeluarkan notis menyuruh pekerja agar bekerja dari rumah, terutamanya yang tidak memerlukan pekerja tersebut berada di pejabat.

Berikutan PKP ini, ramailah warga maya yang berkongsi aktiviti yang dilakukan di rumah seperti menonton Netflix, bermain permainan video, dan tak kurang juga berkongsi resipi masakan terbaru. Kalau anda rajin mengunjungi Facebook, Instagram, dan Twitter, anda juga akan mendapati bahawa kopi Dalgona sedang tular sekarang.

Penulis juga teringin nak berkongsi beberapa idea yang boleh dilakukan oleh anda dalam menangani kebosanan duduk di rumah. Penulis bukan jenis yang suka berjalan sangat pun, tapi siapa yang tak rimas kalau 28 hari duduk kat rumah saja kan?

1. Menyusun Semula Kewangan

Ini kan laman web tentang pelaburan, perkara pertama mestilah kena sebut tentang kewangan kan? Kalau anda peka dengan isu semasa, anda mesti tahu beberapa inisiatif bernilai RM250 bilion yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini susulan daripada moratorium ke atas pinjaman yang diumumkan sebelumnya. Penulis rumuskan beberapa butiran yang mungkin relevan kepada anda di bawah:

  • Dana khas oleh insurans dan takaful berupa RM8 juta untuk kos penyaringan yang diarahkan
  • Penangguhan bayaran premium insurans dan takaful selama 3 bulan bagi yang terjejas
  • Elaun khas doktor, jururawat, dan kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dinaikkan ke RM600
  • Elaun khas RM200 sebulan kepada tentera, polis, kastam, imigresen, pertahanan awam, RELA
  • Bantuan tunai bernilai RM10 bilion kepada semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah melalui Bantuan Prihatin Nasional
  • Baki pemberian tunai skin Bantuan Sara Hidup bernilai RM3.2 bilion
  • Bantuan sebanyak RM200 seorang kepada pelajar pengajian tinggi
  • Peruntukan 25 juta untuk warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, OKU, gelandangan, dan orang asal
  • Penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan, bernilai RM750 juta
  • Penangguhan bayaran balik peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran selama 6 bulan, bernilai RM149.2 juta
  • Penggantian pendapatan RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai PUI atau dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 menerusi skim mySalam
  • Pengeluaran dari akaun B skim persaraan swasta sehingga RM1,500 tanpa penalti cukai sehingga Disember 2020
  • Pengecualian bayaran sewa PPR dan Perumahan Awam DBKL selama 6 bulan, bernilai RM3 juta
  • Diskaun kepada bil elektrik sektor pelancongan, komersial, industri, pertanian, isi rumah selama 6 bulan
  • Internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta sehingga tamat PKP
  • Tunai RM500 kepada 1.5 juta penjawat awam gred 56 kebawah termasuk kontrak
  • Tunai RM500 kepada lebih 850,000 pesara kerajaan
  • Subsidi upah RM600 sebulan untuk tempoh 3 bulan kepada pekerja bergaji RM4,000 kebawah dan majikan yang menerima penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari
  • Tunai RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing
  • Tunai RM600 kepada pemandu teksi
  • Kerajaan menanggung bayaran gaji kepada pekerja kontrak perkhidmatan di sekolah, IPTA, institusi latihan awam dan agensi lain kerajaan dan badan berkanun sepanjang PKP

Sekiranya anda dalam golongan yang terjejas pendapatan akibat COVID-19, anda kenalah rancang semula pendapatan dan perbelanjaan anda segera. Untuk panduan, anda boleh rujuk Tips Mengurus Kewangan Dalam Jangkamasa Pendek Semasa Krisis Covid-19.

2. Belajar Kemahiran Baru

Bagi yang tidak dapat bekerja disebabkan PKP, anda disarankan agar belajar kemahiran baru secara online, contohnya dengan mengambil kelas, membaca, ataupun menonton Youtube. Dengan kemahiran baru, mungkin anda boleh mencari pendapatan sampingan atau sekadar meluangkan masa dengan perkara yang berfaedah.

Contohnya:

  • Memasak
  • Bertukang
  • Menulis
  • Belajar kemahiran teknikal seperti statistik
  • Belajar menggunakan perisian seperti Excel
  • Belajar ilmu trading saham
  • Belajar ilmu online marketing
  • Belajar programming – buat apps
  • Menambah ilmu keagamaan dengan kuliah online

3. Meluangkan Masa Dengan Keluarga

Ini juga adalah peluang yang terbaik untuk meluangkan masa dengan keluarga. Bagi yang bekerja di rumah, tak semestinya 24 jam hanya dihabiskan menghadap komputer.

Masa rehat boleh digunakan untuk bermesra dengan pasangan dan anak-anak. Selain itu, kita juga sudah tidak perlu memandu atau ambil kenderaan awam ke tempat kerja, jadi masa yang dijimatkan itu sepatutnya boleh digunakan untuk bersama ahli keluarga.

4. Bersenam Secara Konsisten

Jangan jadikan PKP sebagai alasan untuk tidak bersenam. Pertama, PKP akan menyebabkan anda makan lebih banyak kerana perjalanan anda ke dapur akan menjadi lebih kerap. Ini fakta yang tidak boleh disangkal.

Kedua, yang bekerja di rumah akan lebih kurang bergerak. Kalau bergerak pun, ke dapur sahaja. Tak layak dikira sebagai bergerak pun.

Jangan terkejut kalau berat badan kita makin bertambah selepas berakhirnya PKP. Kalau nak elakkan perkara ini dari berlaku, jangan abaikan senaman.

Kalau ada mesin treadmill, lagi bagus. Kalau tak, anda boleh ambil tips dari artikel-artikel online atau pun tonton video YouTube.

Kalau taknak bersenam, boleh ikuti tips nombor 5 di bawah kerana boleh juga membantu mengawal berat badan.

5. Membuat Kerja Rumah

Kepada para suami atau anak-anak yang tak banyak menghabiskan masa di rumah akibat bekerja dan belajar bolehlah membantu isteri atau ibu di rumah membuat kerja rumah. Ingat, menguruskan rumah bukan tanggungjawab isteri dan ibu semata-mata.

Bantulah cuci bilik air, mop lantai, vacuum seluruh rumah, cuci tingkap, buang sampah, memasak, beli barang keperluan, mandikan kucing, dan sebagainya. Semoga menjadi tabiat yang diteruskan sampai bila-bila. InsyaAllah akan dapat mendidik kita jadi suami dan anak yang lebih baik, di samping menjadi senaman yang membantu mengawal berat badan.

6. Bonus: Perbanyakkan Ibadah

Mungkin ada hikmahnya semua ini berlaku. Sepatutnya, kita mengambil iktibar sebanyaknya dan memohon perlindungan dari Tuhan untuk mengelakkan bencana ke atas diri dan keluarga kita.

Dengan lebihan masa yang ada akibat duduk di rumah saja, kita boleh juga ambil peluang untuk meningkatkan amalan ibadah kita seperti solat sunat, membaca Al-Quran, dan menderma.

Lagipun bulan Ramadan sudah dekat.

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari