Agensi Wakaf Ke Arah Kelestarian Kewangan Di Malaysia

Berdasarkan undang-undang di Malaysia, bidang kuasa pentadbiran wakaf adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual 9, Senarai II: Senarai Negeri (Perlembagaan Persekutuan, 1963).

Setiap negeri menerusi Enakmen/Ordinan Agama Islam masing-masing telah menetapkan bahawa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) merupakan pemegang amanah tunggal bagi harta wakaf di negeri tersebut.

Namun begitu, peranan wakaf dilihat sukar mencapai tahap kelestarian terutamanya dalam aspek menjana manfaat. Masyarakat amat menaruh kepercayaan kepada institusi wakaf untuk menggembleng hartanah wakaf sedia ada yang berjumlah 11,091.82 hektar yang direkod pada tahun 2015. 

Antara kekangan yang telah dikenal pasti adalah kekangan dari segi operasi, kekangan sumber manusia dan paling utama adalah kekangan dari segi kewangan yang diperlukan untuk melaksanakan fungsi wakaf dengan baik dalam tempoh jangka masa panjang.

Oleh itu, bagi mengurus harta wakaf dengan lebih cekap, maka beberapa Majlis Agama Islam Negeri telah mewujudkan agensi wakaf  bagi membantu urus tadbir harta wakaf untuk jangka panjang.

Agensi wakaf merujuk kepada organisasi sama ada dalam bentuk perbadanan, syarikat atau koperasi yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengurus dan membangunkan harta wakaf. Agensi wakaf ini  merupakan hak milik penuh MAIN dan mempunyai punca undang-undang yang sah untuk mengurus dan membangunkan wakaf.

Negeri Sarawak merupakan negeri yang pertama mempunyai agensi wakafnya sendiri iaitu Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang ditubuhkan pada tahun 1984. Walau bagaimanapun, peranan Wakaf hanya dapat dilaksanakan setelah mendapat punca kuasa pelantikan sebagai pemegang amanah wakaf daripada Majlis Islam Sarawak (MIS) pada tahun 2001.

Seterusnya Negeri Sembilan menubuhkan agensi wakaf dengan nama Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS) pada tahun 2005.

Wakaf Korporat AnNur Berhad, di Johor  juga adalah antara agensi wakaf korporat yang berjaya bermula sejak tahun 2000 dan menggunakan nama baharu ini pada 2009.

Negeri Selangor juga menubuhkan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) pada tahun 2011. Seterusnya negeri lain yang menubuhkan agensi wakaf adalah Negeri Perak dengan nama Wakaf Ar-Ridzuan pada tahun 2016 dan diikuti oleh Wilayah Persekutuan dengan nama Pusat Wakaf  Wilayah Persekutuan juga pada tahun 2016.

Penubuhan agensi ini menunjukkan komitmen MAIN selaku pemegang amanah wakaf untuk melaksanakan pengurusan wakaf dengan lebih baik dengan penubuhan agensi wakaf secara korporat. 

Perubahan pentadbiran wakaf daripada Jabatan Kerajaan kepada agensi wakaf berbentuk korporat ini sebenar telah dilaksanakan di beberapa buah negara luar. Sebagai contoh negara Kuwait telah mengkorporatkan institusi wakafnya pada tahun 1993.

Manakala negara Qatar telah mengkorporatkan institusi wakaf pada tahun 1996. Singapura telah mengkorporatkan Bahagian Hartanah, Majlis Ugama Islam Singapura kepada Warees Investment Pte Ltd (Warees) pada tahun 2002, diikuti Jordan pada tahun 2003, Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2004 dan yang Arab Saudi pada tahun 2016.

Justeru itu, penubuhan agensi wakaf oleh beberapa negara Arab juga menunjukkan keperluan untuk mewujudkan agensi wakaf yang ditadbir secara korporat di negara tersebut untuk membantu perkembangan wakaf yang lebih positif.

Peranan Agensi Wakaf

Agensi wakaf berperanan membantu pihak MAIN menguruskan harta wakaf dengan lebih efisien dan profesional. Walaupun MAIN merupakan pemegang amanah tunggal hartanah wakaf, namun pengurusan hartanah memerlukan mereka yang pakar dan berpengetahuan dalam pengurusan terutamanya berkaitan pembangunan hartanah yang merupakan core business bagi pengurusan wakaf.

Sebagai contoh, peranan agensi wakaf seperti TBS di Sarawak adalah untuk membangunkan serta meneroka peluang dan potensi hartanah wakaf di Sarawak. Manakala peranan PWS adalah menguruskan harta wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan baik seperti mengkaji, merancang, membangun serta menyelenggarakan aset wakaf.

