Airasia Bakal Lancar Semula Tujuh Destinasi Antarabangsa Di China

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — AirAsia bakal melancarkan semula tujuh destinasi antarabangsa di China iaitu Macao, Shenzhen, Guangzhou, Kunming, Shanghai, Hangzhou dan Chengdu berikutan pemulihan kukuh yang berterusan pasca pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata China merupakan pasaran penting untuk kumpulan AirAsia, yang merupakan syarikat penerbangan tambang rendah antarabangsa terbesar mengikut kapasiti pra-pandemik.

“Berdasarkan faktor muatan tinggi bagi penerbangan sulung kami ke/dari Guangzhou pada minggu lalu, permulaan semula perkhidmatan kami bukan sahaja akan memberikan nilai dan akses yang lebih baik kepada pengembara yang membuat perjalanan penting dari Malaysia dan pelancong dari China malah akan meningkatkan pertumbuhan pelancongan, perdagangan dan ekonomi di kedua-dua buah negara,” katanya  dalam satu kenyataan hari ini.

AirAsia Malaysia bakal terbang semula ke empat destinasi di China dari dua hab – Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Macao, Shenzhen, Guangzhou dan Kunming dengan kekerapan 10 penerbangan mingguan, dan sasaran untuk meningkatkan kekerapan sehingga 27 penerbangan mingguan pada Mac.

Penerbangan pertama ke/dari China dimulakan semula pada 10 Feb 2023 lalu ke/dari Guangzhou dengan faktor muatan tinggi untuk penerbangan dua hala, katanya.

Melengkapi penyambungan semula destinasi jarak dekatnya, AirAsia X Malaysia akan menyambung semula laluan dari Kuala Lumpur ke Shanghai, Hangzhou dan Chengdu dengan 10 penerbangan mingguan bermula 1 Mac 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benjamin Ismail berkata China akan menjadi tumpuan pasaran utama yang seterusnya apabila syarikat penerbangan itu memperkukuh strategi pertumbuhan melalui pelancaran laluan paling popular dan menguntungkan.

“Kami telah menyaksikan kejayaan yang luar biasa dengan perkhidmatan ke China pra-pandemik yang mana kami membawa lebih 1.8 juta tetamu ke/dari China pada 2019 sahaja.

“Kami percaya permulaan semula perkhidmatan ke China ini akan menjadi popular untuk pengembara perniagaan, pelajar antarabangsa, para tetamu yang melawat keluarga serta merangsang permintaan serantau antara dua pasaran besar melalui tambang rendah dan perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya. 

AirAsia Malaysia menawarkan tambang sehala terangkum untuk pengembara yang membuat perjalanan penting dengan harga bermula daripada RM151 dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Macau, Shenzhen, Guangzhou dan Kunming.

AirAsia X Malaysia menawarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Shanghai, Hangzhou dan Chengdu dengan tambang sehala terangkum bermula daripada RM899/RMB1,088 bagi tempat duduk ekonomi atau RM2,199/RMB3,288 bagi tempat duduk Premium Flatbed.

Memandangkan kemasukan ke China pada masa ini terhad kepada visa tertentu sahaja, pelanggan dinasihatkan untuk menyemak keperluan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju.

Bagi keperluan perjalanan ke China, sila layari  https://support.airasia.com/s/article/Travel-Requirements-China?language=en_GB 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Shell Malaysia Wujudkan Hab Pengecas Berprestasi Tinggi 360kW Pertama Di Malaysia

GENTING HIGHLANDS, 4 Dis (Bernama) — Shell Malaysia Trading Sdn Bhd akan mewujudkan hab pengecas kenderaan elektrik (EV) yang terdiri daripada 10 ruang pengecasan lengkap di Resorts World Genting, bagi menyediakan akses EV di destinasi peranginan utama di Malaysia itu, menjelang awal tahun hadapan.

Menurut Shell Malaysia, hab lengkap dengan pengecas berprestasi tinggi (HPC) ultra-pantas 360kW itu dikuasakan oleh Shell Recharge, penyedia penyelesaian pengecasan EV milik Shell.

“Menerusi kerjasama strategik dengan Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Bhd, hab EV ini akan menjadi penambahan baharu kepada rangkaian Shell Recharge EV sedia ada sebanyak 136 stesen pengecas yang terletak di kawasan strategik bandar utama dan di lebuh raya Semenanjung Malaysia, menghubungkan Singapura, Malaysia dan Thailand,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.

Shell Malaysia memaklumkan bahawa hab pengecasan semua-dalam-satu itu akan memuatkan 10 pengecas yang terdiri daripada empat pengecas berprestasi tinggi 360kW dan enam pengecas AC 22kW.

Semua pengecas disertakan dengan penyambung pengecasan CCS Type 2, yang membolehkan pemandu EV menikmati pengalaman pengecasan yang sangat pantas di puncak bukit, tambahnya.

Sementara itu, pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Shell Recharge dan Genting Malaysia mengenai projek hab itu di sini, Pengurus Besar Mobiliti, Shell Malaysia, Seow Lee Ming berkata hab HPC di Resorts World Genting akan menjadi permulaan bagi pengembangan e-mobiliti syarikat ke pantai timur.

“(Dalam melangkah maju), kami akan terus menambah (ruang pengecasan EV Shell di Semenanjung Malaysia) memandangkan e-mobiliti adalah antara bidang yang terlibat memandangkan kami berusaha ke arah masa depan yang mampan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu.

Seow berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Porsche Malaysia dan syarikat berasaskan pembuat peralatan tulen (OEM) lain untuk keperluan dan penggunaan terminal pengecasan rumah EV.

“Pada masa ini, terminal pengecasan rumah bukan sebahagian daripada perkara yang terlibat. Ia bergantung kepada keperluan dan sama ada mampan untuk mengecas di rumah namun, kami bekerjasama dengan banyak OEM mengenai perkara ini,” katanya.

— BERNAMA