Berakhirnya Hubungan UK-EU: 5 Impak Brexit Kepada Ekonomi United Kingdom

12 April akan menjadi tarikh keluar Britain dari Kesatuan Eropah (EU) dan dijangka memberi impak buruk kepada ekonomi kelima terbesar dunia itu. Senario buruk dapat dielakkan jika Perdana Menteri Theresa May dapat menyelesaikan kecelaruan Brexit di Parlimen atau meminta penangguhan keluar itu daripada pihak Brussels. Segala ketidaktentuan ketika ini akan menyukarkan negara itu.

Berikut adalah lima impak Brexit kepada ekonomi jika UK keluar dari EU tanpa mendapat sebarang perjanjian.

#1 Ekonomi UK Meleset

Bank of England (BoE) menjangkakan pasaran akan hilang keyakinan terhadap Britain. Ekonomi UK dijangka akan meleset 5% dalam masa setahun iaitu hampir dengan jumlah kemelesetan semasa krisis kewangan global.

Pengeluaran ekonomi (output) UK yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pula dijangka jatuh sebanyak 3%.

Dalam jangka panjang, Kementerian Kewangan UK meramalkan ekonomi UK akan merosot sebanyak 8% pada tahun 2035. Impaknya akan menjadi lebih besar jika migrasi penduduk jatuh secara mendadak.

BoE juga melihat risiko yang bakal dihadapi defisit akaun semasa Britain yang besar. Gabenor Mark Carney telah berkata defisit yang besar menjadikan UK begitu bergantung kepada permintaan asing.

#2 Perdagangan Terjejas

Kesatuan Eropah sudah tentu akan mengenakan halangan perdagangan kepada UK dalam bentuk cukai import. EU dijangka akan mengenakan cukai sebanyak 5% secara purata kepada import barangan dari UK dan ia dijangka lebih tinggi kepada import produk automobil. Untuk pengetahuan anda, UK mempunyai 800,000 orang pekerja dalam sektor automobil mereka dan ini sudah tentu memberi kesan buruk kepada sektor automobil dan juga pasaran pekerjaan negara itu.

Britain juga dijangka akan kehilangan faedah perjanjian dagang EU bersama negara-negara lain.

Bagi mengurangkan kesan kepada kenaikan harga domestik, UK merancang untuk mengecualikan cukai import kepada kebanyakan barangan dari luar negara. Ya benar, ia akan mengurangkan tekanan inflasi tetapi ia akan memberi risiko persaingan sengit terhadap syarikat tempatan.

Bagi mengurangkan kesan buruk kepada perdagangan, UK perlu pantas menjalin hubungan dagang bersama negara-negara lain. Perjanjian bersama negara-negara yang pesat membangun seperti Amerika Syarikat, India dan China akan menjadi pemangkin yang besar kepada ekonomi UK.

Daripada segi pergerakan barangan dan kenderaan di pelabuhan, pakar dari Institut Pengajian Tinggi di Britain berkata tambahan sebanyak 2 minit diperlukan untuk memeriksa setiap kenderaan di pelabuhan Dover dan Folkestone yang akan menyebabkan kesesakan sepanjang 47km di lebuhraya berdekatan.

#3 Tindakan Autoriti Kewangan

Menteri Kewangan Phillip Hammond telah menubuhkan jawatankuasa fiskal untuk kerajaan berbelanja lebih besar jika Brexit membawa kejutan negatif kepada ekonomi. Namun, beliau juga memberi amaran bahawa dalam jangka panjang, risiko Brexit akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan juga mengurangkan hasil cukai.

Bagi penyokong Brexit pula, keluarnya UK dari EU dijangka akan menambah sumber kewangan kerajaan kerana ia juga bermaksud berakhirnya pembayaran dana oleh UK kepada Kesatuan Eropah.

BoE telah mengingatkan pasaran supaya tidak berharap agar bank pusat itu memotong kadar faedah dengan pantas. Hal ini kerana kejatuhan dalam nilai Sterling akan meningkatkan inflasi.