Peranan PWNS pula adalah untuk menjalankan pengurusan wakaf dan perkara-perkara yang berkaitan dengan wakaf secara profesional dan teratur. Peranan yang hampir sama ini menunjukkan bahawa ketiga-ketiga agensi diperlukan oleh MAIN untuk membangunkan dan menguruskan harta wakaf dengan lebih cekap dan profesional.

Selain daripada peranan tersebut di atas, kesemua agensi wakaf ini juga berperanan untuk memungut wakaf tunai yang telah dibenarkan dilaksanakan di Malaysia selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-77 pada tahun 2007 (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2009). Wakaf tunai ini dapat membantu agensi wakaf membina dan memperolehi dana untuk membangunkan dan mengembangkan aset wakaf oleh pihak MAIN.

Secara amnya, penubuhan agensi wakaf ini dilihat lebih fleksibel berbanding dengan pentadbiran secara terus oleh MAIN yang mempunyai kekangan terdahulu dalam melaksanakan peranan wakaf.

Peranan Agensi Wakaf Dalam Konteks Kelestarian Kewangan

Agensi wakaf ini sangat diperlukan bagi melestarikan kewangan wakaf bagi jangka panjang dan boleh  ditambahbaik dengan merujuk model kelestarian dalam Jadual 1. Menurut John Elkington yang menulis teori ini pada 2001, kelestarian dipacu oleh 3 faktor utama iaitu planet, manusia dan keuntungan (Planet, People, Profit).

Ketiga-tiga faktor ini saling berkaitan antara satu sama lain bagi menyokong kelestarian. Berdasarkan teori ini, tanah wakaf (planet) haruslah dibangunkan, diusahakan dan diselenggarakan dengan baik agar masyarakat (people) dapat menggunakannya seterusnya untuk menjana pendapatan dan keuntungan (profit).

Hartanah yang tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan ianya terbiar dan tidak menjana manfaat. Ini menunjukkan hubungan antara ketiga-tiga faktor ini, iaitu planet dan people menyokong kepada kelestarian keuntungan atau manfaat (profit). Oleh yang demikian, cadangan model untuk kelestarian kewangan wakaf berikut (Jadual 1) telah dirangka dengan mengikut idea John Elkington (2001) sebagai asas panduan untuk mengklasifikasikan sejauh mana peranan agensi wakaf dapat membantu melestarikan kewangan.

Jadual 1: Cadangan Model Kelestarian Kewangan Wakaf

(diubahsuai daripada Model Elkington, 2001)

A. Faktor Planet

Planet dalam konteks wakaf merujuk kepada harta wakaf yang diamanahkan oleh pewakaf kepada MAIN. Tanah wakaf telah wujud dan sentiasa lestari kerana aset wakaf ini bersifat kekal, tidak boleh dijual, dipindah milik atau diwarisi sebagaimana yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.

Sekiranya harta wakaf ini diuruskan dengan teratur seperti di selenggara dan dibangunkan, maka harta wakaf tersebut dapat memberi manfaat yang maksimum kepada masyarakat. Umum mengetahui, terdapat banyak tanah-tanah wakaf yang tidak diuruskan dengan baik menyebabkan ianya menjadi terbiar dan tidak boleh digunakan.

Terdapat kira-kira 88% daripada keseluruhan tanah wakaf yang belum lagi  dibangunkan secara efisien di Malaysia. Jumlah tanah wakaf yang terletak berjauhan antara satu sama lain juga menyebabkan, tanah wakaf ini sukar dipantau agar ianya tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. Sekiranya dioptimumkan, hartanah wakaf ini dapat memberi pulangan manfaat yang besar kepada masyarakat.

Peranan agensi wakaf ini yang dianggotai oleh pakar-pakar yang diperlukan dapat memberikan idea terbaik untuk pembangunan aset wakaf.

i. Pembangunan Hartanah

Aktiviti pembangunan hartanah merangkumi aktiviti merancang dan membangunkan hartanah wakaf. Dengan penubuhan agensi wakaf, pelan perancangan wakaf dapat diaturkan dengan lebih baik. PWS misalnya telah mengklasifikasikan kategori tanah wakaf mengikut gred bagi menentukan kesesuaian tanah yang boleh dibangunkan ataupun tanah yang sukar dibangunkan.

Terdapat pelbagai projek dan pembangunan telah dirancang di atas tanah wakaf seperti projek perumahan, projek komersil dan projek sosial yang memberi impak kepada masyarakat di samping menambah pulangan kewangan ke atas aset. Tanah-tanah yang terletak berjauhan dan sukar dibangunkan akan diistibdalkan untuk memudahkan urusan pengurusan dan pembangunan.

Manakala TBS pula telah membangunkan beberapa projek secara bersepadu yang dapat memberi impak pada masa ini dan juga untuk jangka masa panjang. Dengan adanya agensi wakaf,  pembangunan tanah wakaf dapat diuruskan dengan lebih baik dan profesional.

