Kenali 10 Bank Terbesar Dunia, Dengan 4 Bank Dari Negara Yang Sama

Industri perbankan adalah sebahagian dari ekonomi dunia. Sistem perbankan dikatakan mempengaruhi seluruh hidup kita lebih lebih lagi melibatkan hal kewangan.

Jika industry perbankan ini mengalami masalah, percayalah krisis ekonomi boleh melanda dunia seperti mana beberapa krisis terdahulu yang anda boleh baca di sini.

Senarai 10 bank terbesar ini diambil daripada S&P Global Intelligence yang mengeluarkan laporan untuk perbankan global dan perkhidmatan kewangan setiap tahun.

Jika sebelum ini, bank dari US mendominasi senarai, ranking kini beralih kepada China. 4 daripadanya datang dari China, 2 dari Amerika, 2 dari Perancis, dan 1 dari UK dan 1 dari Jepun.

Laporan ini dikeluarkan tidak dipadankan mengikut accounting practice masing masing. Bank-bank dari Amerika Syarikat dan Jepun menggunakan kaedah GAAP manakala bank-bank lain menggunakan kaedah IFRS.

10. Credit Agricole

Bank ini merupakan bank kedua terbesar di Perancis dengan jumlah aset yang bernilai $2,117 Billion. Bermula pada tahun 1894, Credit Agricole dilihat lebih tertumpu kepada pekebun dan petani atau mereka yang terlibat dalam sektor agro.

9. Bank of America

Walaupun pernah dikutuk oleh sesetengah pihak dengan gelaran, “Bank yang paling teruk di planet”. Bank of America merupakan salah satu bank yang terbesar di dunia dengan asset bernilai $2,281 bilion. BOA mengukuhkan kedudukan mereka apabila mengambil-alih Merrill Lynch pada tahun 2008.

8. BNP Paribas

Bank terbesar di Perancis ini beroperasi pada tahun 2000, hasil penyatuan Banque Nationale de Paris dan Paribas. Menurut laporan, BNP mempunyai AUM berjumlah $2357 billion dan jumlah pelanggan mereka pula mencecah 40 juta orang di 75 negara seantero dunia.

7. HSBC Holdings

HSBC, bank yang tidak asing lagi dan yang terbesar di Eropah dengan nilai asset $2,541 bilion. Bertapak di Hong Kong dan Shanghai pada tahun 1885, kini HSBC mempunyai cawangan di lebih dari 80 buah negara yang menawarkan servis perbankan sama seperti bank lain. Namun, HSBC sejak akhir akhir ini terpalit dengan beberapa isu skandal ‘money laundering’.

6. JPMorgan Chase & Co

JP Morgan pula merupakan bank yang terbesar di Amerika Syarikat dengan nilai AUM mencecah $2,533 bilion dan nilai pasaran yang mencapai $390 bilion. JP Morgan Chase terhasil dari penggabungan JPMorgan & Co dengan Chase Manhattan Bank. Secara ringkasnya, JP Morgan menawarkan pengurusan asset, perbankan korporat dan pengurusan nilai kekayaan secara persendirian.

5. Mitsubishi UFJ Financial Group

Manakala bank dari Jepun ini pula mempunyai $2,787 bilion asset under management (AUM). Misubishi UFJ Financial Group  juga menawarkan servis perbankan dan pengurusan pelaburan. Bank ini ditubuhkan pada tahun 2005. di mana Bank Tokyo ketika itu bergabung dengan UFJ Bank lantas mewujudkan bank awam yang kedua terbesar di Jepun.

4. Bank of China

Tahukah anda 4 bank terbesar di dunia (Big Four) dimiliki oleh China, dengan nilai aset Bank of China mencecah $2,991 bilion? Bank of China terlibat dalam servis perbankan dan insurans, dengan pelanggan mereka yang berada di seluruh pelusuk dunia.

3. Agricultural Bank of China

Dikenali dengan nama Agbank, bank ini mengursan $3,235 asset under management (AUM). Ditubuhkan pada tahun 1951, Agbank adalah gabungan Cooperation Bank dan Bank Petani China. Yang lebih mengejutkan, Agbank mempunyai 330 juta pelanggan dan 25,000 cawangan di seluruh China.

2. China Construction Bank Corp

China Construction Bank Corp ini pula mempunyai pangkalan di Beijing. Bank ini menawarkan pengurusan pelaburan, perbankan korporat dan banyak lagi. Sehingga tahun 2013, Bank of America memegang saham sebanyak 10% di dalam China Construction Bank. Dikatakan AUM (asset under management) mereka telah mencecah angka $3,400 bilion.

1. Industrial & Commercial Bank of China

Industrial & Commercial Bank of China atau ICBC, merupakan bank terbesar di dunia dengan nilai aset sebanyak $4,009 bilion. ICBC menawarkan servis perbankan sejak tahun 1984 lagi. Kini, ICBC mempunyai cawangan di Kanada, Macau dan Turki.

Diharapkan artikel ini mampu memberikan anda lebih informasi mengenai industri perbankan dunia.

Artikel ini ditulis oleh Faiz Azizan– Storyteller di InvestorMy, blog kewangan khas untuk rujukan para pelabur.

Senarai 100 Bank Terbesar Dunia

Sumber: S&P Global

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.