#4 Kejatuhan Pound Sterling

Dengan impak yang begitu besar kepada ekonomi Britain, senario buruk Brexit akan menekan nilai mata wang Sterling yang akan menambah kejatuhannya berbanding Dolar AS. Sterling berbanding Dolar AS telah telah jatuh sebanyak 13% sejak referendum 2016. Jangkaan terkini menunjukkan Sterling berkemungkinan jatuh sehingga 25% menghampiri nilai Dolar AS jika UK keluar tanpa sebarang perjanjian dengan EU.

 #5 Pasaran Saham UK

Pound yang lemah akan meningkatkan harga saham kebanyakan syarikat besar UK seperti British American Tobacco. Majoriti syarikat dalam indeks FTSE100 mendapat keuntungan daripada perniagaan mereka di luar negara dan kejatuhan nilai mata wang itu berupaya menolak indeks saham FTSE100 lebih tinggi.

Manakala, sebaliknya berlaku kepada syarikat dalam indeks FTSE250 kerana hasil yang kebanyakannya diperolehi dari dalam negara..

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Sedekah Masjid Pun Boleh Dapat Potongan Cukai? Ini Cara Yang Ramai Tak Tahu

Kalau setiap minggu kita masukkan duit ke tabung masjid, niatnya memang untuk bersedekah.

Tapi tahukah anda, bukan semua derma atau sumbangan kepada masjid boleh digunakan untuk mendapatkan potongan cukai?

Di sinilah pentingnya kita kenal Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Di bawah peruntukan ini, institusi, organisasi atau tabung tertentu yang mendapat kelulusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri boleh memberikan manfaat cukai kepada penderma.

Sebagai contoh untuk Tabung Pengurusan Rumah Ibadat (TPRI) yang diluluskan, penderma boleh mendapat potongan daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had yang ditetapkan. Bagi derma yang layak di bawah Subseksyen 44(6), hadnya ialah 10% daripada pendapatan agregat.

Jadi, apa bezanya?

Contohnya, anda ada pendapatan agregat sebanyak RM100,000 setahun.

Anda kemudian membuat sumbangan tunai sebanyak RM5,000 kepada tabung masjid yang telah mendapat kelulusan di bawah Subseksyen 44(6).

Jika sumbangan tersebut memenuhi syarat dan disokong dengan resit rasmi yang sah, RM5,000 itu boleh diambil kira sebagai potongan daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had 10%.

Maksudnya, secara ringkas:

Pendapatan agregat: RM130,000
Derma layak: RM10,000
Pendapatan selepas potongan: RM120,000

Tetapi jangan salah faham.

RM10,000 itu bukan bermaksud cukai anda terus berkurang RM10,000.

Ia adalah potongan daripada pendapatan agregat yang digunakan dalam pengiraan cukai.

Contoh:

PerkaraTiada Derma 44(6)Dengan Derma 44(6)
Pendapatan agregatRM130,000RM130,000
Tolak: Derma 44(6)(RM10,000)
Pendapatan selepas dermaRM130,000RM120,000
Tolak: Pelepasan cukai(RM20,000)(RM20,000)
Pendapatan bercukaiRM110,000RM100,000
RM100,000 pertamaRM9,400RM9,400
Lebihan RM100,000RM10,000 × 25% = RM2,500
Jumlah cukaiRM11,900RM9,400
Perbezaan cukaiRM2,500

Dalam contoh ini, derma RM10,000 itu menyebabkan pendapatan bercukai turun daripada RM110,000 kepada RM100,000.

Yang menarik, RM10,000 tersebut berada dalam banjaran pendapatan RM100,001 hingga RM400,000, yang dikenakan kadar 25%.

Jadi RM10,000 × 25% = RM2,500.

Sebab itu jumlah cukai turun daripada RM11,900 kepada RM9,400.

Rujuk Jadual Kadar Cukai LHDNM

Tapi bukankah lebih baik bayar zakat?