Kos bagi pembangunan hartanah memakan nilai yang cukup besar. Oleh itu, keputusan pembangunan hartanah adalah satu keputusan yang strategik dan memerlukan perancangan yang tepat. Oleh itu, peranan agensi wakaf yang mempunyai tenaga pakar dan profesional dapat membantu pembangunan hartanah ini.

ii. Pengurusan dan Penyelenggaraan

Pengurusan dan penyelenggaraan hartanah adalah penting untuk kelestarian kewangan wakaf. Pengurusan dan penyelenggaraan hartanah meliputi segala aspek operasi, penyenggaraan serta menjaga keselamatan aset daripada kerosakan, pencerobohan atau salah guna.

Sekiranya kesemua elemen ini jika tidak diuruskan dengan baik, harta wakaf tadi berkemungkinan akan rosak atau terbiar menyebabkan ianya tidak dapat digunakan.

Dengan adanya agensi wakaf yang ditubuhkan sama ada dalam bentuk perbadanan, syarikat ataupun koperasi. Operasi pengurusan hartanah-hartanah wakaf dapat dilaksanakan dengan lebih baik kerana agensi wakaf boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti menjana manfaat dan pendapatan.

Pelbagai aktiviti di atas tanah wakaf boleh diaturkan oleh agensi tersebut untuk memaksimumkan manfaat seperti pengurusan sewaan, aktiviti perniagaan dan juga pertanian. Dengan adanya hasil manfaat yang lebih baik, maka agensi wakaf akan mempunyai dana yang lebih tinggi untuk membiayai kos pengurusan hartanah wakaf di samping memberikan manfaat yang lebih baik kepada penerima manfaat.

B. Faktor Manusia

Manusia merupakan peranan terpenting daripada kedua-dua faktor lain. Manusia yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini bertindak menyusun dan menguruskan semua faktor untuk mencapai matlamat.

Peranan manusia dalam kajian ini dibahagi kepada tiga kumpulan iaitu kakitangan agensi wakaf, masyarakat dan pemegang amanah.

i. Kakitangan

Dengan adanya agensi wakaf juga, pengambilan kakitangan profesional dan pakar  lebih mudah diuruskan kerana ianya hanya melalui prosedur dalaman sahaja berdasarkan kepada keperluan dan keupayaan kewangan oleh agensi tersebut. Kakitangan seperti jurutera, juru nilai hartanah dan profesional lain amat diperlukan oleh agensi wakaf.

PWS misalnya mempunyai juruteranya sendiri untuk membantu kerja-kerja pembangunan dan juga penyelenggaraan aset-aset wakaf. Begitu juga dengan TBS yang mempunyai jurutera di bawah anak syarikatnya yang dapat memberi nasihat teknikal untuk pembangunan dan penyelenggaraan wakaf. Dengan adanya kepakaran ini, maka urusan untuk pembangunan dan pengurusan hartanah akan menjadi lebih mudah.

Agensi wakaf boleh mengaturkan struktur kakitangan mengikut kesesuaian dan keperluan agensi dari peringkat atasan hinggalah ke peringkat bawahan. Ini merupakan satu kelebihan bagi membolehkan agensi wakaf itu bergerak pantas bagi meningkatkan pengurusan hartanah wakaf. 

ii. Masyarakat

Dengan adanya masyarakat yang prihatin, mereka menyumbangkan wakaf dalam berbagai bentuk kerana keikhlasan mereka untuk membantu agama dan masyarakat. penglibatan masyarakat dilihat suatu tindakan yang baik bagi membawa masyarakat turut sama-sama bertanggungjawab terhadap pengurusan harta wakaf. Masyarakat yang telah dididik dengan sifat pemurah, akan sentiasa membantu untuk meningkatkan peranan wakaf.

Melalui agensi wakaf yang ditubuhkan, pelbagai program promosi dan kesedaran telah dilaksanakan oleh agensi wakaf bagi menggalakkan orang ramai berwakaf. Antara program yang telah dibuat oleh agensi wakaf adalah seperti karnival wakaf, program bantuan wakaf dan program kesedaran melalui khutbah Jumaat.

Di samping itu, program kerjasama pintar dengan pelbagai pihak boleh menggalakkan masyarakat berwakaf dan bertanggungjawab kepada wakaf. Kerjasama pintar yang dibuat seperti dengan pihak institusi perbankan, institusi pendidikan dan sebagainya mampu membudayakan amalan berwakaf di kalangan masyarakat.

