Aplikasi altHR Terbaru Dari Digi Untuk Bantu Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS)

Ekoran pandemik COVID-19, kebanyakan pihak telah tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping memberi pelbagai kemudahan untuk mereka mengharungi cabaran getir ini.

Digi juga tidak ketinggalan dalam memperkenalkan aplikasi altHR bagi menaik taraf proses digitalisasi mereka dalam memastikan PKS beroperasi dengan lebih efisien.

altHR diwujudkan dengan objektif bagi memudahkan semua pihak dalam dunia digital. Jom ketahui lebih lanjut berkaitan aplikasi terbaru dari Digi ini.

Aplikasi altHR Digi

Kredit Gambar: altHR

Diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun lalu, aplikasi altHR adalah penyelesaian pengurusan tenaga kerja digital, yang menampilkan pelbagai fungsi untuk landskap dunia semasa.

Ia adalah umpama ‘cuti tanpa kertas’ dan pengurusan perbelanjaan, kit jualan digital, penjejakan waktu tanpa sentuhan, penyerapan kakitangan dan sebagainya. Semuanya adalah dalam bentuk digital dan bukan lagi secara manual.

Dengan mendigitalkan proses sumber manusia ini, perniagaan kini dapat memantau aliran kerja dengan lebih efisien dan beri perhatian yang tinggi kepada peningkatan produktiviti serta perkembangan perniagaan masing-masing.

Digi memperkenalkan fungsi utama altHR seperti pembayaran gaji, daftar nama, pengurusan prestasi dan ‘Ultimate HR Starter Kit for 2021’. Ianya merupakan sebuah buku panduan yang bertujuan untuk membantu para usahawan perniagaan menghasilkan kakitangan yang celik dalam bidang digital.

Tujuan Dan Kegunaan Aplikasi altHR

Kredit Gambar: altHR

Pandemik COVID-19 yang berpanjangan telah mempercepatkan proses digitalisasi ke atas banyak perniagaan. Dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), altHR telah memainkan peranan penting dalam membantu PKS beroperasi dengan lebih cekap dan efisien.

Masalah kekurangan masa untuk fokus ketika PKP serta ingin melancarkan proses pekerja dalam pengurusan, maka altHR pun diperkenalkan. Melalui pelbagai jenis modul yang ditawarkan, perniagaan dapat memanfaatkannya bagi mendorong penglibatan pekerja dan memastikan mereka tetap produktif sepanjang tempoh pandemik.

Aplikasi altHR ini dibentuk melalui usaha Digi mencari penyelesaian sumber manusia yang terbaik bagi memenuhi corak operasi mereka yang tangkas dan inovatif.

altHR juga digunakan oleh kakitangan Digi di seluruh negara dan merupakan penyelesaian yang sesuai untuk semua jenis industri di Malaysia.

Aplikasi ini dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui peranti mudah alih, komputer riba dan sebagainya.

Kesimpulannya, aplikasi altHR adalah salah satu cara untuk menggalakkan kakitangan pekerja agar kekal terhubung dan produktif sepanjang tempoh pandemik ini. Dengan adanya aplikasi ini, ia dapat membantu PKS untuk beroperasi dengan lebih efisien. 

Sumber Rujukan: Harian Metro

Previous ArticleNext Article

Mahsuri Food Labur RM250 Juta Bina Kilang Baharu Di Negeri Sembilan

NILAI, 18 Mei (Bernama) — Pengeluar produk makanan, Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri Food) membuka kilang pembuatan baharunya di Bandar Enstek di sini dengan nilai pelaburan berjumlah RM250 juta yang akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2025.

Pengarah Bukan Eksekutifnya Datuk Mohd Roslan Mahayuddin berkata kilang berkeluasan 24,000 meter persegi itu membolehkan Mahsuri Food meningkatkan kapasiti pengeluarannya selain menyediakan produk halal berkualiti tinggi untuk masyarakat.

Beliau berkata seiring dengan pembukaan kilang baharu itu juga, pihaknya mahu produk Mahsuri menembusi pasaran global seperti di Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus menempatkan produk buatan Malaysia di persada dunia.

“Ini merupakan kilang kedua Mashuri Food selepas di Shah Alam. Ia merupakan langkah ke hadapan Mahsuri Food dalam merancakkan lagi pasaran tempatan dan luar negara terutamanya dalam industri halal selain daripada membuka peluang pekerjaan berkemahiran kepada penduduk setempat.

“Kilang baharu ini bakal dilengkapi dengan teknologi moden Mesin Pembuat Koji jenis Rotary yang menjadikan Mahsuri Food syarikat pertama yang menggunakan teknologi canggih ini di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah kilang berkenaan yang disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Industri, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Dr Mohamed Rafie Ab Malek; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan; Datuk Najmuddin Sharif Sarimon dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

Mohd Roslan berkata kilang berkenaan turut mempunyai tempat pembuatan, gudang, makmal jaminan kualiti, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pejabat serta kemudahan sosial selain menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui bagi meminimumkan penggunaan tenaga konvesional.

Sehubungan itu, beliau berkata Mahsuri Food berhasrat untuk mencapai pensijilan ‘Leadership in Energy and Environmental Design’ (LEED) supaya kilang itu dapat beroperasi dengan efisien, menjimatkan kos serta mesra alam sekitar.

Beliau berkata sejak penubuhannya sekitar tahun 1990-an, Mahsuri Food telah terus berusaha memperkasakan R&D dalam bidang penghasilan makanan sehingga berjaya mempelbagaikan produk-produk yang sedia ada untuk dijadikan bahan asas masakan rakyat Malaysia.

Mohd Roslan berkata Mahsuri Food kini meluaskan empayarnya dan menghasilkan pelbagai variasi produk halal sekali gus berjaya menembusi pasaran di Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja, India dan Timur Tengah.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri amat mengalu-alukan pelaburan baharu kilang Mahsuri Food ke Negeri Sembilan yang mampu merancakkan industri berasaskan makanan bukan sahaja di negeri ini malah ke seluruh negara.

“Pembukaan kilang baharu ini pastinya akan menyumbang kepada pembangunan prasarana pengeluaran produk halal, rangkaian pemasaran dalam dan luar negara serta pembangunan sosioekonomi yang akan berpusat di negeri ini,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya Mahsuri Food memberi perhatian segera terhadap persijilan halal bagi setiap penemuan R&D serta perubahan resipi dan cita rasa baharu sebelum dipasarkan kerana status halal merupakan nilai tambah yang membolehkan sesuatu produk bersaing di pasaran global.

— BERNAMA