Zakat dan derma di bawah Subseksyen 44(6) sebenarnya mempunyai layanan cukai yang berbeza.

Zakat yang dibayar kepada pihak berkuasa agama yang diiktiraf boleh dituntut sebagai rebat cukai. Maksudnya, ia ditolak daripada cukai yang dikenakan, tertakluk kepada jumlah cukai tersebut.

Manakala sumbangan kepada institusi atau tabung yang diluluskan di bawah Subseksyen 44(6) pula merupakan tolakan daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had 10% bagi individu.

Contoh mudah:

Zakat RM5,000

→ Rebat cukai sehingga RM5,000
→ Ditolak daripada cukai yang dikenakan.

Derma 44(6) RM5,000

→ Ditolak daripada pendapatan agregat
→ Kemudian cukai dikira berdasarkan pendapatan selepas potongan tersebut.

Jadi, dua-duanya bukan benda yang sama dari perspektif percukaian.

Dan bagi seorang Muslim, membayar zakat bukan sekadar soal “mana lebih untung dari segi cukai”. Zakat ialah kewajipan agama bagi mereka yang memenuhi syarat.

Manakala derma kepada masjid atau institusi yang diluluskan di bawah 44(6) pula adalah satu bentuk sumbangan yang boleh memberikan manfaat cukai apabila syarat undang-undang dipenuhi.

Kalau seseorang memang wajib membayar zakat, bayarlah zakat.

Dan kalau pada masa yang sama mahu menyumbang terus kepada masjid atau institusi yang diluluskan di bawah 44(6), itu juga boleh dilakukan, tertakluk kepada kemampuan.

Jangan main masukkan duit dalam mana-mana tabung masjid

Ini bahagian yang paling penting.

LHDN menjelaskan bahawa derma kepada tabung masjid hanya boleh dituntut jika derma tersebut dibuat kepada badan atau tabung yang telah mendapat kelulusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Jadi, jangan anggap:

“Aku sedekah RM5,000 dekat masjid ni, nanti mesti boleh claim pelepasan cukai.”

Tidak semestinya.

Ada masjid atau tabung yang mungkin mempunyai kelulusan 44(6), dan ada yang tidak.

Malah, kelulusan tersebut mempunyai tempoh kuat kuasa tertentu. Sebab itu status kelulusan perlu disemak terlebih dahulu. LHDN sendiri menyediakan semakan institusi, organisasi dan tabung yang diluluskan di bawah Subseksyen 44(6).

Nak sedekah sambil dapat potongan cukai, macam mana?

Mudah.

1. Cari tabung masjid yang mempunyai kelulusan 44(6)

Jangan tengok nama masjid sahaja. Pastikan tabung tersebut memang mempunyai kelulusan yang masih berkuat kuasa.

2. Buat sumbangan kepada tabung yang diluluskan

Untuk tujuan potongan cukai, LHDN menetapkan syarat tertentu terhadap bentuk sumbangan. Derma wang tunai yang disokong dengan resit rasmi merupakan antara perkara penting.

3. Minta resit rasmi

Ini sangat penting.

Resit derma yang dikeluarkan oleh institusi/tabung yang diluluskan mempunyai maklumat tertentu termasuk nombor rujukan kelulusan dan tempoh kuat kuasa.

Jadi, kalau anda membuat sumbangan melalui saluran ini, hubungi bendahari atau pihak pengurusan masjid dan minta resit rasmi untuk rekod cukai.

Satu lagi benda yang ramai terlepas pandang

Jangan tunggu hujung tahun baru nak cari resit.

Simpan resit tersebut bersama dokumen cukai anda.

Dan pastikan nama tabung serta nombor rujukan kelulusan pada resit adalah betul.

LHDN turut menyatakan bahawa resit derma perlu menunjukkan frasa berkaitan potongan di bawah Subseksyen 44(6).

Jadi, kalau memang nak bersedekah?

