Sub Topik
Ramai orang merasakan bahawa bisnes kena buat pada skala besar atau baru boleh dikira menyumbang kepada negara, daripada segi menyediakan peluang pekerjaan di samping menjadikan pemilik bisnes kaya-raya. Namun tanpa kita sedari, perusahaan kecil juga mempunyai banyak sumbangan dan kepentingan kepada negara.
Jom lihat antara kepentingan perusahaan kecil kepada negara dan kenapa lebih ramai lagi orang perlu terlibat dalam perniagaan.
1. Peningkatan Eksport
Perusahaan kecil lebih berdaya saing, ia dapat meningkatkan kualiti pengeluaran produk yang dapat dieksport ke luar negara. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan ekonomi negara sambil mencapai hasrat untuk menjadi negara industri pengeluaran.
Sebagai contoh, kita banyak mengeksport barangan ke luar negara seperti Korea Selatan, Indonesia dan China.
2. Pengukuhan Industri Negara

Dengan adanya perusahaan kecil ini, ia dapat mengukuhkan struktur asas ekonomi negara dan kewujudannya adalah pelengkap kepada syarikat yang lebih besar.
Sebagai contoh, industri automotif memerlukan kontraktor dalam pembuatan (pengilangan) komponen enjin, komponen tayar dan sebagainya yang akan membuka peluang kepada perusahaan kecil ini untuk turut terlibat. Ianya dapat membuka rangkaian stok yang lebih besar yang dapat mengukuhkan lagi industri negara.
3. Membuka Banyak Peluang Pekerjaan
Perusahaan kecil juga dapat memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan. Dengan adanya perusahaan kecil ini, ianya dapat mengurangkan masalah pengangguran.
Tahukah anda, perusahaan kecil telah menyumbang kepada 2/3 pekerjaan di dalam negara? Tanpa mereka, semakin ramai yang tidak mempunyai kerja.
4. Pengagihan Pendapatan

Mereka juga dapat membuka peluang kepada pekerja yang kurang mahir dan separuh mahir untuk menjana pendapatan. Ianya sekaligus dapat mengurangkan jurang pendapatan di kalangan masyarakat di Malaysia.
Bayangkan jika semua pekerjaan yang ditawarkan adalah kerjaya profesional seperti akauntan, doktor atau jurutera, di manakah golongan berpendidikan rendah ini akan mencari kerja?
5. Pengurangan Import Barangan Pengguna
Perusahaan kecil juga sangat besar impaknya kerana mereka turut menawarkan barangan pengguna dengan harga yang lebih rendah berbanding dengan barangan import.
Sekiranya banyak perusahaan kecil dapat meningkatkan pengeluaran produk mereka selepas ini, pasti kebergantungan negara kepada barangan import akan berkurang.
Kesimpulannya, perusahaan kecil ini ibarat nadi dalam pembangunan ekonomi negara. Oleh itu, sumbangan mereka harus dihargai dan pihak berwajib harus meningkatkan lagi tahap kualiti perusahaan kecil.
Tanpa mereka, pasti ekonomi negara tidak akan berkembang seperti sekarang.
Sumber Rujukan: BH Online