AKPK, SME Corp Dan Tekun Jalin Kerjasama Perkasa PMKS

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional untuk memperkasa segmen ekonomi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara.

Majlis pemeteraian itu diadakan di ibu pejabat AKPK di sini dan diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif masing-masing, iaitu Azaddin Ngah Tasir (AKPK), Rizal Nainy (SME Corp) dan Datuk Adam Abd Ghani (Tekun).

Jalinan kerjasama itu meliputi bantuan pengurusan kredit, khidmat nasihat kewangan, pendidikan kewangan yang meliputi latihan dan pembangunan diri, penyelidikan bersama dalam skop kewangan dan keusahawanan, komunikasi korporat dan pemasaran.

Dalam kenyataan hari ini, AKPK berkata usaha sama ini merealisasikan pendirian bahawa pemerkasaan industri PMKS negara memerlukan sokongan bersepadu daripada semua pihak.

“Langkah itu untuk melahirkan usahawan PMKS yang berfikiran kreatif dan inovatif serta berkeperibadian unggul, berbekalkan dana perniagaan yang cukup serta ilmu dan sokongan pengurusan kewangan yang mantap,” katanya.

Turut hadir mantan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Abdul Razak Anwar.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Petronas Tandatangan Perjanjian Jual Gas Lima Tahun Kepada SESB

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), akan membekalkan gas kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk penjanaan kuasa di Sabah dan Labuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak dan gas negara (O&G) itu berkata di bawah perjanjian penjualan gas lima tahun yang ditandatangani pada 30 Jun, 2024, Petronas akan terus membekalkan 16 juta kaki padu gas sehari kepada SESB.

Petronas juga berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap penyelesaian tenaga yang cekap dan bertanggungjawab di mana gas akan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Sabah dan Labuan.

“Perjanjian ini sejajar dengan strategi Petronas yang lebih luas untuk memacu pertumbuhan melalui inisiatif tenaga mampan manakala SESB terus menumpukan kepada meningkatkan penyelesaian tenaga yang menyokong pembangunan sosioekonomi Sabah.

“Syarikat O&G kekal komited untuk memperoleh bekalan tenaga negara sambil memajukan operasi karbon rendah dan pelepasan rendah, sejajar dengan matlamatnya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” tambahnya.

Naib Presiden Kanan MPM Datuk Bacho Pilong berkata perjanjian itu adalah bukti perkongsian berterusan syarikat dengan SESB dan cita-cita bersamanya untuk menjamin masa depan tenaga mampan bagi Sabah.

“Petronas kekal komited untuk menyokong pembangunan perindustrian di Sabah dengan memastikan bekalan tenaga yang stabil dan mampan, yang akan menjadi penting dalam memacu pertumbuhan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata perjanjian berkenaan adalah kunci untuk memenuhi permintaan tenaga negeri dengan penyelesaian yang boleh dipercayai dan mampan.

— BERNAMA