Sedekah tetap sedekah.

Potongan cukai itu hanyalah manfaat cukai yang diberikan oleh undang-undang apabila sumbangan dibuat melalui saluran yang diluluskan dan memenuhi syarat.

Kalau selama ini anda memang biasa menyumbang kepada masjid, mungkin selepas ini boleh semak satu perkara tambahan:

“Tabung masjid ini ada kelulusan Subseksyen 44(6) tak?”

Kalau ada, dan kelulusan masih sah, buat sumbangan melalui tabung yang diluluskan dan pastikan dapat resit rasmi.

Boleh bersedekah, dan pada masa yang sama memanfaatkan insentif cukai yang memang disediakan oleh undang-undang.

Senarai Institusi/Tabung Yang Masih Diluluskan di bawah Subseksyen 44(6)

No. RujukanNama Institusi / TabungTempoh Tamat
2824LEMBAGA AMANAH KEBAJIKAN MASJID NEGERI SARAWAK (LAMKNS), JALAN DATUK AJIBAH ABOL, 93400 KUCHING, SARAWAK

https://www.lakmns.org.my/imbas-and-derma
31 DIS 2035
6024PUSAT DIALISIS & KESIHATAN MASJID BANDAR BARU UDA (PDK), JALAN PADI RIA 1 BANDAR BARU UDA, 81200 JOHOR BAHRU, JOHOR31 DIS 2035
8128TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID ABDUL RAHMAN LIMBONG KUALA TELEMONG TERENGGANU, MASJID ABDUL RAHMAN LIMBONG KUALA TELEMONG, 21210 HULU TERENGGANU, TERENGGANU31 DIS 2035
8565TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AL-EHSAN MUKIM KAMPUNG BELANGA KUALA KRAI, KELANTAN, D/A MASJID AL EHSAN MUKIM KAMPUNG BELANGA KUALA PAHI, MENGKEBANG, 18000 KUALA KRAI, KELANTAN31 DIS 2029
7663TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AL-KHAFI CCRC BENTA, PAHANG, CCRC BENTA, AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI BATU 13, LANDASAN TERBANG BENTA, 27300 BENTA, PAHANG31 DIS 2035
8080TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AL-KHAIRIYAH TAMAN SERI GOMBAK, SELANGOR, MASJID AL-KHAIRIYAH JALAN SG 7/1 TAMAN SERI GOMBAK, 68100 BATU CAVES, SELANGOR

https://www.alkhairiyah.org/sumbangan
31 DIS 2035
8636TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AL-SYAKIRIN, MASJID AL-SYAKIRIN KM 9, JALAN GOMBAK, 53100 KUALA LUMPUR, WP KUALA LUMPUR31 DIS 2035
8212TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AN-NUR KOTARAYA, LEVEL 10, MENARA KOMTAR JOHOR BAHRU CITY CENTRE, 80000 JOHOR BAHRU, JOHOR31 JAN 2027
8214TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AN-NUR LARKIN SENTRAL, LOT 1B, PODIUM 1 MENARA ANSAR 65 JALAN TRUS, 80000 JOHOR BAHRU, JOHOR31 JAN 2027
8213TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AN-NUR TAMAN CENDANA, LOT 1B, PODIUM 1 MENARA ANSAR 65 JALAN TRUS, 80000 JOHOR BAHRU, JOHOR