Kerjasama antara PWS dengan Bank Muamalat adalah satu contoh jaringan kerjasama yang berjaya untuk membantu melestarikan kewangan wakaf. Ini menunjukkan dengan wujudnya agensi wakaf, penyertaan masyarakat untuk membantu melestarikan kewangan wakaf dapat ditingkatkan.

iii. Pemegang Kepentingan

MAIN masih merupakan pemegang kepentingan kepada agensi wakaf ini. Walau bagaimanapun, kebanyakan agensi wakaf ini turut mengambil tenaga pakar luar yang berpengalaman untuk menganggotai lembaga pemegang amanah.

Di samping itu, terdapat juga agensi wakaf yang turut mewujudkan jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh beberapa orang pakar luar mengikut bidang jawatankuasa yang ditubuhkan seperti jawatankuasa pembangunan hartanah. PWS sebagai contoh, turut menjemput beberapa orang pakar daripada universiti tempatan untuk memberi idea pembangunan aset wakaf.

Begitu juga dengan TBS yang mendapat idea hasil kerjasama dengan beberapa pihak seperti pakar-pakar hartanah untuk membangunkan wakaf. Dengan buah fikiran yang ada, mereka ini dapat menyumbang idea untuk pengurusan wakaf yang lebih baik.

Pemegang kepentingan juga bertindak untuk menjaga dari segi integriti dan kebertanggungjawaban agensi wakaf. Mereka perlu memastikan bahawa harta wakaf diuruskan dengan cara terbaik dan tidak berlaku salah guna kepada harta wakaf tersebut. Pelaporan berkala boleh dibuat untuk meyakinkan masyarakat tentang tadbir urus agensi wakaf.

C. Faktor Keuntungan/ Manfaat

Terdapat dua bentuk manfaat yang disediakan oleh wakaf, pertamanya adalah manfaat dari segi penggunaan seperti penggunaan masjid dan surau, dan yang kedua adalah manfaat dalam bentuk kewangan. Kedua-dua manfaat adalah penting untuk menunaikan amanah pewakaf.

Manfaat dalam bentuk pengguna membolehkan penerimanya memperolehi manfaat daripada harta yang ditinggalkan oleh pewakaf. Sebagai contoh, seorang pelajar dapat belajar dalam bilik darjah yang kondusif di sekolah yang diwakafkan oleh pewakaf.

Manakala manfaat dalam bentuk kewangan pula boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada pihak yang layak menerima manfaat di samping boleh gunakan juga sebahagiannya untuk menampung kos pengurusan dan penyelenggaraan hartanah tersebut.

Peranan agensi wakaf adalah untuk memaksimumkan manfaat wakaf dalam berbagai bentuk. PWS sebagai contoh telah membangunkan masjid, sekolah, pusat tahfiz yang cantik dan moden untuk kegunaan masyarakat.

Ia juga telah membeli beberapa buah kedai untuk disewakan, dan hasil pulangan daripada sewaan tersebut digunakan untuk kos pembangunan dan penyelenggaraan harta wakaf yang lain serta sebahagiannya untuk kos operasi.

Begitu juga dengan model wakaf yang dilaksanakan di TBS, mereka telah membangunkan beberapa projek pembangunan bersepadu yang terdiri daripada ruang pejabat, ruang perniagaan dan ruang untuk aktiviti sosial yang boleh memberi manfaat dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan.

Rumusan

Penubuhan agensi wakaf secara korporat oleh MAIN banyak membantu untuk melengkapkan peranan MAIN sebagai pemegang amanah wakaf. Banyak projek dapat dilaksanakan oleh agensi wakaf berdasarkan keupayaan kepakaran dan kebolehan untuk melaksanakannya.

Agensi wakaf dapat membantu dari segi menjana manfaat dengan lebih baik selain mempunyai kakitangan yang sesuai untuk pembangunan dan pengurusan wakaf.  Bentuk kerjasama oleh agensi wakaf dengan berbagai pihak seperti institusi bank dan institusi pendidikan juga banyak membantu untuk  menjayakan pembangunan wakaf dan menyedarkan masyarakat.

Oleh itu, semua faktor yang membantu untuk kelestarian kewangan dapat ditingkatkan dengan penubuhan agensi wakaf ini. Sehubungan itu, penubuhan agensi wakaf adalah satu perubahan positif yang boleh dilaksanakan oleh MAIN dan sebagai inspirasi kepada negeri lain di Malaysia untuk membawa pembangunan wakaf ke arah kelestarian kewangan yang lebih cekap dan berjaya di masa hadapan.

Ditulis oleh Dr Amalina Abdullah. Beliau bertugas sebagai pensyarah kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga AJK Pendidikan Masyarakat, Malaysian Association of Muslim Finance Professionals (MFP). Berpengalaman dalam pengajaran dan penyelidikan berkaitan  perakaunan kewangan, kewangan Islam, Etika dan Tadbir Urus Korporat. Boleh hubungi beliau melalui: [email protected]

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.