5 Perkara Yang Boleh Dibuat Untuk Memudahkan Urusan Pasangan Atau Waris

Setiap manusia akan melalui proses kematian, sama ada lambat atau cepat. Apabila kita meninggal dunia, kita akan meninggalkan waris iaitu pasangan suami atau isteri dan anak-anak.

Oleh itu, amatlah penting untuk kita membuat persediaan. Lebih-lebih lagi bagi seorang suami, kerana setiap orang pasti menginginkan waris kita hidup selesa dan teratur walaupun selepas ketiadaan ketua keluarga.

Berikut adalah 5 perkara yang boleh dibuat sebagai persediaan:

1. Khairat Kematian

Ramai di kalangan kita yang mengambil mudah perkara ini. Apabila seseorang meninggal dunia, terdapat kos pengurusan yang perlu disediakan seperti menggali kubur, papan liang lahad, batu nisan, mandi jenazah, perkhidmatan van jenazah, dan kelengkapan peralatan jenazah bagi tujuan kafan.

Disebabkan itu, kita digalakkan untuk mengambil khairat kematian.

Khairat Kematian ditubuhkan bagi memberi bantuan kewangan kepada waris ahli- ahli atau tanggungan ahli apabila berlaku kematian dan membantu mengelolakan pengurusan jenazah serta hal-hal yang berkaitan mulai dari mandian, kafan, solat jenazah sehinggalah pengkebumian secara teratur dan berkesan.

Kita boleh bertanyakan berkenaan khairat kematian kepada surau atau masjid berhampiran tempat tinggal kita. Hukum berkhairat adalah Fardhu Kifayah.

2. Senaraikan Aset

Buat satu senarai aset sama ada akaun simpanan, akaun pelaburan, dan hartanah. Pastikan pasangan kita tahu berapa jenis akaun simpanan yang kita ada, duit dilaburkan ke mana, atau pun jika ada mengambil sebarang manfaat takaful.

Ini untuk memudahkan pasangan kita membuat proses tuntutan aset apabila kita sudah meninggal dunia.

3. Senaraikan Hutang

Bukan sahaja aset, hutang juga perlu diambil perhatian. Senaraikan semua hutang sama ada hutang dengan bank atau hutang dengan manusia. Ini untuk memudahkan pasangan membuat bayaran balik hutang apabila kita sudah meninggal dunia.

Surah al-Baqarah ayat 282 dengan jelas menyatakan sebarang transaksi muamalat yang tidak menggunakan tunai, perlu dicatat dengan terperinci. Ini menunjukkan betapa pentingnya hutang tersebut dibayar.

4. Takaful

Terdapat pelbagai jenis produk takaful yang ditawarkan di pasaran. Jika berkemampuan, carumlah takaful supaya waris akan mendapat pampasan apabila kita sudah meninggal dunia kelak. Terutamanya kepada mereka mempunyai anak kecil atau isteri yang tidak bekerja.

Sekurang-kurangnya waris dapat menggunakan pampasan tersebut untuk meneruskan kelangsungan hidup, sementara mendapatkan pekerjaan tetap atau boleh menggunakan pampasan tersebut sebagai modal perniagaan.

5. Wasiat

Aset dan hutang telah disenaraikan, tetapi jika dibuat secara sistematik adalah lebih baik. Jika kita ada bajet, kita boleh buat penulisan wasiat.

Wasiat adalah di mana kita melantik seorang wasi (pentadbir) untuk mengurus aset dan hutang kita apabila kita meninggal dunia kelak.

Amanah Raya Berhad dan As-Salihin Trustee Berhad adalah contoh wasi yang boleh dilantik untuk penulisan wasiat.

Kesimpulannya, mengurus dan merancang harta adalah sangat digalakkan dalam Islam supaya waris yang ditinggalkan dapat meneruskan kelangsungan hidup walaupun ketua keluarga telah meninggal dunia.

Mudahkanlah mereka dalam membuat apa-apa proses tuntutan supaya ia tidak mengambil masa yang panjang.