https://toyyibpay.com/INFAQ-MASJID-TAMAN-CENDANA
31 JAN 2027
7903TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID JAMEK KAMPUNG BINTANG, PESERAI, BATU PAHAT, MUKIM 111, PESERAI LOT 2227, TL KB 36/5 LORONG HJ AWANG KG. BINTANG, PESERAI, 83000 BATU PAHAT, JOHOR31 DIS 2035
8616TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID SULTAN YUSUF IZZUDIN SHAH, MASJID SULTAN YUSUF IZZUDIN SHAH JALAN IPOH-LUMUT, 32610 BANDAR BARU SERI ISKANDAR, SERI ISKANDAR, PERAK31 DIS 2035
7830TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID TUN ABDUL AZIZ PETALING JAYA, SELANGOR, JALAN SEMANGAT SEKSYEN 14, 46100 PETALING JAYA, SELANGOR31 DIS 2035
7906TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT MASJID AL-FALAH USJ9, SUBANG JAYA, MASJID AL-FALAH PUSAT BANDAR USJ9, 47620 SUBANG JAYA, SELANGOR31 DIS 2035
8231TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID AN-NUR PASIR GUDANG, KOMPLEKS PUSAT BANDAR PASIR GUDANG, 81700 PASIR GUDANG, JOHOR29 FEB 2028
7782TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID DARUL ISTIQAMAH SIBU, MASJID DARUL ISTIQAMAH D/A 1A, LORONG 10 JALAN SUKUN, 96000 SIBU, SARAWAK31 DIS 2035
8186TABUNG PENGURUSAN RUMAH IBADAT (TPRI) MASJID JAMEK TAMAN TUNKU SARINA, BANDAR DARULAMAN, JITRA, KEDAH, MASJID JAMEK TUNKU SARINA 628 JALAN ATIRA 2 TAMAN TUNKU SARINA BANDAR DARULAMAN, 06000 JITRA, KEDAH31 DIS 2035
7562TPRI MASJID AL-IMAM ASH-SHAFIE, TAMAN MALURI, KUALA LUMPUR, MASJID AL-IMAM ASH-SHAFIE JALAN PERKASA TAMAN MALURI, 55100 KUALA LUMPUR, WP KUALA LUMPUR31 DIS 2035
8211TPRI MASJID AN-NUR BANDAR PASIR GUDANG, LOT 1B, PODIUM 1 MENARA ANSAR 65 JALAN TRUS, 80000 JOHOR BAHRU, JOHOR31 JAN 2027
8232TPRI MASJID SULTAN ISKANDAR, BANDAR DATO’ ONN, NO. 2, JALAN DATO’ ONN 2 BANDAR DATO’ ONN, 81100 JOHOR BAHRU, JOHOR28 FEB 2027
4822YAYASAN MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA JOHOR BAHRU, NO. 62-01 JALAN PADI EMAS 4/1 BANDAR BARU UDA, 81200 JOHOR BAHRU, JOHOR31 DIS 2035

Pada akhirnya, tujuan utama bersedekah bukanlah kerana mahu mendapatkan potongan cukai.

Tetapi jika kita memang mahu menyumbang kepada masjid atau institusi yang diluluskan, apa salahnya memilih saluran yang betul supaya sedekah itu terus memberi manfaat dan pada masa yang sama kita dapat memanfaatkan potongan cukai yang disediakan oleh undang-undang.

Semoga sumbangan yang kita berikan bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan hari ini, tetapi menjadi bekalan untuk kita pada masa akan datang.

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalan kecuali tiga perkara:
Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

(Hadith Riwayat Muslim, al-Nasa’i, al-Tirmizi dan Abu Daud)

Penafian: Senarai di atas adalah berdasarkan rekod yang dirujuk dan ditapis mengikut tempoh kelulusan yang dinyatakan. Status kelulusan boleh berubah, termasuk lanjutan atau penamatan kelulusan. Pembaca dinasihatkan untuk membuat semakan terkini di laman rasmi LHDN/HASiL sebelum membuat sumbangan bagi tujuan mendapatkan potongan cukai. Semakan boleh dibuat melalui portal “Semakan Kelulusan Derma” dengan memasukkan nama institusi, nombor rujukan kelulusan, subseksyen, kategori, status atau negeri. Rujuk https://www.hasil.gov.my/institusi-organisasi-tabung/semakan-kelulusan-derma/

Mereka yang nak jimat cukai juga dah baca Wakaf: Cara Luarbiasa Untuk Kurangkan Cukai Pendapatan (Bukan Pelepasan Cukai)