3 Langkah Untuk Buat Simpanan Kecemasan

Sesuatu musibah boleh datang tanpa dijangka atau diduga. Apa yang penting, kita perlu sentiasa beringat dan bersedia untuk menghadapinya.

Tetapi sentiasa ingat bahawa Allah yang akan selamatkan kita. Bukan bergantung pada makhluk semata-mata. Duit itu juga makhluk.

Baguslah jika ada perancangan.

Sudahkah kita mempunyai simpanan untuk digunakan ketika berlakunya kecemasan?

Jom kita lihat langkah-langkah ini untuk menyediakan simpanan kecemasan.

1. Tetapkan Matlamat

Pertama sekali, kita lihat kepada kestabilan pendapatan terlebih dahulu. Jika anda mempunyai pendapatan yang tetap setiap bulan, mulakan simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 3 bulan dari gaji anda.

Jika anda seorang yang berpendapatan tidak tetap seperti seorang ejen hartanah atau unit trust, ada bulan komisen tinggi ada bulan komisen rendah – maka mulakan menyimpan sehingga ada 6 bulan purata komisen anda.

Apa jua sektor pekerjaan anda, pastikan ada simpanan kecemasan minima sebanyak ini sebagai persediaan.

Boleh juga mencarum Takaful yang ada Kad Perubatan (medical card) bagi membolehkan kita mendapat rawatan sekiranya terpaksa dimasukkan ke hospital. Juga ada pelan Perlindungan Pendapatan (income protection) yang boleh menggantikan gaji bulanan sekiranya berlaku kemalangan sehingga kita tidak lagi mampu bekerja bagi menyara kehidupan.

2. Simpan Secara Berperingkat

Tidak semestinya apabila kita membuat simpanan kecemasan ini, kita perlu terus membuat simpanan sekali banyak. Kalau sebelum ini memang tak pernah buat simpanan, maka kita perlu bentuk dulu tabiat menyimpan.

Mungkin boleh mula dengan RM50 sebulan, kemudian tingkatkannya kepada RM100, RM200, RM300 dan seterusnya. Ada juga yang menyarankan agar kita menyimpan sebanyak 10% daripada gaji bulanan.

Tapi apa yang lebih penting, adalah kita mulakan secepat mungkin.

3. Simpan Di Tempat Yang Betul

Bila dah ada matlamat berapa jumlah yang ingin disimpan dalam tabung kecemasan, pastikan kita menyimpan di tempat yang betul. Boleh buat akaun bank yang menggunakan buku tanpa sebarang kad ATM.

Ini bagi memastikan kita terguna simpanan kecemasan tersebut. Maklumlah, nak keluarkan duit bukannya mudah. Terpaksa pergi ke bank, beratur ambil nombor dan agak melecehkan.

Ada juga yang menggelarkannya tabung bunian, kita boleh buat-buat lupa akan kewujudan akaun simpanan tersebut. Melainkan bila betul-betul terdesak, barulah boleh keluarkannya.

“Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”

Memang susah nak mula menyimpan, tetapi bila dah pupuk tabiat yang sihat ini – kita pula yang rasa hidup tak lengkap jika tak melakukannya.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.