Sekian, semoga bermanfaat dan dipermudahkan segala urusan.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Caruman KWSP Pekerja Asing Pencetus Perubahan Kekalkan Tenaga Kerja, Ambil Ramai Bakat Tempatan

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dalam jangka panjang berikutan majikan akan lebih cenderung untuk menggaji lebih ramai bakat tempatan apabila kos meningkat.

Walaupun kos operasi akan menjadi lebih tinggi, ia memberikan manfaat untuk memupuk amalan perniagaan mampan dalam kalangan industri tempatan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata industri seperti pembuatan, pembinaan dan perladangan yang banyak bergantung kepada pekerja asing, dijangka meneroka alternatif seperti automasi dan memberikan lebih banyak tumpuan kepada bakat tempatan.

“Kos tambahan ini akan memberi kesan kepada daya saing (dan) sebahagian perniagaan akan melepaskan kos ini kepada pengguna. Jika tidak, mereka akan menghadapi margin keuntungan yang lebih terhad dalam keadaan margin yang sedia kecil,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan kadar caruman KWSP oleh kerajaan adalah peluang untuk majikan menggaji lebih banyak bakat tempatan memandangkan kos membayar gaji pekerja asing yang semakin meningkat.

Sektor swasta menyambut baik kadar caruman KWSP sebanyak dua peratus oleh majikan dan pekerja asing bermula Mac tahun ini memandangkan ia antara lain akan menambah baik pengekalan pekerja dan meningkatkan kesetiaan.

Pengarah Eksekutif Sorento Capital Jayden Loo Jing Kai berkata peraturan ini akan menawarkan simpanan jangka panjang dan keselamatan kewangan, sama seperti majikan tempatan dan akan menyumbang kepada simpanan dan keselamatan kewangan bagi jangka panjang.

“Ini boleh membawa kepada kepuasan kerja yang lebih tinggi dan kadar perolehan yang lebih rendah, mengurangkan kos pengambilan dan latihan bagi majikan.

“Bagaimanapun, impak terhadap produktiviti akan bergantung kepada pelbagai faktor termasuk keadaan kerja, gaji dan strategi penglibatan pekerja secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata walaupun caruman ini merupakan langkah positif, insentif lain dan penambahbaikan di tempat kerja masih diperlukan untuk memacu peningkatan produktiviti yang ketara.

Sorento menawarkan penyelesaian bilik mandi dan dapur di Malaysia dan peralatan kebersihan rekaan Itali untuk kegunaan rumah dan komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Bhd (FGV) Fakhrunniam Othman berkata sumbangan dua peratus adalah tanggungjawab majikan untuk meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja di samping memastikan layanan yang adil dan beretika kepada semua pekerja sama ada pekerja tempatan mahupun migran.

Beliau berkata walaupun langkah ini akan meningkatkan kos operasi, FGV yang menggaji sejumlah besar pekerja asing terutamanya dalam sektor perladangan komited untuk mematuhi peraturan kerajaan dan akan mengambil langkah proaktif untuk memastikan peralihan yang lancar.

“Kami melihatnya sebagai antara komitmen meluas untuk memupuk amalan perniagaan yang mampan, memperkukuh dedikasi kami terhadap daya tahan industri jangka panjang,” katanya.

Penganalisis berkata pendekatan Malaysia adalah seiring dengan beberapa negara yang mempunyai sistem pencen wajib dan skim simpanan wajib bagi menyokong simpanan persaraan pekerja asing seperti Kanada, Jepun, Singapura dan Hong Kong.

Syed Hussain pula berkata majikan perlu mengemas kini sistem senarai gaji dan memastikan pematuhan terhadap peraturan KWSP, yang mungkin menambah situasi yang kompleks dalam pentadbiran terutamanya bagi syarikat yang menggaji sejumlah besar pekerja asing.

Beliau berkata isu pekerja tempatan yang enggan berkhidmat dalam pekerjaan tertentu perlu diselesaikan segera bagi menangani kekurangan tenaga buruh.

Beliau mencadangkan agar majikan menambah baik dan menyediakan program latihan untuk pekerja tempatan dalam industri yang banyak bergantung kepada buruh asing dan dalam proses meningkatkan kebolehpasaran mereka.

— BERNAMA