5 Tokoh Wanita Islam Yang Terkemuka

Tokoh wanita Barat seringkali menjadi inspirasi dan dihormati atas perjuangan mereka dalam memperjuangkan hak-hak wanita. Walaupun begitu, wanita Muslim tidak kurang hebatnya dan mereka juga memperjuangkan hak wanita sama ada secara langsung ataupun tidak.

Jom kenali tokoh wanita Islam yang menginspirasikan dunia yang boleh kita contohi. Mereka adalah tokoh wanita yang berjaya dan banyak memberi sumbangan kepada dunia kita.

1. Rufaidah Binti Sa’ad

Rufaidah Binti Sa’ad adalah jururawat Muslim pertama yang hidup pada zaman Rasulullah SAW yang telah menjadi sukarelawan sebagai jururawat bagi pasukan Muslim yang tercedera dalam Perang Badar, Uhud, Khandaq, dan Pertempuran Khaibar.

Beliau mempelajari ilmu kejururawatan ketika membantu ayahnya, yang merupakan seorang doktor. Rufaidah bukan sahaja jururawat profesional pertama dalam sejarah Islam tetapi jauh lebih awal daripada Florence Nightingale, jururawat terkenal yang merawat tentera Inggeris pada abad ke 17.

2. Anousheh Ansari

Kredit Gambar: Windows On Earth

Pada tahun 2006, Anousheh mencatatkan dirinya sebagai wanita Islam pertama yang menjadi angkasawan. Beliau memperolehi ijazah sarjana dalam sains komputer daripada George Mason University dan ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrik dari George Washington University.

Beliau juga mengasaskan syarikat telekomunikasi, Telecom Technologies Inc., pada tahun 1993 bersama suaminya. Selain itu, Anousheh Ansari juga aktif dalam kegiatan sosial dan telah memenangi banyak anugerah. Tidak hairanlah beliau merupakan seorang tokoh wanita Islam yang sangat menginspirasikan.

3. Shirin Ebadi

Sumber : TheGuardian

Shirin Ebadi adalah wanita Muslim pertama yang memenangi Hadiah Nobel Perdamaian pada tahun 2003. Tambahan pula, beliau telah mengalahkan dua pesaingnya, iaitu Paus John Paul II dan bekas Presiden Czech, Vaclav Havel.

Tokoh wanita Islam ini bekerja sebagai peguam, penulis, pensyarah dan sering aktif memantau keadaan negaranya, Iran. Sebagai peguam, beliau telah menyelesaikan banyak kes kontroversi dan pernah ditangkap beberapa kali kerana memperjuangkan idealisme.

4. Laleh Bakhtiar

Sumber : Wikipedia

Penterjemah Al-Quran ke dalam bahasa Inggeris ini adalah seorang wanita Islam yang sangat berjaya.  Laleh Bakhtiar merupakan wanita Islam Amerika pertama yang menterjemah ayat Al-Quran ke dalam bahasa Inggeris. Terjemahan mengandungi banyak maksud dan definisi. Kini, terjemahannya telah digunakan di masjid dan universiti.

5. Nana Asma’u

Nana Asma’u adalah seorang wanita Muslim di Nigeria yang petah berbahasa Arab, Fulfulde, Hausa, Tamacheq, Yunani dan juga Latin klasik. Pada tahun 1830, Nana membentuk sekumpulan guru wanita yang ditugaskan untuk melakukan perjalanan ke seluruh penempatan bagi mendidik wanita di kawasan miskin dan luar bandar.

Dalam kalangan wanita Muslim di Afrika Barat, Nana menjadi lagenda berkat perjuangannya dalam memajukan pendidikan wanita serta ketakwaannya dalam agama Islam. Tokoh wanita Islam ini sama sekali lebih memikirkan hal orang lain dan suka memudahkan urusan orang lain.

Akhir kata, terdapat banyak lagi tokoh wanita Islam yang telah berjaya menempah nama mereka di pentas dunia dengan kehebatan pengetahuan dan kepakaran yang mereka miliki. Hak wanita juga harus diperjuangkan serta diberi kebebasan sama rata berdasarkan syariat agama Islam.

Sumber Rujukan: Men’s Obsession

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.